Followers

Wednesday, April 24, 2019

BAB 14 - MAN REMPIT 2 KARYA FAIZAL YUSUP

BAB 14

Sudah seminggu Azman cuba menyesuaikan diri dengan motor Honda Fireblades itu. Keadaan nampaknya lebih baik. Dia telah mula dapat mengawal motor tersebut. Belokan yang diambil tak lagi tersasar. Suspensionnya juga berada dalam keadaan baik. Lembut dan sesuai dengan berat badan dan cara tunggangannya. Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar. Dia tak sangka yang menunggang motorsikal berkuasa besar sungguh menyeronokkan. Darah adrenalin yang naik ke muka menguasai perasaannya setiap kali bertemu dengan cabaran baru menunggang motorsikal tersebut.

“Manjoe, ni aku ada bawak something untuk kau.” Kata Lord. Tangannya menjinjing sebuah beg kain berwarna hijau.

“Apa benda tu Lord?”

“Ni ha. Kau perlukan benda ni.”

Sebuah helmet fullface berwarna hitam berjenama Nolan buatan Italy dikeluarkan dari beg itu.

“Fuh! Cantik helmet ni. Kalau pakai nampak macam power rangers!” Ujar Bad.

“Yelah. Siapa punya ni Lord?”

“Siapa lagi. Danial punyalah. Dia bagi kau pakai.”

“Terima kasihlah Lord. Cakap terima kasih pada adik kau tu ye Lord?”

“No problem.”

“Kau nak test motor lagi hari ni?”

“Ha’ah. Shidee kata semua dah tip top.”

“Tapi kat luar tu nampak macam nak hujan.”

“Tak apalah aku keluar kejap, test power sikit. Baliklah.”

“Okay ikut suka kaulah. Tapi berhati-hati. Karang kalau jatuh satu hapah tak guna. Race kemana Sara kemana.”

“Yelah! Yelah! Aku tahu.”

Hari itu Azman mengambil keputusan untuk melalui lebuhraya NKVE menuju Bukit Raja Kelang. Dia mahu mencuba mendapatkan kelajuan maksima motor tersebut. Menguji keupayaan sebenar motorsikal hingga ke had maksimanya.

Dia memakai helmet fullface Nolan bervisor gelap pemberian Lord itu. Namun dia hanya memakai T-Shirt putih dan berseluar jeans. Azman memulakan perjalanan keluar dari bengkel memasuki lebuhraya Duke ke arah tol Jalan Duta. Hari kelihatan semakin gelap, mendung menandakan hari akan hujan.

Mendekati tol jalan Duta sesuatu yang tak terfikir olehnya berlaku. Sebaik sahaja keluar dari tol itu sebuah motorsikal Kawasaki Ninja ZX10R hijau memintasnya. Penunggangnya lengkap dengan suit lumba yang diperbuat dari kulit berwarna hijau berjalur hitam.

“Zafrul!” Terpacul keluar dari mulutnya nama itu.

Azman menurunkan gear motor tersebut dan cuba mengekori. Motor Kawasaki itu begitu laju. Dari situ ia juga menuju masuk ke NKVE menuju ke arah Kelang. Zafrul sedar dia diekori. Dia langsung tak tahu menahu yang itu sebenarnya Azman kerana dia tak pernah nampak motor Fireblade yang berwarna hitam itu. Lagipun Azman memakai fullface dengan visor yang tak memperlihatkan wajahnya. Apapun Zafrul memperlahankan motornya memberi peluang kepada Azman untuk memotong.

Azman memecut dan terus memecut ke tahap 290 km/j namun demikian, Zafrul dapat mendekati dan memotongnya. Azman terkedu. Throttle minyak motor itu telah habis dipulasnya namun ia tidak mencukupi untuk meninggalkan Zafrul. Zafrul yang memintasnya mula menjauh. Separuh tiang, satu tiang, dua tiang dan seterusnya hingga melepasi Subang.

Bintik-bintik hujan tiba-tiba mula turun dari langit. Dalam kelajuan begitu setiap titisan hujan yang mengenai badannya terasa begitu bisa sekali. Azman menundukkan kepalanya semakin rapat di atas tong minyak. Disamping mencuri angin dia juga cuba mengelakkan titis-titis hujan dari menimpanya.

Entah kenapa Zafrul memperlahankan motorsikalnya sekali lagi memberi peluang kepada Azman untuk memotong buat kali yang kedua. atau mungkin kerana hujan mula turun.

Apapun Azman mendekati dan kembali memintas motor Kawasaki tu ZX10R itu pada kelajuan melebihi 290 km/j. Keperitan yang dirasai disebabkan oleh bintik-bintik hujan yang mengenai tubuhnya itu tidak dihiraukannya. Dia mahu menang. Itu sahaja fokus utamanya dikala itu tetapi tak lama kemudian sekali lagi dia nampak pada cermin sisinya Zafrul mendekati dan memotongnya pada kelajuan yang tertinggi. Azman cuba mencuri angin dengan mengekori rapat di belakang Zafrul namun ia tidak berhasil. Semakin lama motor hijau itu semakin menjauhi. Azman tak berdaya berbuat apa-apa lagi. Dia rasa dipersendakan oleh Zafrul. Zafrul terus sahaja berlalu meninggalkan Azman sambil tangan kirinya melambai-lambai padanya.

Azman pulang dengan kekecewaan. Hatinya panas. Badannya kemerahan-merahan disebabkan bisa titis-titis hujan tak dipedulikannya. Dia kalah dalam perlumbaan tidak rasmi itu walaupun telah mencuba ke tahap yang terbaik. Keyakinannya untuk mendapatkan Sara kembali semakin luntur.

Sejurus sampai ke bengkel Shidee, wajahnya yang kelat mengundang persoalan.

“Kenapa ni. Muka macam rumah tak siap je.”

“Ha’ah! Tadi pergi elok jer.”

“Kenapa merah-merah tangan dengan badan kau ni?”

“Bawa laju dalam hujan biasalah tu. Sebab tu orang pakai jaket kulit bila bawak motor besar. Tak apa nanti kita cari satu.” Lord menerangkan.

“Satu cara aja yang aku nampak macamana nak kalahkan dia.”

“Apa dia? Tanya Azman ingin tahu.”

“Kita beli motor Hayabusa Suzuki GSX1300R Turbo! Dah tentu boleh pergi lebih 400 km/j!”

“Kau biar betul!”

“Taklah. Mana nak cari duit. Begini, kita ajak dia lumba dalam KL, tempat jem. Aku yakin kebolehan kau mencilok dan mengelak kereta yang bertali arus tu akan membolehkan kau menang perlumbaan tu.”

“Kau rasa dia nak ke?”

“Takkanlah satu syarat tu pun dia tak boleh terima.”

“Lampu isyarat nanti macamana?”

“Pandai-pandailah. Yang penting siapa sampai dulu ke garisan penamat.”

“Ini perlumbaan maut namanya Lord...”

“Maut tak maut itu sahaja cara yang aku nampak.”

Azman langsung tak ingat untuk memberitahu Shidee akan saranan bapanya tempohari tentang bagaimana untuk meningkatkan prestasi motorsikal tersebut. Saat itu dia begitu kecewa kerana bukan hanya dia akan kalah dalam perlumbaan namun dia juga berkemungkinan akan kehilangan Sara.

XXXXXX

Petang itu Sara baru sahaja habis kerjanya. Dia dalam perjalanan menuju ke arah tempat letak kereta kakitangan Hospital Universiti yang letaknya berdekatan dengan Wad Bersalin. Dia mahu pulang ke Shah Alam. Melewati Fakuti Pergigian sebuah van putih tiba-tiba berhenti di hadapannya. Pintu van itu terbuka, dua orang lelaki turun seorang menekup mukanya dengan saputangan. Bahan kimia yang ada pada saputangan itu  menyebabkan dia pengsan. Dia dibawa masuk ke dalam van itu dan dibawa pergi.

Bila sedar Sara mendapati dirinya berada dalam sebuah bilik yang terkunci. Dia terlantar dia atas sebuah katil Queen Size yang besar. Sara ketakutan, dia bangkit menjerit dan mengetuk pintu bilik itu tetapi tiada siapa yang menghiraukannya. Setelah penat mengetuk pintu dan menjerit dia terduduk layu.

Dia tak tahu siapa yang tergamak menculiknya, dia tak tahu apa sebabnya dia diculik, dia tak tahu dia berada dimana di kala itu. Tiada apa yang boleh dibuatnya melainkan duduk dan berdoa semoga dia tidak diapa-apakan.

XXXXXX

        “Ingat-ingatlah bumi, bila di tempat tinggi.” Lagu ringtone telefon Azman berbunyi. Nombor yang tertera di panel telefon itu tidak dikenalinya.

        “Hello...”

        “Azman! Ni Datuk Halidi.”

        “Ye Datuk. Ada apa datuk telefon saya malam-malam begini?”

        Sara kena culik Azman. Mereka telefon tadi. Mereka tak minta duit tebusan tapi mereka kata hanya kamu seorang yang dapat menyelamatkan Sara. Untiepun dah dua kali pengsan.

        “Datuk tak laporkan pada pihak polis?”

        “Tak. Mereka telah beri amaran, kalau saya berbuat demikian Sara akan menjadi mangsa.”

“Azman tolonglah Uncle. Uncle akan bagi apa sahaja yang Azman mahu. Janji Sara selamat. Tolonglah Azman. Tolonglah.” Rayunya.

        “Baiklah Datuk! Saya janji. Saya rasa saya tahu ini angkara siapa.”

“Siapa?”

“Saya tak mahu buat tuduhan sekarang tapi saya akan beritahu Datuk bila saya mendapat kepastian mengenainya.”

Azman meletakkan telefon dan terus mendail nombor Lord.

“Masalah ni Lord. Sara dah kena culik. Aku yakin ini angkara Zafrul! Dia tahan Sara tak tahu kat mana.”

“Aku rasa dia nak jaminan untuk pastikan kau kembali berlumba.

“Toot! Toot! Bunyi incoming call mengganggu bicaranya.

“Jap Lord, ada call masuk.” Azman menekan butang hijau menyambut panggilan yang satu lagi.
       
“Hello brader!”

        “Zafrul! Aku tahu kau yang culik Sara!”

        “Eh! Apa pulak ni? Aku call nak tanya kau pasal samaada kau cukup berani sahut cabaran aku untuk berlumba. Lagipun aku tak culik dia. Aku cuma simpan dia kejap. Sebagai jaminan memastikan kau turun berlumba.”

“Kau jangan berani sentuh dia. Kalau aku nampak walau segaris luka pada tubuh Sara aku akan cari kau sampai lubang cacing sekalipun!”

“Itu kau jangan risau. I am man of my words. Sekarang aku nak kau turun berlumba.” 

“Baiklah aku sahut cabaran kau tu tapi dengan satu syarat! Kalau kau meletakkan syarat untuk berlumba dengan motor Superbike, aku juga ada syarat aku sendiri. Kita lumba dalam Kuala Lumpur! Itupun kalau kau berani. Aku cabar kau pulak kalau kau anak jantan! Malam minggu ni kita jumpa kat pintu gerbang Kota Darul Ehsan. Jam 12 malam.”

        “Baiklah!”

        “Dan kalau aku menang, kau lepaskan Sara.”

        “Kau simpanlah angan-angan kau nak menang tu Manjoe!” Zafrul ketawa.

        Azman mencadangkan mereka bermula dari Kota Darul Ehsan memasuki Jalan Bangsar, Jalan Travers, Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, memasuki Jalan Sultan Ismail hingga ke Wisma Genting, dari situ menuju ke Jalan Tun Razak arah Selatan, keluar Jalan Sungai Besi, masuk kembali ke Petaling Jaya melalui Jalan Seputeh, Mid Valley, Angkasapuri, Kampung Kerinchi dan kembali ke Pintu Gerbang sebagai garisan penamat.

        Namun Zafrul tahu taktik Azman untuk menggunakan kemahirannya di dalam jalanraya yang sesak. Jadi dia tidak bersetuju dan mencadangkan haluan yang berbeza dengan melebihkan perlumbaan di lebuhraya. Dia yakin peluangnya untuk menang lebih tinggi di lebuh raya.

Akhirnya mereka bersetuju yang perlumbaan itu bermula dari pintu gerbang Kota Darul Ehsan melalui lebuhraya persekutuan terus memasuki Dataran Merdeka melalui Bas Stand Kelang, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, melalui Wisma Genting, Dari situ keluar Jalan Tun Razak menuju ke selatan keluar jalan Sungai Besi, masuk kembali ke Petaling Jaya melalui Seputih, Mid Valley, Angkasapuri, Kampung Kerinchi dan kembali ke Pintu Gerbang sebagai garisan penamat.

        Mereka juga bersetuju, tiada peraturan dalam perlumbaan ini. Kemenangan ditentukan di garisan penamat. Siapa yang sampai dulu dikira pemenang. Kalau ada sesiapa yang motornya rosak, jatuh mahupun kemalangan itu adalah risiko yang mereka harus tanggung sendiri dan mereka akan dianggap kalah.

        Azman menekan butang kembali menyambung talin dengan Lord.

        “Zafrul tu tadi. Betul kata kau tu. Dia tahan Sara sebagai jaminan. Aku dah cakap pasal lumba dalam KL tu macam yang kau sarankan.”

        “Dia setuju?”

“Ya!”

“Bila?”

“Pukul 12 malam minggu ni kat Kota Darul Ehsan.”

“Kita kena siapkan motor tu nampaknya.”

“Eh! Lord bapa aku ada sarankan suruh buat dyno tune dan pasang jet kit pada motor tu.”

“Mana bapa kau tahu semua tu?” Tanya Lord lagi kehairanan.

“Entahlah Lord. Yang penting sekarang kita kena selamatkan Sara!”

        Sementara itu Zafrul pula menelefon seseorang yang boleh membantu dia menjayakan rancangan jahatnya.

“Bro! Dia dah setuju untuk berlumba dengan aku malam Sabtu malam Ahad ni.”

        “Lumba kat mana?”

        “Mula dari Kota Darul Ehsan, masuk bandaraya lalu Sultan Ismail, keluar balik ke Kota Darul Ehsan tu. No rules attached.”

        “Bahaya tu bro!”

        “Ah! Kau jangan risaulah. Apa-apapun aku ada kerja untuk kau buat untuk pastikan kemenangan aku tu. Habuannya menarik. RM20,000.00 cukup?”

        “Banyak tu! Kau nak aku buat apa?”

“Memula aku minta kau kumpul bebudak motor kita. Lepas tu malam tu kau bawaklah kereta Intergra aku tu tunggu kat satu tempat yang aku akan beritahu nanti.”

Zafrul menerangkan dengan terperinci rancangannya kepada lelaki yang diupahnya itu.

“Okay. Kira setel.” Lelaki itu memberikan jaminannya.

Zafrul tersenyum puas. Segala rancangannya berjalan dengan lancar. Tan Sri Samad memberinya cukup bantuan kewangan untuk tujuan ini. Sara pula telah berada dalam tahanannya. Motornya berada dalam keadaan bersedia. Perlumbaan yang dimenanginya siang tadi mengalahkan Honda Fireblades itu cukup meyakinkan dirinya. Manjoe telah bersetuju untuk berlumba dalam perlumbaan yang tak mungkin dimenanginya kerana dia telah membuat perancangan yang begitu teliti. Kemenangannya akan menjadi buah mulut semua orang. Zafrul berjaya mengalahkan Manjoe mat rempit yang terkenal itu dan pada masa yang sama Sara akan menjadi miliknya sepenuhnya.

Dia begitu yakin yang perancangannya akan berjaya dan semua ini akan menjadi kenyataan tak lama lagi.

BERSAMBUNG...











No comments:

Post a Comment