Followers

Wednesday, April 24, 2019

BAB AKHIR - MAN REMPIT 2 KARYA FAIZAL YUSUP

BAB AKHIR

Sejak pagi tadi Sara tak menjamah sebarang makanan. Keadaan di ruang tamu apartmen itu senyap sunyi tak seperti biasa. Kedua-dua lelaki yang menjaganya seakan tidak melakukan apa-apa aktiviti. Dia meletakkan telinganya pada pintu tersebut. Masih tiada bunyi yang kedengaran.

Sara memulas tombol pintu bilik tersebut. Ia tak berkunci lagi. Pintu itu dibukanya perlahan-lahan. Tiada orang di ruang tamu. Dia melangkah keluar dan akhirnya mendapati dirinya sendirian di dalam apartmen itu. Sara mengambil kasutnya membuka pintu hadapan dan terus berlari menuju ke araf lif. Dia ingin meminta tolong tetapi tiada siapa yang berada di situ. Handphone Blackberry pemberian Zafrul serta tas tangannya juga telah dicuri.

Setibanya di tingkat bawah Sara menuju ke jalan utama. Di situ dia ternampak seorang mat rempit yang mempunyai poster gambarnya terlekat di hadapan motornya. Sara menahannya lalu meminta pemuda itu menghantarnya ke Bangsar Park. Dia mahu memberi amaran kepada Azman seberapa segera. Jam telahpun menunjukkan pukul 6:30 petang. Dia tahu dia tak punya banyak masa lagi.

XXXXXX

8.10 malam.

Sepertimana yang dijanjikan Azman menanti kehadiran Zafrul di sebuah padang permainan yang letaknya di Pandan Indah itu. Suasana lampu yang malap menyuramkan keadaan sekeliling. Tiada satu makhlukpun yang kelihatan di situ di kala itu. Motor Fireblade yang telah dibaiki Shidee itu dibiarkan lampunya menyala.

Fikirannya melayang mengingatkan kenangan indahnya bersama Sara Yasmin. Saat kali pertama dia mula bertentang mata ketika Sara keluar dari keretanya di Kerinchi Link, saat dia ke Genting Highland, bersama-sama menonton wayang, kali pertama berpimpinan tangan dan sebagainya umpama slaid yang bertukar satu persatu dalam kotak fikirannya. Hinggalah kali terakhir dia menatap wajah Sara semasa di Restoran Ani Sup Utara tak lama dahulu. Dia tersenyum. Wajah Sara seakan cahaya yang menerangi hatinya.

Ketika ini dia tertanya-tanya samaada dia akan dapat bertemu dengan Sara lagi atau tidak. Dia tahu kedatangan ke situ mengundang bahaya. Ia seakan dejavu atau ulangan satu ketika dahulu ketika ketika dia menanti di Tasik PKNS Shah Alam dulu yang kesudahannya menyebabkan dia ditikam hingga memerlukan pembedahan hati. Apapun dia rasa pelik kerana pendarahan di parutnya berhenti sejak petang tadi. Adakah ia bakal membawa petanda yang baik. Bisik hatinya.

Malam ini kerana mahu mengetahui dimana kedudukan Sara daripada Zafrul sekali lagi dia mengambil risiko. Lord dan kawan-kawannya yang mahu menemani tidak dia benarkan.

Lamunannya terhenti bila sebuah motorsikal RXZ putih yang dikenalinya memasuki kawasan itu. Lord berhenti tak jauh darinya. Sara turun dan terus berlari mendapatkannya. Merangkul dan mendakapnya seerat-eratnya. Manik-manik jernih airmata Sara mula berjurai turun menuruni pipinya.

Azman terpegun. Dia tak tahu apa yang telah berlaku pada Sara. Bagaimanapun dia bersyukur kerana Sara selamat dan kembali padanya.

“Abang, Sara dah kembali. Sara harap ada ruang di hati abang untuk menerima Sara kembali. Sara sayang pada abang.” Airmatanya terus sahaja mengalir turun menitik ke atas baju blaus yang dipakainya.

Lord hanya memerhatikan penyatuan dua insan yang saling menyayangi itu. Dia bersyukur kerana dapat menjadi saksi kepada sorotan drama kehidupan yang mengambil tempat dalam kehidupan itu. Padanya drama realiti kehidupan susunan Allah itu membawa keindahan dan pengajaran yang sukar dimengertikan. Kisah sahabat baiknya Azman itu penuh dengan dugaan suka dan duka dan dia bersyukur kerana berada di situ menyaksikan semua ini. Namun demikian dia perlu memberi amaran pada Azman.  

“Man, kita tak ada masa, kita kena pergi dari sini sekarang juga. Zafrul datang nak bunuh kau. Dia ada pistol!” Tempiknya.

Belum sempat Azman bertanya, kedengaran bunyi motor Superbike menderum bergema memasuki kawasan taman permainan itu.

“Zafrul! Dia dah sampai. Jom kita gerak Man! Cepat!”

Belum sempat mereka melarikan diri Zafrul sudah tiba mendekati mereka lalu memberhentikan motornya.

“Oh! Sara pun ada!” Katanya sebaik sahaja mematikan enjin motornya. Dia terus sahaja mengeluarkan pistolnya lalu mengacukan kepada mereka bertiga.

“Aku tak tahu bagaimana kau boleh terlepas Sara dan aku juga tak tahu apa yang kau tahu.”

“Sudahlah! Sara sudah tahu segalanya Zafrul! Sara dah tahu pasal rancangan jahat Zaf dan bagaimana Zaf bersekongkol dengan Tan Sri Samad. Lebih baik sahaja Zaf menyerah diri pada polis.” Sara memberi amaran.

“Sara, Zaf cinta pada Sara dan sanggup lakukan apa sahaja buat Sara.”

“Tapi bukan ini caranya Zaf!”

“Sara ketahuilah Zaf sebenarnya menyesal kerana satu ketika dahulu Zaf telah berjaya mencuri hati Sara tetapi Zaf tidak memelihara cinta itu. Di belakang, Zaf mempermainkan Sara dan menyangka Sara akan selalu berada di situ menanti Zaf kembali. Akhirnya Zaf kecewa bila mendapat tahu Sara menjalinkan hubungan dengan Azman. Satu hubungan cinta yang hebat hingga Sara sanggup menderma hatimu padanya. Seorang Mat Rempit. Zaf mahukan semua itu. Zaf mahukan cinta Sara yang tulus dan murni itu kembali. Pada satu ketika Zaf sangka Zaf telah berjaya mendapatkannya tetapi Zaf silap perhitungan kerana hakikatnya Zaf tidak dapat mengambil cinta Sara daripada Azman. Semua yang Zaf lakukan, semua perancangan dan tindakan yang Zaf lakukan hanya bertemu dengan kegagalan.”

“Mungkin Zaf harus menerima hakikat yang Sara Yasmin memang milik Azman dan bukan milik Zaf.” Sambungnya lagi.

“Kalau begitu kenapa Zaf mahu membunuh kami?” Soal Sara.

“Pada mulanya memang Zaf datang ke sini ingin membunuh Azman dan kemudiannya pergi menyelamatkan Sara agar Zaf kelihatan seperti seorang hero pada Sara. Tapi...”

“Sekali lagi rancangan ini gagal. Entah bagaimana Sara ada di sini dan tahu semua rahsia ini. Tembelang Zaf telah terbuka dan nampaknya tiada lagi cara untuk Zaf menutupnya.”

“Zaf cintakan Sara dan tak akan mengapa-apakan Sara. Zaf ke sini hanya untuk membalas dendam bagi pihak Tan Sri Samad yang mahu melihat Azman mati.”

“Beginilah Manjoe. Aku akan berikan kau peluang yang terakhir. Aku akan berikan kau a head start. Kalau kau boleh melarikan diri dari muncung pistol ini dan kalau kau dapat melarikan diri dari aku malam ini maka aku tahulah yang kau memang dijodohkan untuk Sara.”

“Kau ni dah gila Zafrul!” Tempik Lord.

“Kau diam Lord. Kau tak ada kena mengena dalam hal ni. Aku tak bunuh kau ni pun dah kira baik.”

“Cut off time jam 12 malam ni atau 7 butir peluru dalam pistol ini. Kalau jam 12 malam ini aku masih tak dapat bunuh kau atau aku sudah kehabisan peluru maka aku sendiri akan menyerah diri pada pihak berkuasa.”

“Tapi kau tak boleh dipercayai! Kau sudah pernah memungkiri janji!” Sahut Azman pula.

“Aku nak kemana Manjoe. Kau ada Lord dan Sara sebagai saksi. Samaada aku menang atau kalah, dapat bunuh kau atau tidak, aku akan tetap ke dalam juga. Tetap akan meringkuk dalam penjara. Tanpa cinta Sara aku tak pedulikan semua itu.”

“Zaf! Kalau Zaf cinta pada Sara lepaskanlah Azman. Janganlah Zaf dera hati Sara begini. Cukuplah segala ranjau dan duri yang telah Sara lalui demi cinta ini Zaf. Tolonglah. Sara merayu pada Zaf.” Sara cuba juga sedaya upaya untuk memujuk Zafrul agar dia mengubah pendiriannya.

“Maafkan Zaf Sara. Zaf buat begini hanya untuk mendapat kepastian yang hakiki. Adakah selama ini Azman bernasib baik. Bernasib baik kerana memenangi perlumbaan itu, bernasib baik dapat mengelak dari Khairul Anuar dan kalau benar dia bernasib baik dan kalau benar Tuhan menyebelahinya maka malam inilah penentuannya. Kalau dia dapat menyelamatkan diri maka tahulah Zaf yang kamu berdua memang dijadikan Tuhan untuk bersatu!” Kemarahan Zafrul kelihatan semakin memuncak.

“Tapi dendam dan kemarahan akan hanya mengundang padah Zaf!”

“Sudahlah! Zaf bukan datang nak meraih cinta Sara lagi, pada Zaf ia tiada lagi. Kali ini Zaf datang untuk membalas dendam bagi pihak Tan Sri Samad. Itu sahaja yang Zaf tahu.

“Manjoe! Kau naik motor tu. Kita mulakan sekarang!” Perintah Zafrul.

Azman akur. Dia menaiki motor itu dan memakai helmet.

“Lord, kau tolong jaga Sara ye...” Pesan Azman perlahan.

Sara pula seakan tidak mahu melepaskan genggaman tangannya pada lengan Azman.

“Abang, Sara sayang abang... janganlah pergi lagi dari Sara bang..” Rayunya tersedu sedan.

“Sara janganlah risau, ajal maut, jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan kalau jodoh abang dengan Sara ada, InsyaAllah segalanya akan selamat. Abangpun sayang pada Sara. Apapun yang akan terjadi sedarilah hati Sara ada pada abang..” Pujuk Azman teringatkan kata-kata yang disampaikan oleh bapa Marissa tempohari.

“Sekarang pukul 9.14 minit malam. Kau ada tak sampai 3 jam untuk menyelamatkan diri. Aku sarankan kau gerak sekarang!”

Azman menyalakan engin motor tersebut lantas terus berlalu laju. Selang beberapa detik Zafrul mengekorinya dari belakang.

“Sara, jom!” Kata Lord menaiki motornya, engin motornya dihidupkan. Helmet yang terletak di atas motornya itu dihulurkan pada Sara. Seakan faham dengan kehendak Lord, Sara memakainya dan terus membonceng.

“Pegang kuat-kuat Sara!” Tempik Lord dalam keadaan yang tergopoh gapah.

Lord terus mengejar cuba mengekori Zafrul. Dia tak tahu samaada dia akan dapat mengekori dua biji motor besar yang jauh lebih laju itu tetapi dia tetap mahu mencuba. 

Dalam pada itu Azman masuk ke lorong-lorong rumah di Pandan Indah itu kerana dia tahu agak sukar untuk Zafrul mengekorinya di dalam  lorong-lorong perumahan ini. Azman tahu yang dia tak boleh masuk ke dalam lebuhraya kerana motor Zafrul jauh lebih laju. Dia perlu mencari helah bagaimana untuk menyelamatkan diri.

Entah macamana Azman mendapat satu ilham. Dia teringatkan sesuatu. Dia terus memecut memasuki jalan menuju ke Pandan Mewah dari situ dia membelok ke Taman Melor. Motor Zafrul masih lagi kedengaran di belakangnya. Dia memasuki jalan pintas Ampang ke Hulu Langat, jalan yang berbukit bukau itu. Jalan itu umpama trek litar lumba yang berliku-liku ke kiri dan kanan, dia yakin bukit bukau itu boleh membantunya dari terkena tembakan Zafrul. Jalan yang pernah dilaluinya dengan Lord tak lama dulu.

Kalau di sini dia masih diekori maka dia akan memilih jalan dalam Ulu Langat ke Seremban dan ada kemungkinan dia terpaksa sekali lagi menutup lampu motornya agar dia hilang dari pandangan Zafrul di malam yang gelap gelita itu. Setakat ini dia belum memikirkan jalan seterusnya selepas Seremban. Apa yang dia tahu dia tak boleh masuk ke jalan lebuhraya yang boleh membawa nahas baginya. Akalnya laju menganalisis akan peluang yang terbaik baginya untuk menyelamatkan diri.

“Bang! Bang!” Dua das tembakan dilepaskan Zafrul mengembalikan fokus Azman kepada kawalan motornya. Nasibnya baik kerana tembakan itu tersasar. Salah satunya peluru itu terkena pada pembahagi besi jalan yang menyebabkan percikan bunga api kelihatan di jalan yang gelap itu. Azman bertindak memecut lebih laju dan mencuri jalan sebelah kanan bagi mendapatkan penjuru belokan yang terbaik dan yang paling cepat. Hanya lampu kenderaan yang menyala dari arah yang bertentangan yang akan memberinya isyarat samaada ia selamat untuk mencuri jalan tersebut atau tidak. Itu adalah risiko yang harus diambilnya demi keselamatannya. Namun demikian Zafrul juga nampaknya mengambil langkah yang sama.

“Bang!” Satu lagi tembakan kedengaran nyaris mengenainya. Ledakan pistol itu begitu kuat kedengaran. Mendekati satu belokan kiri yang tajam di tepi gaung itu Azman menutup suis lampunya dan mengambil jalan luar dan bukannya jalan dalam. Dalam gelap itu dia hanya dapat mengagak jalan yang diambilnya.

Zafrul yang mengambil jalan sebelah dalam tiba-tiba tergelincir, motor itu terseret dan terus jatuh laju ke dalam gaung. Jeritan Zafrul jelas kedengaran di malam yang sunyi itu. Percikan bunga-bunga api kelihatan mengekori seretan motornya itu. Zafrul terlanggar minyak hitam yang bertompok di situ.

Azman pula kembali menyalakan lampu motornya berhenti dan berpatah balik. Hatinya lega kerana pilihan jalan dan risiko yang diambilnya tepat. Dia terselamat dari menjadi mangsa Zafrul yang ingin menamatkan riwayat hidupnya. Pada masa yang sama dia simpati pada Zafrul. Dia tahu kemungkinan Zafrul selamat adalah amat tipis memandangkan kedalaman gaung tersebut. Dia yakin Zafrul tak dapat mengawal motorsikalnya kerana sebelah tangannya digunakan untuk memegang pistol. Minyak yang pernah dilanggar Lord dahulu telah menyelamatkannya.

Setibanya di tempat kejadian, Lord dan Sara juga sampai pada masa yang sama. Sara terus mendapatkan Azman dan memeluknya. Dari situ mereka nampak ada api kecil yang menyala pada engin motor ZX10R tersebut cukup untuk memperlihatkan sekujur tubuh yang kaku berdekatan dengan motor tersebut. Tengkuk Zafrul kelihatan terkulai dan kakinya patah. Ada darah yang terpercik dan mengalir di bahagian kepala dan kakinya itu.

“MasyaAllah.” Kata Azman. Seakan berbisik.

Sara memeluk Azman dengan erat. Dia tak dapat menahan tangisan melihatkan peristiwa itu.

“Kau tak apa-apa Man?” Tanya Lord prihatin dengan nasib kawannya itu.

“Aku okay.” Azman menarik nafas lega. Padanya segalanya telah berakhir.

“ Mungkin Zafrul dapat cincin Sara tetapi dia tak berjaya mendapatkan hati Sara...” Lafaz Azman perlahan.

“Cincin boleh tanggal bang, hati tak boleh... Kalau begini teruk dugaan yang kita harus tanggung, Sara rasa kita kena kahwin cepatlah bang...”

“Baiklah sayang. Baiklah.” Pelukan Azman semakin erat.

XXXXXX

Azman, Sara dan Lord telah dibawa ke balai polis untuk memberi keterangan mengenai kejadian yang berlaku di atas bukit itu. Keterangan mereka ditambah dengan penemuan pistol di tempat kejadian sudah cukup dijadikan bukti yang kukuh akan pembabitan Tan Sri Samad. Dia akhirnya diberkas pihak berkuasa dan akan dibicarakan atas pelbagai pertuduhan.

Dalam pada itu jenazah Zafrul telah selamat dikebumikan. Bedah siasat mendapati beliau berada di bawah pengaruh alkohol semasa kemalangan itu berlaku.

Cinta Azman si Mat Rempit dengan Doktor Sara si Gadis Ayu dapat diselamatkan dan terus mekar mewangi.

-   TAMAT -

2 comments: