BAB 10
Dua minggu sudah berlalu tetapi masih
tiada hubungan antara Azman dan Sara. Azman membuat andaian yang Sara masih
lagi memerlukan ruang untuk berfikir sedalam-dalamnya. Jadi dibiarkannya begitu
sahaja. Buat masa ini dia tak mahu berbuat apa-apa. Dia hanya menyerahkan pada
Allah Taala akan susunan takdirNya yang seterusnya. Dia harap ia bakal memihak
kepadanya kelak. Dia hanya mahu terus bersabar.
Hari ini dia bersiap untuk ke Impian
Golf and Country Resort yang letaknya di Saujana Impian. Luka parutnya masih
lagi perlu dibalutnya. Dia sendiri tak tahu kenapa ia sekali sekala terus
sahaja mengeluarkan darah tak tentu masa selama dua minggu ini. Apapun Lord
telah berjanji untuk menjemput mereka dengan kereta Toyota Vellfire milik
bapanya. Mereka yang lain akan menumpang kereta Proton Wira milik Zainal.
Mereka semua seramai 10 orang mahu ikut bersama untuk ke majlis Zafrul.
Mereka
semuanya memakai baju kemeja lengan pendek dan berseluar Jeans. Ayu dan Alia
pula berbaju kurung. Setibanya di sana memang benar sebuah meja disediakan khas
buat mereka. Jauh di bahagian belakang pentas. Bunyi muzik latar yang agak
lembut berkumandang di Club House itu. Banner yang tertera Welcome Back Zafrul Akmal Ishak kelihatan dilekatkan di dinding
belakang pentas tersebut.
Zafrul
tiba bersama keluarganya diikuti Sara. Sara kelihatan begitu anggun memakai gown malam berwarna hijau daun pisang. Zafrul
juga memakai kemeja yang lebih kurang sama warnanya. Hati Azman gundah. Kemudian
tiba sepasang pasangan VIP yang tidak Azman kenali. Lord juga tak mengenali
mereka. Mereka bersalaman lantas duduk di meja utama berhadapan pentas. Dari
jauh Azman dapat merasakan perubahan yang berlaku pada Sara tatkala bersalaman
dengan pasangan tersebut seakan dia mengenali mereka.
Sara
duduk menghadap pentas. Sesekali dia seakan menoleh ke belakang namun demikian
kehadiran tetamu yang ramai itu menyebabkan mereka tidak dapat bertentang mata.
Azman yakin Sara tak sedar akan kehadirannya di situ. Dia juga tak mahu
mengganggu ruang Sara sepertimana yang telah dia janjikan. Padanya lebih baik
Sara tidak mengetahui kehadirannya.
Atucara
majlis itu dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis malam itu.
“Yang
dihormati Tan Sri Samad dan Puan Sri, Datuk-datuk, datin-datin dan seterusnya..”
“Tan
Sri Samad!” Azman terkejut mendengar ucapan pembukaan itu.
“Yelah!
Itu bapa Farid! Baru aku ingat muka dia.”
“Soalannya
apa yang dia buat kat sini?”
“Entahlah.
Ini yang menimbulkan kemusykilan ni.”
“Tak
apa kita lepak dulu. Tengok apa kesudahannya.”
“Yang
penting makan free!” Ujar Eddy
tersenyum.
Patutlah
berubah riak muka Sara tadi. Bakal mertua tak jadi rupanya. Bisik hati Azman.
Upacara
majlis diteruskan pula dengan ucapan Tan Sri, Bapa Zafrul, Zafrul dan majlis
makan malam. Slide gambar-gambar
Zafrul serta kedua ibubapanya sejak beliau kecil dipertontonkan semasa makan
malam.
Sejurus
selepas makan malam, Zafrul naik ke atas pentas. Berdiri di rostrum, dia
memandang ke arah Sara kemudian menoleh ke arah meja Azman.
“Sidang
hadirin yang saya hormati sekelian. Di sini saya ingin membuat satu pengumuman.
Kedua ibubapa saya selalu bertanya soalan bilakah saya akan mendirikan rumah
tangga memandangkan saya ni dah tua bangka.” Tetamu yang hadir ketawa dengan kata-katanya
itu. Mereka yang berada di meja Azman sedar mereka seakan menanti bom yang
bakal meletup. Entah kenapa mata Ayu dan Alia mula berkaca-kaca.
“Bukan
tak mahu kahwin tapi saya belum bertemu dengan calon yang sesuai selama ini.
Namun demikian malam ini merupakan malam yang bertuah kerana malam ini saya akan
memperkenalkan bakal suri hidup saya khususnya kepada kedua ibubapa saya dan
kepada anda semua sidang hadirin yang saya muliakan.”
“Saya
ingin memperkenalkan seorang gadis yang cantik, seorang doktor yang berkarisma,
seorang insan yang saya cintai... Doktor Sara Yasmin binti Datuk Halidi.”
Katanya sambil menunjukkan pada Sara yang seakan tak bersedia. Lampu sorot fokus
kepada Sara yang masih duduk kaku. Zafrul yang mengharapkan Sara bangun dan naik
ke pentas hampa. Dia terpaksa turun mendapatkan Sara. Sara bangkit tatkala
tangannya ditarik menuju naik ke atas pentas. Hadirin masih lagi bertepuk
tangan. Ada yang berdiri sambil bertepuk tangan termasuk pasangan Tan Sri dan
Puan Sri juga kedua ibu bapa Zafrul.
Azman
sudah tak berdaya lagi menahan gelora hatinya yang memuncak. Dia bangkit lalu
melangkah laju menuju ke pintu keluar. Lord juga yang lain mengekorinya dari
belakang. Pada saat itu barulah Sara sedar yang Azman berada di majlis itu.
Bunyi meja dan kerusi yang bergerak menyebabkan para tetamu menoleh ke belakang
namun demikian Zafrul cuba mententeramkan majlis dengan memberitahu yang
selepas ini mereka akan mengadakan upacara memotong kek.
“Sabar
Man.” Lord memegang bahu Azman sepanjang perjalanan menuju ke tempat letak
kereta.
“Sabarlah.
Bunga bukan sekuntum. Mungkin lepas ni Man boleh dapat makwe yang lebih baik
lagi.” Ayu cuba memujuk Azman sepanjang perjalanan menuju ke dalam kereta
walaupun airmatanya bergenang mengenangkan nasib Azman.
“Sorilah
kalau aku menyusahkan korang semua.” Itu sahaja yang terkeluar dari mulut
Azman.
“Man!
Man! Sini kejap!” Jerit Shidee yang berada tak jauh di depan.
Azman
bersama dengan Lord melajukan langkah mendekati Shidee.
Jari
telunjuk Shidee menunjukkan kepada sebuah kereta yang terletak di hadapannya.
“Hah!
Siapa bawak kereta ni?” Takkan Tan Sri Samad nak bawak kereta ni. Azman
terkejut melihat kereta Honda Intergra hijau milik Farid itu.
“Entahlah.
Nak tunggu tengok?”
Belum
sempat Azman menjawab terdengar tapak kaki seseorang yang berlari menuju ke
arah tempat mereka berdiri. Mereka menoleh. Zafrul mendekati.
“Beginilah Azman. Kalau kau anak jantan, aku
cabar kau dalam satu perhitungan satu lawan satu. Aku dengar kaulah pelumba
paling hebat di Kuala Lumpur ni. Tapi kau belum kenal siapa aku lagi. Aku akan
buktikan pada kau kalau motor kecil macam semut tu mungkin kau yang paling
hebat tetapi aku nak kau tahu yang motor superbike akulah heronya. Untuk
pengetahuan kau, aku selalunya dapat apa yang aku mahu. Sara bakal menjadi
milik aku dan sekarang ni aku mahu kalahkan Manjoe Mat Rempit yang paling
handal dan popular dalam KL ni dalam satu perlumbaan. Masa aku kalahkan kau
nanti maka lengkaplah kehidupan aku ni.” Panas hati Lord melihatkan keegoan
Zafrul. Dia melangkah ke depan dengan buku lima yang sedia terkepal. Azman menghalangnya.
“Zafrul, kau silap orang nak ajak
berlumba ni. Makan asap je kau nanti.” Eddy menyampuk geram.
“Maaflah
Zafrul, walau apa jugak yang kau katakan, walau apa juga alasan yang kau
berikan, aku tak dapat terima, aku dah lama berhenti berlumba. Lagipun aku
manalah ada motor Superbike?” Tanpa berfikir Azman terus sahaja memberi alasan
walaupun hatinya mahu sahaja menerima cabaran itu namun akalnya yang lebih
waras menguasai.
“Kau
tak nak berlumba walaupun pertaruhannya Sara Yasmin?”
“Sara?
Apa kena mengena dia dalam hal ni?”
“Beginilah.
Kalau kau menang aku akan pulangkan Sara kembali pada kau dan janji tak akan
ganggu dia lagi tapi kalau kau kalah aku mahu kau lupakan Sara buat
selama-lamanya.”
“Aku
bagi masa sebulan dari sekarang untuk kau buat persiapan. Kau pinjamlah motor
sesiapapun. Itu aku tak peduli. Aku tahu kita akan berlumba. Di situlah
penentuannya.”
XXXXXX
Oleh
kerana hati mereka panas, mereka mengambil keputusan untuk tidak menunggu demi
mengetahui sipakah yang memandu kereta Intergra itu. Setelah menghantar
kawan-kawan yang lain di Bangsar Park, Lord memandu kereta Vellfire itu menaiki
sebuah bukit yang terletak di kawasan Ampang. Dia tahu hati Azman kawannya itu
berkecamuk disebabkan konflik yang terjadi awal tadi. Jalan itu merupakan jalan
pintas yang menghubungi Ampang dan Ulu Langat. Di malam hari ia agak sunyi. Di
puncak bukit yang memperlihatkan
pemandangan cantik lampu-lampu yang bersinar dari kota raya Kuala Lumpur di
waktu malam, Lord memberhentikan kereta tersebut. Dia tahu Azman perlukan
ketenangan di kala itu. Dari situ Menara berkembar KLCC kelihatan yang begitu
gah menguasai horizon ibukota ini.
“Kau
nak sahut ke cabaran Zafrul tu Man?”
“Entahlah.
Aku tak buat keputusan lagi. Aku kena fikirkan semasak-masaknya.”
“Teruk
aku kena hari ini. Aku peliklah kenapa Tan Sri Samad ada kat sana.”
“Kan
bapanya GM syarikat Tan Sri Samad tu.”
“Yelah,
tapi pada aku kebetulan itu menimbulkan pelbagai keraguan. Ada kemungkinan tak
Tan Sri Samad nak kenakan aku dengan menggunakan Zafrul? Kau rasa?”
“Kemungkinan
tu tetap ada bro’.”
“Sedih
aku Lord tengok Sara pakai baju sama dengan Zafrul tadi. Lagi sedih bila Zafrul
buat pengumuman tu tadi.”
“Tapi
aku nampak Sara macam reluctant.
Macam tak ikhlas je.”
“Entahlah.
Mungkin juga perhubungan aku dengan Sara sampai di sini sahaja. Fantasi atau
mimpi telah sampai ke penghujungnya. Kau kena balik ke dunia realiti. Inilah
kenyataanya..” Azman mengeluh.
“Janganlah
cepat sangat mengalah Man. Dulu kau tak mengalah kenapa baru sekarang kau nak
mengalah pulak?”
“Keadaan
dulu dan sekarang jauh berbeza Lord. Dulu dia tak suka pada Farid tapi Zafrul
cinta lamanya yang tak dapat dia lupakan.”
“Pada
aku kita kena fight! Jangan mengalah
sebelum berjuang. Pada aku kita kena cari jalan dedahkan keburukan dan penipuan
Zafrul tu. Siasat kalau-kalau dia bersekongkol dengan Tan Sri Samad. Kalau
semua tu tak berjaya terpaksalah...”
“Terpaksalah
aku berlumba?”
“Tahupun.
Itu ajelah jalan yang aku nampak kalau kau nakkan Sara balik.”
“Hem..
Aku sebenarnya ada beberapa perkara yang aku tak faham.”
“Apa
dia?”
“Aku
pelik macamana Zafrul seakan tahu setiap gerak geri aku. Kau bayangkanlah kita
terserempak dengan dia kat KLCC, lepas tu dia arrange buat birthday Sara sama masa dengan yang kita nak buat kat Tasik
Perdana. Lepas tu semalam, dia bagi handphone
macam kau punya tu pada Sara. Mana dia tahu semua tu?”
“Ye ke! Pelik jugak tu.”
“Aku
syak mungkin di kalangan kita ada musuh dalam selimutlah Lord. Khairul kenal
dia aku rasa Khairul yang beritahu ni sebab masa kat Tasik Perdana dia tak
datang. Aku rasa dia dengan Sara dan Zafrullah.”
“Mungkin
jugak. Tadi masa kita kat Golf club tu pun dia tak nak balik sama sebab dia kata
dia nak ke rumah kawan dekat situ. Dia suruh kita balik dulu.”
“Hah!
Tu pun sama. Kau dah telefon kawan kau Azizul tu?” Tanya Azman.
“Dah.
Tapi semalam dia tak angkat. Biar aku try
call dia sekali lagi sekarang.” Lord mendail telefon bimbitnya bagi mendapatkan
Azizul tetapi hampa. Masih tiada jawapan lantas dia meninggalkan pesan.
“Masih
tak angkatlah.”
“Tak
apalah. Nanti cuba lagi. Pepehal kita cover
sikit dengan Khairul tu.”
“Okay.
Kau dah okay belum? Kalau belum kita cerita lagi.”
“Okaylah
kot. Nak buat macamana... Jomlah kita balik. Dah lewat dah ni.”
“Jom...
Kita lalu Ulu Langat nak?” Ajak Lord.
“Kenapa
pulak?”
“Saja
je.” Jawabnya selamba.
“Ikut
kaulah! Kau yang drive.”
Jalan
berliku menuruni puncak bukit yang gelap itu agak merbahaya di waktu malam.
Entah macamana terdapat tompokan minyak di tepi jalan yang menyebabkan kereta
Vellfire yang begitu besar itu nyaris sahaja terbabas.
“Fuh!
Nyaris masuk gaung kita Man.” Lord mengurut dada menarik nafas lega.
“Tulah!
Mana datang minyak atas jalan raya ni! Bahaya betul!” Sahut Azman yang masih
terkejut.
“Bawak
perlahan bro’. Bahaya tempat ni, dahlah sunyi. Kang apa-apa jadi masalah kita
nanti. Tak siapa tahu. Tahu-tahu keluar berita je besok.” Pesan Azman.
“Yelah.”
Jawab Lord kembali memulakan perjalanan yang tergendala tadi.
BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment