Followers

Saturday, February 11, 2017

EPISOD 28 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY

Image may contain: 1 person, closeup


EPISOD 28 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY

Surat kiriman FY, Sara buka tatkala dia masuk ke dalam bilik hostelnya. Sambil duduk di kepala katil, bait-bait susunan kata dalam warkah bisu itu mula dibacanya...

Sara...
Kau ibarat sang suria yang begitu gah di atas sana, kehadiranmu menyinari dan menggembirakan seluruh alam namun pemergianmu tatkala malam menjelma membawa bersama kerinduan di pelusuk hati...

Aku pula umpama awan kumulus nimbus, awan tebal yang berada di bawah sini jauh dari dirimu. Tatkala aku mendongak jauh di atas sana, kilauan dan sinaranmu pantas menerangkan sukma... 

Aku terlalu jauh jaraknya dari dirimu dan tak selayaknya aku beriringan denganmu.

Seringkali aku lihat kau beriringan dengan awan-awan alto stratos yang tinggi di langit sana. Aku tidak iri kerana selayaknya kau begitu. Sama tinggi sama padan...

Sara, 
Hidupku selalu mendung dan adakalanya aku menurunkan hujan ribut dan taufan, guruh dan petir yang meresahkan seluruh alam... Emosiku mudah terganggu adakalanya cerah, adakalanya gelap-gelita, ada kalanya gembira adakalanya menitiskan airmata...

Namun tahukah engkau sesungguhnya airmata kepiluan diriku ini umpama titis-titis air hujan yang turun yang secara tidak langsung menyuburkan bumi. Makhluk di bumi semua seakan menanti tangisan piluku ini. Tangisanku menggembirakan mereka. Namun inilah pengorbanan yang perlu aku lakukan saban waktu...

Sara,
Aku tidak tahu kenapa engkau mencari diriku.. Aku tidak tahu kenapa engkau ditemukan denganku pada ketika ini...

Kita umpama langit dan bumi, umpama Pipit dan Enggang, Ikan talapiah hitam di lumpur dengan ikan emas dalam akuarium... Umpama filem dua darjat...

Sara...
Kau punya pilihan jutawan dan hartawan, rupawan dan ilmuan, karyawan dan cendiakawan namun kau mengambil keputusan untuk memilih aku... Anak pak gad yang tak punya apa-apa...

Entah dimana titik pertemuan diantara kita tidaklah aku tahu. Puas sudah aku memikirkannya, pelbagai persoalan menerjah di seluruh pelusuk akal fikiranku namun persoalan masih tinggal persoalan tanpa kepastian...

Tapi...
di suatu senja ketika aku duduk di tasik berdekatan Kompleks PKNS ketika itu hujan turun renyai-renyai... Matahari pula menyinarkan cahayanya maka aku nampak sesuatu begitu indah...

Fahamlah aku bahawa gabungan kita berdua menghasilkan satu spektrum yang begitu indah dek pandangan mata dan ia dipanggil PELANGI...

Pelangi... pelangi kau indah tak terkata...

Nukilan,
Anak Pak Gad bernama FY

##############

Agaknya kepoweran FY menulis surat begini yang menyebabkan Sara Jasmin cairrrr...

Boleh tahan jugak romeo FY ni kan? Hawhawhaw...

Dulu bukan macam sekarang mana ada handphone, FB, IG dll jadi kalau ada awek itu kita berhubungan dengan suratlah. Memang romantik. Tapi sekarang ia tiada lagi... 

Jadi FY rasa anda tahu apa terjadi lepas tu kan? Sara Jasmin anak orang berada tu menjadi makwe Anak Pak Gad tu...

Maka kecohlah satu Kolej Jati. Mamat tak siap ni berpasangan dengan gadis ayu bernama Sara Jasmin tu.

Roommate FY semua bagai tak percaya. Punyalah ramai siswa lain yang ada di seluruh ITM kenapa Sara pilih FY? Sejak itu ramailah yang datang ke bilik FY untuk meminta nasihat, bertanyakan cara, teknik, kaedah akan bagaimana nak tackle awek cun! Kahkahkah...

Pernah satu ketika FY minum dengan Azul seorang kawan Engineering di seksyen 2, tiba-tiba Sara Jasmin datang. Ia menyebabkan Azul bagai dipukau, kelu lidah langsung tak dapat bersuara tatkala menatap wajah Sara Jasmin dari dekat sehinggalah Sara pulang barulah dia kembali pulih... Lawaklah ko ni Azul...

Jadi, 
bab boling pass!
bab belajar pass!
bab snooker pass!
bab video game pass!
bab merempit pass!
bab awek pun pass jugak!
Hawhawhaw...

Itulah kenangan di ITM... tempat tumbesaran dan pengukuhan identiti diri FY menuju ke alam dewasa...

Sekian dulu... InsyaAllah kita jumpa lagi dalam episod yang seterusnya...

FY

PS - Anda nak dapat apa yang anda idamkan dalam hidup? Jawapannya ;
Pintalah dari Allah Taala! Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi Rezeki...

PSS - Gambar hiasan tu gambar mem FY masa muda... Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi... Hawhawhaw...

Andai anda suka kisah anak Pak Gad bernama FY ini, like dan sharelah cerita ini supaya orang lain juga akan mendapat manfaat darinya. InsyaAllah.

Kalau anda ketinggalan episod-episod yang lepas, Layari www.manrempit.blogspot.com ia ada di sana. Sambil tu bacalah novel Man Rempit anak Pak Gad jugak tu...

Novel tersebut memenangi Dana Anugerah Penulis 2012 dahulu...

Mungkinkah ia juga kisah FY?

No comments:

Post a Comment