Followers

Wednesday, April 24, 2019

BAB 10 - MAN REMPIT 2 KARYA FAIZAL YUSUP


BAB 10

        Dua minggu sudah berlalu tetapi masih tiada hubungan antara Azman dan Sara. Azman membuat andaian yang Sara masih lagi memerlukan ruang untuk berfikir sedalam-dalamnya. Jadi dibiarkannya begitu sahaja. Buat masa ini dia tak mahu berbuat apa-apa. Dia hanya menyerahkan pada Allah Taala akan susunan takdirNya yang seterusnya. Dia harap ia bakal memihak kepadanya kelak. Dia hanya mahu terus bersabar.

        Hari ini dia bersiap untuk ke Impian Golf and Country Resort yang letaknya di Saujana Impian. Luka parutnya masih lagi perlu dibalutnya. Dia sendiri tak tahu kenapa ia sekali sekala terus sahaja mengeluarkan darah tak tentu masa selama dua minggu ini. Apapun Lord telah berjanji untuk menjemput mereka dengan kereta Toyota Vellfire milik bapanya. Mereka yang lain akan menumpang kereta Proton Wira milik Zainal. Mereka semua seramai 10 orang mahu ikut bersama untuk ke majlis Zafrul.

Mereka semuanya memakai baju kemeja lengan pendek dan berseluar Jeans. Ayu dan Alia pula berbaju kurung. Setibanya di sana memang benar sebuah meja disediakan khas buat mereka. Jauh di bahagian belakang pentas. Bunyi muzik latar yang agak lembut berkumandang di Club House itu. Banner yang tertera Welcome Back Zafrul Akmal Ishak kelihatan dilekatkan di dinding belakang pentas tersebut.

Zafrul tiba bersama keluarganya diikuti Sara. Sara kelihatan begitu anggun memakai gown malam berwarna hijau daun pisang. Zafrul juga memakai kemeja yang lebih kurang sama warnanya. Hati Azman gundah. Kemudian tiba sepasang pasangan VIP yang tidak Azman kenali. Lord juga tak mengenali mereka. Mereka bersalaman lantas duduk di meja utama berhadapan pentas. Dari jauh Azman dapat merasakan perubahan yang berlaku pada Sara tatkala bersalaman dengan pasangan tersebut seakan dia mengenali mereka.

Sara duduk menghadap pentas. Sesekali dia seakan menoleh ke belakang namun demikian kehadiran tetamu yang ramai itu menyebabkan mereka tidak dapat bertentang mata. Azman yakin Sara tak sedar akan kehadirannya di situ. Dia juga tak mahu mengganggu ruang Sara sepertimana yang telah dia janjikan. Padanya lebih baik Sara tidak mengetahui kehadirannya.

Atucara majlis itu dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis malam itu.
“Yang dihormati Tan Sri Samad dan Puan Sri, Datuk-datuk, datin-datin dan seterusnya..”

“Tan Sri Samad!” Azman terkejut mendengar ucapan pembukaan itu.

“Yelah! Itu bapa Farid! Baru aku ingat muka dia.”

“Soalannya apa yang dia buat kat sini?”

“Entahlah. Ini yang menimbulkan kemusykilan ni.”

“Tak apa kita lepak dulu. Tengok apa kesudahannya.”

“Yang penting makan free!” Ujar Eddy tersenyum.

Patutlah berubah riak muka Sara tadi. Bakal mertua tak jadi rupanya. Bisik hati Azman.

Upacara majlis diteruskan pula dengan ucapan Tan Sri, Bapa Zafrul, Zafrul dan majlis makan malam. Slide gambar-gambar Zafrul serta kedua ibubapanya sejak beliau kecil dipertontonkan semasa makan malam.

Sejurus selepas makan malam, Zafrul naik ke atas pentas. Berdiri di rostrum, dia memandang ke arah Sara kemudian menoleh ke arah meja Azman.

“Sidang hadirin yang saya hormati sekelian. Di sini saya ingin membuat satu pengumuman. Kedua ibubapa saya selalu bertanya soalan bilakah saya akan mendirikan rumah tangga memandangkan saya ni dah tua bangka.” Tetamu yang hadir ketawa dengan kata-katanya itu. Mereka yang berada di meja Azman sedar mereka seakan menanti bom yang bakal meletup. Entah kenapa mata Ayu dan Alia mula berkaca-kaca.

“Bukan tak mahu kahwin tapi saya belum bertemu dengan calon yang sesuai selama ini. Namun demikian malam ini merupakan malam yang bertuah kerana malam ini saya akan memperkenalkan bakal suri hidup saya khususnya kepada kedua ibubapa saya dan kepada anda semua sidang hadirin yang saya muliakan.”

“Saya ingin memperkenalkan seorang gadis yang cantik, seorang doktor yang berkarisma, seorang insan yang saya cintai... Doktor Sara Yasmin binti Datuk Halidi.” Katanya sambil menunjukkan pada Sara yang seakan tak bersedia. Lampu sorot fokus kepada Sara yang masih duduk kaku. Zafrul yang mengharapkan Sara bangun dan naik ke pentas hampa. Dia terpaksa turun mendapatkan Sara. Sara bangkit tatkala tangannya ditarik menuju naik ke atas pentas. Hadirin masih lagi bertepuk tangan. Ada yang berdiri sambil bertepuk tangan termasuk pasangan Tan Sri dan Puan Sri juga kedua ibu bapa Zafrul.

Azman sudah tak berdaya lagi menahan gelora hatinya yang memuncak. Dia bangkit lalu melangkah laju menuju ke pintu keluar. Lord juga yang lain mengekorinya dari belakang. Pada saat itu barulah Sara sedar yang Azman berada di majlis itu. Bunyi meja dan kerusi yang bergerak menyebabkan para tetamu menoleh ke belakang namun demikian Zafrul cuba mententeramkan majlis dengan memberitahu yang selepas ini mereka akan mengadakan upacara memotong kek.

“Sabar Man.” Lord memegang bahu Azman sepanjang perjalanan menuju ke tempat letak kereta.

“Sabarlah. Bunga bukan sekuntum. Mungkin lepas ni Man boleh dapat makwe yang lebih baik lagi.” Ayu cuba memujuk Azman sepanjang perjalanan menuju ke dalam kereta walaupun airmatanya bergenang mengenangkan nasib Azman.

“Sorilah kalau aku menyusahkan korang semua.” Itu sahaja yang terkeluar dari mulut Azman.

“Man! Man! Sini kejap!” Jerit Shidee yang berada tak jauh di depan.

Azman bersama dengan Lord melajukan langkah mendekati Shidee.

Jari telunjuk Shidee menunjukkan kepada sebuah kereta yang terletak di hadapannya.

“Hah! Siapa bawak kereta ni?” Takkan Tan Sri Samad nak bawak kereta ni. Azman terkejut melihat kereta Honda Intergra hijau milik Farid itu.

“Entahlah. Nak tunggu tengok?”

Belum sempat Azman menjawab terdengar tapak kaki seseorang yang berlari menuju ke arah tempat mereka berdiri. Mereka menoleh. Zafrul mendekati.

 “Beginilah Azman. Kalau kau anak jantan, aku cabar kau dalam satu perhitungan satu lawan satu. Aku dengar kaulah pelumba paling hebat di Kuala Lumpur ni. Tapi kau belum kenal siapa aku lagi. Aku akan buktikan pada kau kalau motor kecil macam semut tu mungkin kau yang paling hebat tetapi aku nak kau tahu yang motor superbike akulah heronya. Untuk pengetahuan kau, aku selalunya dapat apa yang aku mahu. Sara bakal menjadi milik aku dan sekarang ni aku mahu kalahkan Manjoe Mat Rempit yang paling handal dan popular dalam KL ni dalam satu perlumbaan. Masa aku kalahkan kau nanti maka lengkaplah kehidupan aku ni.” Panas hati Lord melihatkan keegoan Zafrul. Dia melangkah ke depan dengan buku lima yang sedia terkepal. Azman menghalangnya.

        “Zafrul, kau silap orang nak ajak berlumba ni. Makan asap je kau nanti.” Eddy menyampuk geram.

“Maaflah Zafrul, walau apa jugak yang kau katakan, walau apa juga alasan yang kau berikan, aku tak dapat terima, aku dah lama berhenti berlumba. Lagipun aku manalah ada motor Superbike?” Tanpa berfikir Azman terus sahaja memberi alasan walaupun hatinya mahu sahaja menerima cabaran itu namun akalnya yang lebih waras menguasai.

“Kau tak nak berlumba walaupun pertaruhannya Sara Yasmin?”

“Sara? Apa kena mengena dia dalam hal ni?”

“Beginilah. Kalau kau menang aku akan pulangkan Sara kembali pada kau dan janji tak akan ganggu dia lagi tapi kalau kau kalah aku mahu kau lupakan Sara buat selama-lamanya.”

“Aku bagi masa sebulan dari sekarang untuk kau buat persiapan. Kau pinjamlah motor sesiapapun. Itu aku tak peduli. Aku tahu kita akan berlumba. Di situlah penentuannya.”

XXXXXX

Oleh kerana hati mereka panas, mereka mengambil keputusan untuk tidak menunggu demi mengetahui sipakah yang memandu kereta Intergra itu. Setelah menghantar kawan-kawan yang lain di Bangsar Park, Lord memandu kereta Vellfire itu menaiki sebuah bukit yang terletak di kawasan Ampang. Dia tahu hati Azman kawannya itu berkecamuk disebabkan konflik yang terjadi awal tadi. Jalan itu merupakan jalan pintas yang menghubungi Ampang dan Ulu Langat. Di malam hari ia agak sunyi. Di puncak bukit  yang memperlihatkan pemandangan cantik lampu-lampu yang bersinar dari kota raya Kuala Lumpur di waktu malam, Lord memberhentikan kereta tersebut. Dia tahu Azman perlukan ketenangan di kala itu. Dari situ Menara berkembar KLCC kelihatan yang begitu gah menguasai horizon ibukota ini.

“Kau nak sahut ke cabaran Zafrul tu Man?”

“Entahlah. Aku tak buat keputusan lagi. Aku kena fikirkan semasak-masaknya.”

“Teruk aku kena hari ini. Aku peliklah kenapa Tan Sri Samad ada kat sana.”

“Kan bapanya GM syarikat Tan Sri Samad tu.”

“Yelah, tapi pada aku kebetulan itu menimbulkan pelbagai keraguan. Ada kemungkinan tak Tan Sri Samad nak kenakan aku dengan menggunakan Zafrul? Kau rasa?”

“Kemungkinan tu tetap ada bro’.”

“Sedih aku Lord tengok Sara pakai baju sama dengan Zafrul tadi. Lagi sedih bila Zafrul buat pengumuman tu tadi.”

“Tapi aku nampak Sara macam reluctant. Macam tak ikhlas je.”

“Entahlah. Mungkin juga perhubungan aku dengan Sara sampai di sini sahaja. Fantasi atau mimpi telah sampai ke penghujungnya. Kau kena balik ke dunia realiti. Inilah kenyataanya..” Azman mengeluh.

“Janganlah cepat sangat mengalah Man. Dulu kau tak mengalah kenapa baru sekarang kau nak mengalah pulak?”

“Keadaan dulu dan sekarang jauh berbeza Lord. Dulu dia tak suka pada Farid tapi Zafrul cinta lamanya yang tak dapat dia lupakan.”

“Pada aku kita kena fight! Jangan mengalah sebelum berjuang. Pada aku kita kena cari jalan dedahkan keburukan dan penipuan Zafrul tu. Siasat kalau-kalau dia bersekongkol dengan Tan Sri Samad. Kalau semua tu tak berjaya terpaksalah...”

“Terpaksalah aku berlumba?”

“Tahupun. Itu ajelah jalan yang aku nampak kalau kau nakkan Sara balik.”

“Hem.. Aku sebenarnya ada beberapa perkara yang aku tak faham.”

“Apa dia?”

“Aku pelik macamana Zafrul seakan tahu setiap gerak geri aku. Kau bayangkanlah kita terserempak dengan dia kat KLCC, lepas tu dia arrange buat birthday Sara sama masa dengan yang kita nak buat kat Tasik Perdana. Lepas tu semalam, dia bagi handphone macam kau punya tu pada Sara. Mana dia tahu semua tu?”

        “Ye ke! Pelik jugak tu.”

“Aku syak mungkin di kalangan kita ada musuh dalam selimutlah Lord. Khairul kenal dia aku rasa Khairul yang beritahu ni sebab masa kat Tasik Perdana dia tak datang. Aku rasa dia dengan Sara dan Zafrullah.”

“Mungkin jugak. Tadi masa kita kat Golf club tu pun dia tak nak balik sama sebab dia kata dia nak ke rumah kawan dekat situ. Dia suruh kita balik dulu.”

“Hah! Tu pun sama. Kau dah telefon kawan kau Azizul tu?” Tanya Azman.

“Dah. Tapi semalam dia tak angkat. Biar aku try call dia sekali lagi sekarang.” Lord mendail telefon bimbitnya bagi mendapatkan Azizul tetapi hampa. Masih tiada jawapan lantas dia meninggalkan pesan.

“Masih tak angkatlah.”

“Tak apalah. Nanti cuba lagi. Pepehal kita cover sikit dengan Khairul tu.”

“Okay. Kau dah okay belum? Kalau belum kita cerita lagi.”

“Okaylah kot. Nak buat macamana... Jomlah kita balik. Dah lewat dah ni.”

“Jom... Kita lalu Ulu Langat nak?” Ajak Lord.

“Kenapa pulak?”

“Saja je.” Jawabnya selamba.

“Ikut kaulah! Kau yang drive.”

Jalan berliku menuruni puncak bukit yang gelap itu agak merbahaya di waktu malam. Entah macamana terdapat tompokan minyak di tepi jalan yang menyebabkan kereta Vellfire yang begitu besar itu nyaris sahaja terbabas.

“Fuh! Nyaris masuk gaung kita Man.” Lord mengurut dada menarik nafas lega.

“Tulah! Mana datang minyak atas jalan raya ni! Bahaya betul!” Sahut Azman yang masih terkejut.

“Bawak perlahan bro’. Bahaya tempat ni, dahlah sunyi. Kang apa-apa jadi masalah kita nanti. Tak siapa tahu. Tahu-tahu keluar berita je besok.” Pesan Azman.

“Yelah.” Jawab Lord kembali memulakan perjalanan yang tergendala tadi.

BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment