Followers

Wednesday, April 24, 2019

BAB 13 - MAN REMPIT 2 KARYA FAIZAL YUSUP

BAB 13   

Entah kenapa pagi itu Lord mengajak Azman dan kawan-kawannya untuk bersarapan di rumahnya. Katanya dia mengajak sebab nak bagi peluang kawan-kawannya terutama Eddy untuk mandi kolam renang. Suasana pagi hujung minggu adalah hari yang paling sesuai untuk berendam dalam kolam renang itu.

 Selepas bersarapan mereka semua tak sabar untuk terjun ke dalam kolam renang tersebut tetapi Lord mengajak mereka semua ke garaj kereta. Garaj kereta yang tertutup itu letaknya di tepi rumahnya. Setibanya di situ pintu garaj itu dibukanya dan mereka semua memasukinya.

“Tadaa!!!” Tak semena-mena Lord berteriak.

Sebuah motor yang dibungkus dengan kain kanvas putih dan berhabuk itu dibuka Lord. Azman terkesima melihat Motor CBR 900RR Honda Fireblade hitam berjalur merah yang agak lusuh warnanya itu. Habuk dan sawang melekat pada motor tersebut menandakan yang ianya sudah lama tersimpan di situ. Lord tersengih menampakkan barisan giginya yang putih tersusun.

“Motor siapa ni Lord?”

“Motor Danial. Dah lama dia tak pakai. Semenjak dia berjinak-jinak dengan kereta. Lagipun kan dia dah ke UK sambung belajar...”

“Dia tak marah ke kalau aku pinjam?”

“Sure boleh punya. Kita bawak ke bengkel Shidee bikin apa yang patut aku rasa readylah nanti untuk perlumbaan tu. Kalah menang belakang cerita sebab motor Zafrul tu baru dan memang power.”

XXXXXX

        “Abang Man, motor siapa ni?” Tanya Shida gadis sunti yang masuk ke dalam bengkel itu. Bengkel yang terletak tak jauh dari rumahnya.

        “Motor Abang Lord punya adik. Shida buat apa kat sini?”

        “Mak suruh Shida hantar makanan pada abang. Tak tahu pulak ramai kat sini. Kalau tidak boleh bungkuskan sekali.” Jawabnya kembali.

        “Tak apalah kitorang dah makan tadi..” Jawab Azman sambil terus memandang Shidee yang sedang mengetatkan beberapa skrew pada motor itu. Shida meletakkan bungkusan makanan di atas meja dan terus sahaja memerhatikan gelagat mereka dengan motor yang besar itu.

“Kau jangan belasah kuat sangat. Pelan-pelan dulu.” Ujar Shidee sebaik dia siap memasang kembali semua bahagian engin motor Fireblades yang dileraikannya sejak semalam. Motor itu masih togel kerana dia belum sempat memasang visornya di kiri dan kanannya.

“Okay.”

Azman menaiki motorsikal yang besar dan berat itu. Dia menekan punat “start” berwarna merah di sebelah kanan pemegang motorsikal tersebut.

Bunyinya mengaum. Ekzos Vance and Hines buatan Amerika itu bergema di dalam bengkel tersebut. Azman pun memakai helmet kuningnya dan menunggangnya perlahan. Visor helmetnya dibiarkannya terbuka. Setiap kali dia menukar gear motor itu semakin laju. Dia dapat merasakan kuasa motorsikal tersebut. Kuasa yang tak pernah dirasainya sebelum ini. Keluar dari jalan Selayang memasuki MRR2 dia mula memecut.

100 km/j, 120 km/j, 140 km/j, 160 km/j, 180 km/j hingga ke 200 km/j matanya mula berair ditiup angin. Seumur hidupnya tak pernah dia melepasi kelajuan yang begitu. Inilah kali yang pertama. Visornya helmetnya ditutup. Memasuki lebuhraya Duke menuju ke Jalan Duta, Azman memperlahankan motor tersebut untuk membelok namun ia tersasar. Nyaris sahaja terkena batu pembahagi jalan yang tersusun di situ. Dia cuba menurunkan motor tersebut tetapi ia seakan tak mahu turun mengikut kehendaknya.

Memasuki jalan lurus sekali lagi dia memulas throttle minyak motor itu. Kali ini motor itu bergerak lebih pantas hingga mencecah 280 km/j. Hatinya cuak. Motor itu terlalu pantas buatnya. Dia seakan hilang kawalan seketika lantas dia kembali memperlahankannya. Tanpa disedari dia telah sampai Jalan Duta. Azman berpatah balik kembali ke bengkel yang letaknya di Batu Caves itu.

“Pergh! Power gila motor ni.”

“Berapa dapat top speed?”

“2.8. Tak berani nak tahan. Aku rasa tak dapat kawallah kuasa dia.”

“Tak apa.. Kali pertama Manjoe. Kena berlatih lagi. Lelama okaylah tu.”

“Ada masalah tak motor tu?”

“Suhu dia naiklah Shidee. Ada masalah radiator ni kot?” Tersumbat agaknya.

“Yelah.” Ujar Shidee bila melihat penanda meter suhu yang berada di tahap yang tinggi kepanasannya.

“Tak apa biar aku cek. Mungkin aku kena buka thermostat dia. Boleh kan Lord?”

“Ikut suka kaulah. Kau mekanik dia bukan aku.”

“Shidee, satu perkara boleh tak kau cat motor ni warna hitam. Hitam semuanya. Baru ganas!”

“Boleh jer. Tapi aku rasa baik warna kuning. Warna kegemaran Manjoe.”

“Hem, okay jugak tu. Nanti aku tanya Danial macamana.”

“Okay.”

XXXXXX

Budak-budak kecil yang tadinya bermain di bawah flat Kampung Kerinchi itu berlari-lari anak mengejar motosikal Honda CBR900RR yang ditunggang Azman itu. Mereka mengenali Azman daripada helmet kuning yang biasa dipakainya.

“Abang Man! Abang Man! Nak naik! nak naik!”

Azman berhenti dan membawa 3 orang budak naik bersamanya. Seorang duduk di atas tangki dan dua lagi dibelakangnya.

“Gilir-gilir seorang sekali je tau! Jaga kaki dik! Ekzos tu panas.” Kata Azman sambil memberi arahan kepada budak yang membonceng di belakangnya.

Setelah membawa 3 orang budak itu bersiar-siar di kawasan flat itu dia kembali dan mengambil 3 orang lagi kanak-kanak yang sedia menunggu dan begitulah seterusnya. Kanak-kanak yang turun dari motor besar itu keriangan umpama sebuah impian menjadi kenyataan. Azman gembira melihat gelagat dan reaksi kanak-kanak kecil itu. Mereka sibuk menceritakan pengalaman memasing menaiki motor tersebut.

Semasa dia meletakkan motorsikal itu untuk naik ke rumahnya di tingkat atas, bebudak itu masih lagi mengekorinya dan membelek motor tersebut.

“Motor siapa kau bawak balik tu Man?” Tanya ibunya yang nampak gelagatnya dari atas bangunan flat itu sebentar tadi.

“Motor kawan. Adik Lord. Pinjam kejap.”

“Kau baik-baik. Jatuh karang kita tak ada duit nak bayar ganti rugi.” Pesan ibunya.

“InsyaAllah mak. Mak janganlah doakan Man jatuh pulak.”

“Taklah bukan apa. Motor besar macam tu mahal harganya.”

“Motor kau mana?”

“Ada. Parking kat rumah Lord. Kejap lagi nak ambillah. Lagipun bahaya parking motor tu kat bawah sana. Calar pulak nanti. Bebudak kecil tu dok naik.”

“Tahupun. Hantarlah cecepat.”

“Yelah mak. Man nak mandi kejap ni.”

“Bila abang nak bawak Aina naik motor tu? Mesti laju gila kan bang.”

“Ha’ah. Laju. Nanti abang bawaklah Aina naik.”

Azman melangkah masuk ke dalam biliknya untuk membersihkan diri dan mandi. Selepas itu dia ingin ke rumah Lord untuk memulangkan motor dan mengambil kembali motornya yang diletakkan di sana.

“Mana helmet dengan kunci motor tadi mak?” Azman pelik kerana dia yakin dia meletakkan helmet dan kunci motor itu di atas meja tamu depan rumahnya itu namun ia tak kelihatan lagi.

“Bapak kau ambil. Dia kata nak keluar beli rokok kejap.”

“Takkanlah nak beli rokok pakai motor tu.”

“Manalah mak tahu?”

“Dia geram agaknya.”

Hem.. Bapa aku bawak motor besar?  Pelik bin Ajaib. Tahu ke dia? Tak pernah-pernah dia buang tebiat begini. Hatinya berbisik perlahan.

        “Tuning dia tak berapa betul tu. Engin dia rasa kasar sikit. Tak dapat top speed nanti. Suruh budak kau tu dyno tuned motor ni lepas tu pasang jet kits.” Kata bapa Azman sebaik dia pulang ke rumah. Kunci dan helmet diletakkan semula di atas meja yang terletak di ruang tamu rumahnya.

        Punyalah Azman terperanjat dengan komen bapanya tentang prestasi motor tersebut walaupun dia hanya keluar menunggangnya untuk seketika dua.

“Mana abah tahu semua ni?”

        “Tahulah sikit-sikit Man. Abah kan dah lama hidup. Adalah pengalaman serba sedikit. Kau bawak baik-baik tahu. Abah taknak kehilangan anak lagi. Cukuplah seorang tu. Keluarga ni pun dah cukup derita dengan perihal korang. Kau dengar tak ni?”

        “Orang dengar bah...” Azman rasa pelik dengan pengetahuan bapanya mengenai motor. Mungkin juga telahannya itu boleh membantu. Selama ini dia tak pernah mendengar bapanya bersuara mengenai apa-apapun kerana setahu dirinya bapanya itu seorang yang pendiam dan tak banyak cakap.

BERSAMBUNG...












No comments:

Post a Comment