Followers

Wednesday, April 24, 2019

BAB 3 - MAN REMPIT 2 KARYA FAIZAL YUSUP


BAB 3

Petang itu ramai juga yang berkunjung di taman tasik berdekatan Kompleks PKNS di Shah Alam ini. Pelbagai aktiviti yang dilakukan pengunjungnya. Ada yang berjoging, bersiar-siar, ada juga yang membawa anak mereka bermain di taman permainan yang disediakan malah ada juga yang sedang menaiki bot dan berkayak.

Azman bersama Sara duduk di bangku di tepi tasik bersantai sambil memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai itu.

“Sara ada satu perkara yang nak beritahu pada abanglah.” Sara tiba-tiba menukar topik perbincangan mereka yang berkisar tentang kerja sekejap tadi. Riak wajahnya berubah. Dahinya berkerut.

“Apa dia Sara?” Tanya Azman yang dapat merasakan kelainan pada tona suaranya sebentar tadi.

“Sebelum itu maafkan Sara kalau apa yang bakal Sara katakan ini menjejaskan emosi abang dalam apa cara sekalipun. Ini kerana Sara tak berniat untuk menyinggung perasaan abang walau macamana sekalipun.”

        Hati Azman sedikit gelisah akan persoalan yang bakal diutarakan.

        Sara mendiamkan diri seketika. Hatinya berbelah bahagi.

        “Sebenarnya dulu sebelum Sara kenal dengan abang, Sara ada seorang boyfriend yang Sara kenal sejak di bangku sekolah menengah.” Ujarnya membuka bicara.

        “Nama dia Zafrul. Pada masa tu Sara dalam tingkatan 3 dan dia pula dalam tingkatan 5. Dia seorang yang baik dan caring. Kami saling menyayangi. Kemudian selepas matrikulasi dia dapat melanjutkan pelajarannya ke Amerika Syarikat. Pada masa itu kami nyaris bertunang tetapi tidak dipersetujui keluarga kerana kami masih muda. Jadi kami ada bertukar cincin sebagai tanda perhubungan kami itu.”

“Namun demikian ia tak lama. Di sana Sara dengar dia terkena kejutan budaya dan hidup bagai seorang Mat Saleh. Semenjak itu hubungan kami terputus dan Sarapun mengambil keputusan menanggalkan cincin tersebut tidak memakainya lagi.”

        “Entah macamana minggu lepas Sara dapat panggilan telefon darinya. Dia dah kembali ke tanah air. Dia mengakui kesilapannya, dia telah insaf dan meminta maaf pada Sara. Dia telah menjelaskan segalanya. Dia sebenarnya tak bersalah. Dalam kesepian jauh dari Sara, sahabat handai serta keluarga dia telah terjebak.”

“Hati Sara jadi serba salah. Jadi keliru. Sara pun tak tahu apa yang sedang berlaku dalam hati ini bang.”

        “Orang kata cinta di bangku sekolah tu cinta monyet Sara...”

“Kalau cinta monyet takkan begini jadinya. Terus Terang Sara tak tahu apa yang hendak difikirkan masa ini.”

Azman mengusap lembut tangan Sara. Dia serba salah. Dia juga tak tahu apa yang hendak diperkatakan. Hatinya gentar. Takut kehilangan Sara. Perhubungan cinta yang dibina selama ini nampaknya tergugat, bergegar dengan kehadiran insan bernama Zafrul ini. Siapakah sebenarnya Zafrul. Azman bertekad untuk menyiasat.

“Ada seperkara lagi bang. Dia mengatakan hasrat untuk bertemu dengan Sara hujung minggu ni.

“Sara nak pergi ke?” Soal Azman.

“Tak tahulah. Apa pendapat abang?”

Azman terkedu dia tak tahu apakah jawapan yang sesuai yang harus diberikan. Kalau tak izinkan ia mungkin akan menjejaskan Sara. Mungkin juga Zafrul ingin bertemu untuk menutup cerita perhubungan mereka. Setelah membuat pertimbangan, pada Azman demi kebahagiaan Sara lebih baik sahaja dia benarkan. Agar Sara boleh buat pilihan yang terbaik buat dirinya agar dia tak menyesal di satu masa kelak.

“Abang rasa terpulanglah pada Sara. Abang nak Sara bahagia. Kalau Sara bahagia abang juga akan turut bahagia biar apapun pilihan Sara. Lagipun abang bukan suami Sara. Abang tak ada hak untuk menghalang. Kalau dah jadi suami nanti lain cerita.” Bisik Azman seraya menguntum senyum.

“Ni yang buat Sara sayang pada abang ni. Abang jangan risau okay. Sara sayang pada abang seorang jer.” Kepalanya dilentukkan ke bahu Azman. Bau wangi rambut Sara menusuk lembut masuk ke rongga hidung Azman. Membawa kebahagiaan di hatinya.

XXXXXX

Ramai juga pengunjung di KLCC petang itu. Hujung minggu begini KLCC sering menjadi tempat kunjungan pekerja asing dari Bangladesh, Nepal, Indonesia, Vietnam, Filipina dan sebagainya. Sara, Nadia dan Nisha duduk mium di Restoran Dome di tingkat bawah KLCC menghadap kolam air pancut yang besar itu. Mereka baru sahaja selesai membeli belah.

        “Macamana kolej? Okay tak?” Tanya Sara memandang kedua-dua kawannya itu masih lagi menyambung pengajian kerana gagal satu kertas di semester akhir dahulu.

        “Okay.. Tapi you tak ada tak best lah. Charlie’s Angels tak complete.” Jawab Nadia.

Actually ramai jugak yang repeat paper. Biasalah tu.” Nisha menjelaskan.

“Tak apalah. Lambat sikit je graduate.

“Macamana kerja. Okay ke?” Tanya Nadia pula. Air Vanilla milkshake itu diminumnya.

Busy. Selalu kena On Call. Nasib baik kena posting kat Hospital Universiti. Buatnya kena kat Sabah ke Perlis ke mahu pening kepala dibuatnya.

I dengar peminat you Lan pun ada kat situ kan?”

“Bukan peminat I lah. Dia dah ada minat yang baru.”

“Ye ke? Siapa?

“Sekejap, I ada something to pass to you.” Sara membuka beg tangannya. Kad merah hati yang diamanahkan oleh Azlan untuk disampaikan kepada Nadia diambilnya lantas dihulurkan kepada Nadia. Nisha pula terpinga-pinga.

“Apa dia ni Sara?” Soal Nadia yang agak terkejut dengan kad yang berada di dalam tangannya itu.

“Bukalah baca.”

Nadia membuka kad merah hati itu lantas membaca isi kandungannya. Rona mukanya berubah. Sekejap kemudian dia menguntum senyum. Kemudian tersengih.

“Sapa bagi kad tu Sara?” Tanya Nisha ingin tahu.

“You tanyalah tuan punya badan.”

“Siapa bagi Nadia? Nak tengok.” Pinta Nisha pula.

“Ehhh! Tak boleh! Ini personal.” Kata Nadia sambil memasukkan kembali kad itu ke dalam sampulnya.

“Siapa bagi? Bagitahulah...” Rengek Nisha.

“Peminat Nadia. Doktor Azlan!”

“Azlan???”

“Yup!” Sahut Sara ringkas.

“Okay apa... Hensem dan gagah perkasa. I suka orang yang begitu.” Jawab Nadia yang mengesahkan penerimaannya kepada Azlan.

“Apa kata dia?” Nisha masih lagi ingin mencungkil cerita.

“Rahsialah.”

“Alah, bagilah sinopsis sikit.”

“Dia kata dia dah lama perhatikan I, suka kat I tapi dia malu. Lepas tu dia ajak keluar kalau I free nak berkenalan lebih lanjut. Dia ada bagi nombor handphonenya suruh I call.”

“Apa lagi. You pun bukan ada sesiapa.” Ujar Sara.

“Yelah! Nanti I callah.”

“Tinggallah I seorang nampaknya yang masih solo molo!”

“Rilekslah Nisha tak lama lagi adalah yang memikat tu. Bakal doktor, cantik pulak tu.”

“Betul tu. You pulak apa cerita Sara?”

        “Okay dengan Azman tu?”

        So far so good. Tapi something came up recently.”

        “Masalah?” Berkerut dahi Nadia.

        “Tak tahulah. Mungkin jugak.”

“Apa dia, sharelah dengan kami. Mana tahu kitorang boleh tolong.” Nisha cuba memberikan saranannya.

        “You all ingat pada Zafrul tak?” Sara membuka rahsianya.

        X boyfriend you dulu tu?” Tanya Nadia.

“Ha’ah! Dia dah datang balik.”

        “Ye ke ni? Bila?”

        I thought dia kat USA?”

        “Tulah. Dia ah balik sebulan yang lepas dan minggu lepas dia call I... Nak jumpa I balik.” Terang Sara.

        “Should I go or not? Kasihan pulak pada Azman.” Sambung Sara lagi yang jelas serba salah.

        “Laa. Pergilah. Apa salahnya. Korang bukannya dah kahwin... Kalau agak-agak takut melukakan hati Azman, jangan bagitahu dia yang you jumpa Zafrul.” Nadia menyatakan pendapatnya.

        “Kalau I, I pergi jer. Berkawan biar ramai, berkasih biar satu..” sambung Nisha pula.

XXXXXX

        “Lord aku nak tanyalah, kau pernah dengar nama Zafrul tak?” Tanya Azman sebaik sahaja duduk meneyertai kawan-kawannya di gerai mamak di Bangsar Park itu.

        “Zafrul? Budak mana tu? Kenapa kau tanya?” Soal Lord kembali padanya.

“Dia x-boyfriend Sara.”

“Hah! Sara pernah ada boyfriend? Tak pernah cerita pun?” Shidee seakan terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut Azman itu.

“Tak boleh jadi ni.” Ujar Eddy.

“Mana dia kenal?’ Tanya Lord.

“Masa kat sekolah dulu, cinta lama dia.”

“Old flame die hard bro!”

“Apa tu bro’?”

“Maknanya api cinta yang membara walaupun kecil sukar nak dipadamkan. Bahaya tu. Menurut kajian 30 peratus kes cerai di Australia disebabkan laman web Facebook dan kebanyakan disebabkan kes bertemu kekasih lama.”

“Ye ke...” Azman terkesima dengan kenyataan Lord itu.

        “Ceritalah apa yang dah jadi?” Pinta Bad pula.

        Azman pun mula bercerita dari mula hingga akhir akan kisah Zafrul.

“Apa pendapat korang?” Tanya Azman setelah menceritakan perihal Zafrul pada kawan-kawannya itu.

“Kau benarkan Man? Kalau aku sorilah. Langkah mayat aku dulu. Dulu Farid, Azlan sekarang Zafrul pulak.” Ujar Eddy dalam nada geram.

“Daripada dia jumpa mamat tu kat belakang aku, aku rasa lebih baik aku tahu. Lagipun mungkin ada perkara yang hendak diorang setelkan.”

“Betul jugak tu tapi semua ini ada kebaikan dan keburukannya. Ada risiko Manjoe.” Terang Lord.

“Aku tahu tapi aku serba salah. Bagi salah tak bagi pun rasa salah jugak. Sebab tu aku nak siasat siapa Zafrul ni. Korang tolong aku okay. Nama dia Zafrul, duduk kata Bandar Seri Damansara, baru balik USA. Itu aje maklumat yang aku tahu buat masa ni.”

“Bisa diatur bro’.” Ujar Lord memberi keyakinan.

“Err... Saya kenal Zafrul tu... Tak semena-mena Khairul yang dari tadi diam bersuara. Mungkin dia rasa serba salah.”

“Kau kenal bro’. Apasal tak cakap tadi?”

“Kenal. Aku sama sekolah rendah dengan dia dulu. Tapi dah lama putus hubungan.”

“Apa yang kau tahu pasal dia?”

“Dia duduk Bandar Sri Damansara. Keluarganya sederhana sahaja. Anak tunggal. Apapun dia ni budak baik. Kat sekolah dulu pun dia Ketua Pengawas Sekolah. Murid contoh. Lepas sekolah menengah dia dapat masuk matrikulasi 2 tahun sebelum terbang ke Amerika Syarikat.”

“Oh! Ye ke?”

“Anak manja kot!”

“Kau ada contact dia lagi?”

“Tak ada. Aku pun tak berapa baik dengan dia sebenarnya.”

“Yelah! So apa yang kau nak risaukan Manjoe?”

“Risau jugaklah. Budaknya baik, loaded, pandai, ada semangat kepimpinan. Aku apa ada?”

“Betullah Man! Kau tu muka dahlah buruk, perangai buruk, tulisan pun buruk aku tengok!” Bad menyakat. Mereka semua ketawa.

“Adoi! Bad! Kau tu lidah dahlah pendek! Banyak cakap lah pulak!” Azman membalas kutukan Bad itu.

“Tak apa! Kau ada hati bro’! Siap ada hati Sara lagi! Apa mau takut?” Shidee menyampuk cuba menghilangkan kerisauan yang mula menular di hati Azman sambil mententeramkan keadaan.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment