Followers

Wednesday, April 24, 2019

BAB 15 - MAN REMPIT 2 KARYA FAIZAL YUSUP

BAB 15

        Jam 11.30 malam Azman dan kawan-kawannya sudah berkumpul di tepi Lebuhraya Persekutuan berdekatan pintu gerbang Kota Darul Ehsan itu. Ramai Mat Rempit yang tahu mengenai perlumbaan yang dinamakan “Perlumbaan Maut” yang bakal berlangsung itu. Mereka juga turut berada di situ. Boleh dikatakan semua mereka menunggang motor kecil. Hanya Azman yang menunggang motor Superbike motor Honda CBR900RR yang lebih dikenali sebagai Fireblades itu. Motor itu berwarna hitam itu sekarang berkilat seperti sebuah motor yang baru. Tidak sepetimana ia dikeluarkan dari garaj dulu. Itulah warna kehendak Lord kemudian Azman juga memakai pakaian serba hitam.

        Saat itu mat rempit bukan hanya berada di situ tetapi boleh dikatakan semua persimpangan jalan yang bakal Zafrul dan Azman lalui ada penunggunya. Sekali lagi untuk menyokong Azman atau lebih dikenali sebagai Manjoe di kalangan mereka.

        “Kau okay Man? Parut kat perut kau tu masih berdarah?” Tanya Lord.

“Okay, setakat ini bertahan. Aku tak fikirpun pasal tu bro’. Fikiran aku cuma fokus pada perlumbaan malam ni.” Jelas Azman.

“Orait Man! Semuanya aku dah buat. Dyno tuned, Jet kit semua aku dah pasang macam yang kau suruh aku buat tu. Aku yakin boleh pergi 300 lepas ni. Tapi kita tak sempat nak test. Tak kesahlah! Aku yakin dengan kebolehan kau tu!” Terang Shidee pula.

“Terima kasih bros! Sekarang nampaknya tinggal satu perkara lagi yang perlu diselesaikan dan yang ini serahkan pada aku. Aku akan cuba yang terbaik.” Tegas Azman penuh keyakinan.

Kedengaran bunyi segerombolan lebih kurang 30 biji motor besar memecut laju di seberang leburaya sana. Zafrul dengan ZX10Rnya kelihatan berada di hadapan. Kawan-kawannya semua menunggang motor sportsbike pelbagai warna, pelbagai jenis siap dengan pakaian kulit yang serba lengkap. Mereka berpusing di Jalan Gasing berhadapan dengan bangunan KWSP.

        Zafrul sampai dan berhenti betul-betul di sebelah Azman. Kawan-kawannya menyertainya di belakang.

“Owh! Aku kenal motor ni. Kau rupanya yang aku jumpa kat Lebuhraya NKVE tempohari. Risau jugak aku kekalau kau pakai Yamaha R6 ke. Kalau sekadar motor ni kira sayur la.” Katanya sambil ketawa. Kawan-kawannya juga tergelak sama.

Dia mendekatkan kepalanya ke telinga Azman seraya berbisik,

“Hari tu kau dah kalah. Hari ini kau akan kalah lagi dan Sara akan menjadi milik aku buat selama-lamanya.”

        “Woi brader! Belum cuba belum tahu. Hari ni kau akan kenal siapa Manjoe!” Lord menyampuk kerana tak dapat menahan geram.

        Azman tak berkata apa-apa. Dia sudah bersedia. Bagai panglima perang yang mahu berjuang di medan pertempuran, dia hanya fokus kepada perlumbaan maut yang bakal berlangsung itu. Dalam benaknya dia hanya mahu mendapatkan Sara kembali. Oleh itu segala kata-kata Zafrul itu tak dipedulikannya. Kali terakhir dia berlumba ialah lebih setahun yang lalu kerana mahu menyelamatkan Shida. Kali ini dia terpaksa berlumba lagi kerana mahu menyelamatkan Sara pula.

        Zafrul mengarahkan kawan-kawannya pergi ke persimpangan-persimpangan yang tertentu bagi memastikan tiada gangguan dalam perlumbaan yang bakal berlangsung itu. Juga bagi memastikan tiada polis yang akan menghalang dan mengganggu.

        Kedua pelumba itu bersiap sedia. Detik 12 malam mendekati. Ayu menuju ke depan dengan memegang lampu suluh yang menyala. Dia akan membuat kiraan bagi memulakan perlumbaan itu.

        Bunyi kedua-dua motorsikal itu menderum bergema dalam kepekatan malam. Zafrul membuat drag pada motornya untuk mendapatkan tujahan awal yang kuat. Azman mengikut. Asap putih mula menyelubungi.

“1....2.... Go!” Jerit Ayu.

        Kedua-dua motorsikal itu memecut laju. Tayar depan motor Azman terangkat di sebabkan tujahan yang begitu kuat. Motor itu bergandingan rapat laju meninggalkan penonton-penonton yang ramai di situ. Beberapa biji motor kecil dan besar mengekori mereka termasuk Lord dan beberapa kawan mereka di belakang.

        Memang betul motor Zafrul lebih laju dalam masa yang singkat dia sudah berada di depan dan kelibat Azman sudah tiada lagi dalam pandangannya. Zafrul yakin dia akan dapat mengalahkan Azman di lebuhraya. Kalaupun dia kalah dalam perlumbaan di dalam bandar dia tahu kalau dia dapat masuk kembali di Jalan Tun Razak menuju lebuhraya di segmen akhir litar perlumbaan itu dia tetap akan memenangi pertandingan itu dan Sara bakal menjadi miliknya.

        Mendekati Bas Stand Kelang tiba-tiba lampu motor Azman menyala! Alangkah terkejut Zafrul! Rupanya dia ditipu. Azman menutup lampu motornya dan pakaian serta motor hitamnya menyebabkan dia tak kelihatan di cermin belakangnya. Dia pelik bagaimana Azman masih berada rapat di belakangnya sedangkan dia telah memecut pada kelajuan maksima.

        Memasuki Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut, bunyi kedua-dua motorsikal itu bergema kuat. Bunyi motor itu memantul pada bangunan di kiri jalan jalan namun Zafrul masih berada di hadapan. Setakat ini tiada halangan. Memasuki Jalan Sultan Ismail, Azman mula mengorak langkah. Kemahirannya mencilok dan mengelak kenderaan membolehkan dia memotong Zafrul yang kelihatan teragak-agak. Di sini barulah Zafrul sedar kehebatan Azman. Azman begitu nekad dan berani memotong ke kiri dan kanan seakan tidak mempedulikan keselamatan dirinya. Fireblade yang besar itu diperlakukan seakan sebuah motor kecil. Zafrul dalam pada itu tersangkut-sangkut.

Zafrul bernasib baik kerana kedua-dua mereka terpaksa berhenti di persimpangan Jalan Ampang kerana banyak kenderaan yang melintas. Azman telahpun berada di sebelah kanan berdekatan lampu Isyarat dan Zafrul berhenti selang beberapa kereta di sebelah kirinya.

Lampu bertukar hijau, Azman terlebih dahulu memecut keluar, bas yang terakhir melintas menghalang pergerakan Zafrul. Azman memecut laju di hadapan Hard Rock Cafe berdekatan Hotel Concord itu.  

Tiba-tiba entah dari mana muncul seorang cina tua dengan motor yang sarat dengan muatan bergerak perlahan di depannya. Azman mengelak pantas menjatuhkan motor ke sebelah kanan dan sepantas kilat menaikkannya semula. Nyaris sahaja dia melanggar motorsikal itu.

Zafrul yang berada di belakangnya panik lantas cuba mengelak ke kiri namun demikian dia tak dapat mengawal motornya lalu tergelincir. Zafrul terjatuh! Daya inertia motornya terseret lalu menghentam kaki lima berdekatan Hotel Concorde itu lalu terbang. Dengan tak semena-mena motor itu terlanggar seorang wanita yang sedang berdiri di situ. Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata. Wanita melayu itu tak sempat mengelak lalu dilanggar motorsikal besar berwarna hijau yang terbang itu.

Wanita itu jatuh berdentum kepalanya ke bumi. Tubuhnya mengeletar. Motor yang begitu berat itu menghembap badannya yang genit itu.

Lord dan kawan-kawan Azman yang yang tiba di belakangnya hanya dapat menyaksikan tragedi yang berlaku betul-betul di depan mata mereka. Tiada apa yang dapat mereka lakukan. Mereka seakan tak percaya apa yang telah berlaku itu.

Zafrul pula bangkit dan terus menaiki motor kawannya yang juga tiba di situ. Dia terus angkat kaki berlalu meninggalkan tempat itu secepat mungkin. Motornya yang berat itu disalahkannya. Ia ditinggalkan sahaja di situ. Dia yakin kalau motornya lebih ringan dia akan dapat mengelak cina tua itu tadi. Hatinya merotok. Dia tahu permasalahan dan akibat yang bakal menimpanya. Namun demikian dia tak risau kerana yakin yang Azman takkan selamat sampai ke garisan penamat. Perancangannya dengan Tan Sri Samad cukup teliti dan ada onar yang bakal menanti Azman. Desis hatinya.

Pada ketika yang sama Lord dan kawan-kawannya berhenti di situ. Mereka bersama-sama mengangkat motor tersebut. Orang ramai mula mengerumuni gadis malang yang tak bersalah itu.

“Eddy, telefon Ambulan.” Kata Lord yang sedang memangku kepala gadis yang berlumuran darah itu. Eddy terus sahaja mendail menelefon ambulan.

Dalam pada itu Azman telah lama berlalu dia langsung tak tahu apa yang telah berlaku. Dia hanya menumpukan perhatiannya untuk sampai ke destinasi dan memenangi perlumbaan itu. Demi Sara. Demi mendapatkan Sara kembali. Itu fokus utamanya. Yang lain tak dipedulikannya di kala itu.

Azman memasuki Jalan Tun Razak, bunyi motor Zafrul tak kedengaran lagi, Azman terus memecut dengan lajunya mengelak kenderaan ke kiri dan kanan, dia mahu sampai sampai ke garisan penamat secepat mungkin kerana dia takut Zafrul ada helah yang lain. Dia takut Zafrul menipu dengan menggunakan jalan pintas dan sebagainya.

Sesuatu yang tak disangkanya berlaku. Tak semena-mena sebuah kereta turun dari Jalan Loke Yew begitu laju dan sempat melanggar bahagian belakang motorsikalnya. Motor itu akan terjatuh di sebelah kirinya tetapi Azman sempat menujah kakinya menolak kuat menyebabkan ia tegak semula. Kepantasan dan kemahiran Azman mengelak dan bertindak berjaya menyelamatkan nyawanya. Motor itu terhuyung hayang ke kiri dan ke kanan. Pengalaman Azman membolehkan dia kembali mendapat kawalan.

Azman menoleh ke belakang. Kereta Honda Intergra Hijau! Kereta yang menjadi musuhnya itu sekali lagi mahu melanggarnya namun kali ini dia telah bersedia. Dia menurunkan gear dan terus memecut. Dia tak tahu siapa pemandunya tapi dia terus sahaja meninggalkan kereta itu. Menaiki lencongan dari Jalan Sungai Besi memasuki jalan menuju ke Petaling Jaya sebuah treler panjang menutup laluannya. Azman pantas bertindak mencuri ruang yang kecil di sebelah kanan antara Lori dan penghadang jalan itu untuk memintasnya.

Namun demikian kereta Intergra tersebut memasuki lencongan itu terlalu laju menyebabkan ia terbabas. Ia tak punya ruang untuk mengelak lori treler 40 tan yang besar itu. Kereta itu melanggar penghadang jalan, hentakan yang kuat menyebabkan kereta itu remuk lalu terbakar. Akhirnya tamatlah riwayat kereta Honda Intergra hijau yang banyak membawa mala petaka dan onar kepada dirinya mahupun keluarganya.

Azman tak mempedulikannya. Dia terus sahaja memecut melalui Seputeh memasuki Mid Valley dengan lebih berhati-hati. Dia takut ada lagi halangan yang boleh menggadai nyawanya di jalan yang sempit dan gelap itu. Kembali memasuki lebuhraya persekutuan hatinya puas. Dia tahu dia telah menang. Dia membuat pecutan yang terakhir. Tiba-tiba ketika melalui  bawah jejantas Kampung Kerinchi radiator motor itu meletup. Percikan air radiator yang panas itu mengenai fullface dan jaket yang dipakainya. Azman terus sahaja memecut dan mendekati pintu gerbang itu dia melakukan wheelie sebagai tanda kemenangannya.

Mat Rempit yang ada di situ bersorak gembira. Shidee, Zul, Bad dan Ayu yang menanti juga bersorak.

“Manjoe! Manjoe! Manjoe boleh! Mat Rempit boleh!” Jerit mereka. Azman tiba dan berhenti berdekatan kawan-kawannya.

Motor-motor besar yang berada di situ terasa dimalukan lantas mereka beredar. Mereka tak tahu apa yang telah berlaku di sepanjang perlumbaan itu. Namun demikian ada juga diantara mereka yang datang dan mengucapkan tahniah. Mat-mat rempit yang lain juga mengerumuninya, menepuk bahunya, bersalaman dengannya seraya mengucapkan tahniah.  

“Sorilah meletup radiator ni Shidee.” Kata Azman sambil membuka helmet fullface yang dipakainya itu. Rambutnya dibasahi peluh yang menitik.

“Itu bukan masalah Manjoe, ada masalah yang lebih besar lagi..”

“Apa dia?”

Shidee terus menceritakan tentang kemalangan yang berlaku berdekatan Hotel Concorde itu.

“MasyaAllah. Jom kita ke sana. Kita tinggalkan motor ni kat rumah aku dulu.” Ujar Azman terkejut.

“Okay. Jom!”

Hati Azman berdebar. Tanpa disangkanya malam itu dua kemalangan berlaku disebabkan kerana perhitungannya dengan Zafrul. Dia tak pedulikan kemalangan kereta Intergra yang cuba melanggarnya tetapi dia rasa bersalah atas kemalangan yang menimpa gadis malang yang tidak berdosa itu.

BERSAMBUNG...













No comments:

Post a Comment