Followers

Friday, September 8, 2017

EPISOD 43 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY

EPISOD 43 - KISAH ANAK PAK GAD BERNAMA FY

Episod pendidikan anak-anak.

Alhamdulillah keputusan SPM anak FY keluar hari ini dan dia mendapat keputusan yang cemerlang itu 7A 3B dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Sekolah Menengah Teknik Cheras. Sekolah FY dulu...

Bulan lepas anak keempat FY Danisha lulus 8A dalam UPKK.

Sebenarnya seorang anak yang lahir itu umpama kain yang kosong sahaja. Tugas kitalah sebagai ibubapa untuk melukis dan mewarna hamparan kain tersebut.

Anak-anak ini adalah diamanahkan Allah kepada kita jadi seharusnya kita menjaga mereka dengan cara yang terbaik.

Pada FY pengisian yang seimbang diperlukan dalam hal ini baik rohani, jasmani dan akliah. Pengisian kerohanian adalah pengisian keimanan dan keislaman. Ini penting kerana ini bakal membentuk akhlak yang baik juga anak yang patuh kepada Allah dan taat kepada orang tuanya.

Pengisian jasmani pula adalah memastikan cukup belaian kasih sayang, makan, pakai, rehat, senaman, tidur dan berhibur. Kalau hari-hari bagi makanan yang kurang berkhasiat maka pasti ia akan menjejaskan tumbesaran jasmani malah tumbesaran akal anak-anak ini. Oh ya memberi makan dari rezeki yang halal satu kemestian!

Pengisian akliah ialah pengisian mental ilmu dan maklumat. Ia penting bagi kehidupan di dunia dan di akhirat kelak. Kita kena selalu berkomunikasi dengan mereka seharian bercerita dan bertanya tentang isu itu dan ini. Mereka perlukan kita untuk menunjukkan jalan juga jalan penyelesaian.

Ibu bapa keduanya perlu menjalankan peranan bagi memastikan keseimbangan tumbesaran mereka. Ibu lebih emosi dalam menyelesaikan masalah sedangkan bapa lebih menggunakan akal. Ini membawa keseimbangan sebenarnya. 

Kita juga perlu menyediakan ekologi keluarga yang kondusif lagi harmoni. Elakkan pergaduhan dan pertengkaran dan sebagainya. Kita tak mahu semua ini dijadikan alasan anak-anak andai mereka gagal nanti.

Itu di rumah. Kalau di sekolah FY akan pastikan mereka masuk ke sekolah berprestasi tinggi kerana pastinya guru-guru di situ merupakan guru-guru yang terlatih. Kita manalah ada masa untuk mengajar anak-anak di rumah ye tak?

Apapun kekadang FY nampak ada anak-anak yang dah masuk asrama tapi meronta-ronta untuk keluar. Sebenarnya kejutan budaya itu hanya mengambil masa 40 hari. Tahankan sahaja nanti lama kelamaan mereka akan biasa.

Dikala yang lain pula FY nampak ibubapa pulak yang lebih. Rindukan anak maka keluarkan anak dari asrama. Walaupun sekolah itu sekolah yang baik.

Namun sekiranya prestasi pelajaran mereka merosot tinggal di asrama maka seeloknya keluarkanlah mereka. Tindakan jitu perlu diambil bagi memastikan prestasi pelajaran mereka meningkat. 

Kalau kita tanam pokok mangga dan tak pedulikannya maka mangga yang keluarpun ala-ala kadar sahaja kalau dibandingkan dengan pokok mangga yang disiram air dan ditabur baja. Selebihnya doa dan tawakkal kerana semuanya terletak di tangan Allah Taala.

Lahir dan hidup di Malaysia, di dunia, penilaiannya akademik. Namun ia belum menjamin apa-apa walau dapat 20A sekalipun. Pada FY nak berjaya hidup tak semestinya pandai tapi kena bijak! Bijak mencari ruang dan mengambil peluang.

Dipenghujung cerita berpuluh tahun belajar sampai peringkat tertinggipun lepas tu mati juga dan tugas kita digantikan dengan orang yang kemudian. Apa yang penting ialah kita bawa manfaat kepada dunia sesuai dengan tugas kita sebagai khalifah. Itu jer pun.

Apapun tahniah FY ucapkan kepada semua yang lulus cemerlang dalam SPM kali ini. Kepada yang gagal ia bukan penentu segalanya. Perjalanan ke Universiti mungkin dengan sijil SPM tapi perjalanan ke syurga bukan dengan sijil SPM!

Sekian dulu buat kali ini.

FY
In pursuit of Happyness...

PS - FY dulupun pelajar average jer tapi jadi orang jugak! 

PSS - Nampak tu anak FY seorang pelajar yang berjiwa kental... sama macam bapanya... Hawhawhaw...

Andai anda suka kisah anak Pak Gad bernama FY ini, like dan sharelah cerita ini supaya orang lain juga akan mendapat manfaat darinya. InsyaAllah.

Kalau anda ketinggalan episod-episod yang lepas, Layari www.manrempit.blogspot.com ia ada di sana. Sambil tu bacalah novel Man Rempit anak Pak Gad jugak tu...

Novel tersebut memenangi Dana Anugerah Penulis 2012 dahulu...

Mungkinkah ia juga kisah FY?

No comments:

Post a Comment