Followers

Monday, June 13, 2011

Bicara Novel Man Rempit Karya Faizal Yusup




Masalah gejala sosial di kalangan generasi muda di Malaysia semakin lama semakin meruncing. Kes gengsterism, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, masalah seks bebas, bunuh diri, perhubungan sejenis dan sebagainya sering dikaitkan dengan masalah penerapan nilai didikan ugama yang bermula dari rumah.
Salah satu gejala sosial yang telah menular sekian lama dan begitu unik di negara ini ialah gejala mat rempit atau samseng jalanan yang secara tak langsung dikaitkan dengan kes ragut, dadah, seks bebas, lumba haram dan sebagainya.

Namun disebalik semua keburukan ini tersembunyi sebuah kisah seorang mat rempit yang handal tetapi pada masa yang sama merupakan seorang insan yang berhati mulia. Sedia berkhidmat pada bila-bila masa, terhadap sesiapa juga tatkala diperlukan. Ia bakal mengubah perspektif umum dan dengan harapan ia bakal membawa perubahan kepada sesiapa juga yang membaca novel trillogi ini.

Tatkala novel-novel masa kini yang menekankan kepada genre ringan mahupun genre hantu sejak sekian lama Kisah Trilogi Inspirasi Man Rempit ini memaparkan genre inspirasi dengan penerapan memberi semangat kepada pembaca untuk bergerak maju ke hadapan menghadapi persaingan dunia yang kian mencabar. Genre-genre sebegini telah lama dipaparkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun dan kini telah tiba masanya negara ini memulakan langkah yang serupa keluar dari kepompong kebiasaan kisah seram, hantu dan percintaan.


Secara dasarnya Novel Man Rempit ini menerapkan kepada satu matlamat atau impian di peringkat yang tertinggi. Dalam ertikata lain baik mat rempit mahupun sesiapa juga dalam apa juga bidang perlu mengorak langkah untuk memajukan dirinya ke peringkat yang tertinggi dan dengan itu menyumbang kepada bangsa, ugama dan negara. Bukan hanya berpegang kepada angan-angan, omong-omong kosong tanpa matlamat yang jitu.

Seperti kebanyakan novel lain, ia juga menyelitkan kisah percintaan. Namun ia merupakan kisah percintaan luar biasa dua darjat antara Azman seorang mat rempit yang miskin dengan Sara Yasmin seorang doktor cantik yang berada. Ia menekankan yang semua ini tak akan dapat menghalang percintaan antara dua insan untuk bersatu walaupun pelbagai rintangan yang mendatang. Namun demikian ia disampaikan dengan cara dan begitu halus disamping menjaga tatatusila kesopanan ketimuran adat budaya mahupun ugama.

Novel ini juga memberi penekanan kepada isu semangat setiakawan yang mana ia jelas memaparkan bahawasanya kesatuan membawa kepada kejayaan sedangkan perpecahan hanya membawa kepada keburukan dan keruntuhan mana-mana institusi sekalipun baik kawan, keluarga, agama dan negara.

Sebagai kesimpulannya dengan harapan ia akan dapat memberi petunjuk dan teladan bagi membentuk akhlak serta budi pekerti yang baik serta dapat memberi inspirasi di kalangan pembacanya.


Oleh itu secara tak langsung ia berperanan menyebarkan maklumat untuk didedahkan kepada masyarakat supaya kisah yang baik boleh diteladani dan diikuti disamping semoga yang buruk menjadi sempadan dalam kehidupan.

Dapatkan novel inspirasi Trilogi Man Rempit ini di kedai-kedai buku berhampiran. Sokonglah FY! 

Terima Kasih!

Berikut adalah blog-blog dan link manfaat FY yang lain;

Untuk mendapatkan input pelaburan saham layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 1 secara percuma layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 2 secara percuma layari - 

Kisah anak Pak Gad bernama FY layari -

Ingin dapatkan pengisian motivasi bersama FY? Layari -

Ingin baiki diri ke arah Minda Akhirat? Layari -

Ikuti FY di Youtube 

Ikuti FY di Facebook

Friday, April 22, 2011

Petikan daripada Novel Trilogi - Man Rempit 1 tulisan Faizal Yusup.

Petikan daripada Novel Trilogi - Man Rempit 1 tulisan Faizal Yusup.
Dapatkannya di booth Infodidik di Pesta Buku PWTC yang sedang berlangsung sekarang...

Manjoe, Eddy, Shidee dan yang lainnya telah bersedia untuk ke rumah Lord. Memasing siap memakai baju melayu dan berseluar jeans. Mereka sudah menunggu Lord semenjak jam 12:30 tadi. Jam sudah menunjukkan pukul 1:15 tetapi kelibat Lord masih belum lagi kelihatan. Selama mereka kenal, tak pernah sekali Lord mengajak mereka ke rumahnya. Walaupun Lord tahu rumah setiap seorang dari mereka namun demikian kisah Lord dan keluarganya agak misteri. Lord juga tak suka bercerita tentang keluarganya malah akan mengelak dari bercerita tentang perihal keluarganya. Mereka pun tak tahu kenapa tetapi nampaknya kali ini keadaannya berbeza.

Perhatian mereka tertarik kepada sebuah kereta MPV Toyota Vellfire berwarna hitam masuk ke perkarangan tempat letak kereta tak jauh dari tempat mereka menunggu. Bentuk badan kereta yang begitu besar itu kelihatan megah menenggelamkan kereta-kereta yang lain.

Kereta itu bergerak perlahan-lahan menuju ke arah mereka dan akhirnya berhenti betul-betul di hadapan mereka. Cermin gelap kereta bahagian penumpang sebelah kiri pemandu itu diturunkan. Kelihatan Lord tersengih di tempat duduk pemandu kereta tersebut.

“Surprise!” Tempik Lord sambil ketawa melihatkan kawan-kawannya yang terperanjat beruk.

“Kat mana lu curi kereta ni Lord?” Tanya Shidee.

“Ni kereta bapa akulah.”

“Lu biar benar...” Sampuk Zul yang sedari tadi diam memandang keseluruhan kereta yang pertama kali dilihatnya itu. Pintu tepi kereta itu terbuka secara automatik.

“Apa lagi? Naik ajelah. Dah lambat ni!”

Mereka berenam menaiki kereta MPV Vellfire hitam yang begitu besar itu dengan perasaan bercampur baur. Mereka merasa hairan dan pelik. Memandang sesama sendiri. Manjoe hanya tergelak melihat telatah mereka. Manjoe naik lantas duduk di depan sebelah Lord.

“Lu cakap bebetul Lord. Kereta siapa ni?”

“Ah! Karang aku ceritalah. Kalau aku cakap pun bukan korang percaya..”

“Wah! Semua seat ada TV la.. Hebat!” Jerit Eddy yang duduk di belakang sekali.

“Cerita lima bintang tak ada ke Lord?” Sambungnya lagi.

“Ada. Cerita Tom and Jerry!” Lord menyakat.

“Uih! banyaknya punat. Boleh tekan ke Lord?” Ujar Zul pula.

“Tekanlah! Sesilap lu melambung keluar.” Jawabnya berseloroh.

Zul menekan salah satu punat yang terletak di kerusi itu. Ia bergerak dan menukar kepada posisi berbaring. Eddy yang duduk di belakangnya tersepit.

“Oi! Oi! Agak-agaklah!” Marah Eddy yang tersepit.

“Alah Di, alang-alang naik, ushalah apa yang patut! Ujar Zul sambil mengembalikan posisi tempat duduknya.

Mata mereka liar memandang ke arah kenderaan-kenderaan lain yang ada di sepanjang perjalanan dari Bangsar Park ke Shah Alam. Mereka merasa begitu bangga dapat menaiki kereta tersebut.

Lord memandu menuju masuk ke kawasan seksyen 9 Shah Alam. Salah satu daripada kawasan yang perumahan elit di Shah Alam itu. Memasuki sebuah lorong di situ kelihatan kereta-kereta mewah pelbagai jenis terletak menjalar di sepanjang jalan. Enam khemah berenda biru terpacak teguh di halaman depan sebuah rumah banglo tiga tingkat. Ramai juga tetamu yang telah berada di situ. Mereka semua terkejut bila Lord masuk ke perkarangan rumah banglo yang tersergam itu dan berhenti di betul-betul di perkarangan rumah tersebut. Empat biji kereta mewah yang ada di garajnya menambahkan lagi kegerunan mereka.

“Okay. Dah sampai. Turunlah. Apa lagi? Naik free nak naik lelama pulak!” Sakat Lord kepada mereka yang masih terlopong.

“Mak ai! Lord kau biar betul. Ini rumah kau ker?” Ujar Zul. Matanya memandang keliling. Sebuah kolam renang yang besar kelihatan di sebelah kanan rumah tersebut.

“Yelah! Takkan aku nak bawa korang pergi rumah orang lain pulak?..” Jawabnya ringkas.

“Patutlah orang panggil kau Lord.” Sampuk Eddy pula.

“Aku tak sangka cempedak menjadi nangka, patutlah dia tak pernah putus duit. Anak orang kaya rupanya...” Shidee tak nak ketinggalan memberi kenyataan.

“Patutlah dia tahu semua protokol orang kaya. Mati-mati aku ingat dia kerja kat hotel dulu.” Zul menambah.

Lord hanya tersenyum melihat gelagat kawan-kawannya itu sambil mengenyit mata kepada Azman.

Seorang lelaki separuh umur yang memakai baju melayu berwarna ungu lengkap dengan samping bercorak dan songkok mendekati mereka.

“Manjoe! Lama dah tak datang rumah uncle kan? Tak sudi ke?”

“Bukan gitu Uncle. Saya kerja tak menentu. Sibuk. Banyak hal Uncle.” Jawab Azman walaupun pada hakikatnya dia segan untuk ke rumah itu. Dia tahu kedudukannya dan dia merasakan yang rumah ini bukan tempat untuknya.

Kawan-kawannya yang lain terkedu. Rupa-rupanya Lord memang anak datuk. Anak kepada Datuk Amri. Mereka juga terkejut dengan sapaan bapa Lord itu. Bagaimana Datuk Amri mengenali Azman. Ini menimbulkan tandatanya kawan-kawannya. Ditambah pula dengan Datuk yang juga memanggil Azman dengan nama Manjoe.

“Jemputlah masuk. Sekejap lagi orang masjid sampailah tu.” Ujar Datuk Amri kepada mereka semua.

Majlis kenduri tahlil dan doa selamat itu berjalan dengan lancar. Kenduri tahlil arwah telah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat negara ini dan ada yang mengganggapnya sebagai bida’ah. Apapun ia terpulang kepada individu itu masing-masing. Selepas berdoa para tetamu disajikan dengan makanan yang telah sedia terhidang di atas meja di bawah khemah.

Setelah menjamu selera, para tetamu yang ramai itu mula beredar, Azman dan kawan-kawannya pula duduk di  varandah. Tak lama kemudian kelihatan Lord beserta bapanya melangkah menuju ke arah mereka. Datuk Amri terus sahaja duduk di hujung meja lagak seakan seorang pengerusi majlis diikuti Lord di sebelahnya.

“Dah kenyang semuanya?” Soalnya.

“Alhamdullillah... Sedap lauknya Datuk.” Jawab Zul seraya mengusap perutnya yang membonjol. Yang lain hanya mengganguk setuju.

“Tak ayahlah panggil Datuk. Panggil Uncle sudahlah. Untuk pengetahuan kamu Uncle dulu orang susah. Sekarang ni Alhamdullillah. Uncle sebenarnya tak mahu Azli ni susah. Tapi katanya dia nak belajar hidup. Maka uncle tak kesahlah. Itu pilihan dia sendiri. Uncle tak nak halang. Kesusahan bagus sebagai pengajaran sebenarnya. Ia juga salah satu dugaan Allah. Manusia selalu lupa Allah bila dia senang, tapi bila dia susah barulah dia nak ingat. Jadi kamu semuanya ini janganlah risau kalau kamu susah sekarang. Ia dugaan yang pastinya akan menguji keimanan kamu kepada Allah Taala.” Datuk Amri tak semena-mena membuka cerita.

“Lagipun uncle percaya pada Manjoe ni.” Sambungnya sambil menepuk bahu Azman.

Azman hanya tersenyum. Mereka yang lain hanya menggangguk tanda faham kenapa Lord tak kesah melepak dengan diorang.

Ni Uncle nak pesan. Dalam hidup ni kalau kita gigih dan punya sikap yang betul pasti kita akan berjaya. Janganlah jadi orang yang malas dan lemah. Tapi jadilah orang yang rajin dan sentiasa bersemangat. Nak merempit tu pun kena ada wawasan okay.

    Mereka menggangguk bersetuju dengan kata-kata Datuk Amri itu.

    “Hah! Itu Danial baru sampai. Dia ada exam katanya.” Tiba-tiba perhatian Datuk Amri beralih bila dia mendengar bunyi kereta yang menderu masuk ke perkarangan rumah tersebut. Kereta itu tidak kelihatan namun dari bunyinya mereka tahu ia merupakan sebuah kereta sport.

Tak lama kemudian seorang lelaki muda yang segak berkulit kuning langsat memasuki kawasan varandah tempat mereka berkumpul. Dia memberi salam lantas terus bersalam dengan Datuk Amri dan mencium tangannya. Kemudian Lord berserta yang mereka yang lain.

“Kenalkan ini Danial, adik Azli... Dia masih belajar di UIA.” Datuk Amri memperkenalkan anak lelaki keduanya.

    “Maaf adik terlambat ayah. Ada exam tadi..”

    “Eh! Abang Man! Lama tak datang? Ayah dengan Mama selalu tanya pasal Abang Man.” Ujar Danial sebaik ternampak Azman. Mereka bersalaman.

    “Sibuk sikitlah Danial.” Azman pantas memberi alasan.

    “Ayah, saya naik atas kejap, karang saya turun okay..”

    Datuk Amri menggangguk. Danial menuju e arah tangga meneruskan langkahnya naik ke tingkat atas.

“Hah! Yang ni lain pulak. Abangnya suka belajar susah, adiknya pulak nak senang aje. Langsung tak boleh susah sikit. Kekadang pening kepala uncle ni.”

“Anyway, kita manusia ni sama je. Kaya ke miskin, ada pangkat ke tidak, masalah tetap ada Mungkin masalah kewangan tak ada tapi bila ada duit ramailah pulak yang datang minta tolong itu ini. Masalah dalam keluarga dan sebagainya semua ada. Tak ada bezanya dari orang lain. Ni ha, si Azli dengan Danial tu pun macam anjing dengan kucing dari dulu sampai sekarang.” Cerita Datuk Amri ikhlas. Lagaknya seakan seorang bapa yang sedang menasihati anak-anaknya.

Lord sekadar tersenyum.

“Bagus jugak ayah nasihatkan diorang ni. Bukan apa ayah, diorang ni pandang tinggi sangat pada Datuk, Tan Sri ni. Padahal kita semua sama je. Tu pasallah Abang bawak diorang datang kenduri hari ni.”

“Oh! Patutlah tak pernah nampak batang hidung kawan-kawan abang selama ni. Ada sebab rupanya...”

“Tak boleh bawak ayah, diorang ni bukannya ada tata tertib. Tak ada wawasan.” Lord berseloroh sambil menjuihkan mulutnya pada kawan-kawannya..

“Ehh! Siapa kata kitorang tak ada tatatertib. Tak nampak ke kitorang duduk dengan penuh sopan santun ni? Tolong sikit ar. Sori ye Datuk.” Lekas Shidee menjawab menangkis hujah Lord.

“Datuk, nak buat satu permintaan boleh?” Tanya Eddy pula.

“Apa dia?”

“Nak tumpang mandi kat swimming pool boleh?” Tanya Eddy selamba.

“Hah! Ayah tengoklah tu! Betul ke tu?” Jari Lord menuding pada Eddy.

“Tak apa.. Ada bawak pakaian mandi tak?” Jawab Datuk Amri seakan faham dengan runtunan jiwa anak-anak muda itu.

“Alah Datuk, pakai seluar kecik pun boleh!” Jawab Eddy lagi. Mereka semua tergelak dengan gelagat si Eddy. Eddy memang begitu dengan sifatnya yang agak gila-gila.

    “Kalau nak mandi petang nantilah. Minta Azli seluar dengan tuala okay.” Datuk Amri memberi keizinannya.

    “Orait!” Eddy menyahut gembira.

    “Dah.. dah.. Sebelum tu jom pergi tolong Katerer tu kemaskan barang-barang diorang.” Lord memberi syaratnya.

    “Yelah...”

    Datuk Amri tersenyum, sejurus itu Datin Aini datang mengajaknya ke ruang tamu kerana ada tetamu yang ingin bersalaman untuk pulang. Dia bingkas bangun meminta diri.

    “Apalah kau ni Eddy... tak boleh bawak majlis langsung! Ujar Zul.

    “Weh, korang nak mandi swimming pool ke tak? Free ni!” Eddy memberikan saranan.

    “Boleh ke Lord?”

    “Boleh aje.. Apa ada hal... What are friends for? Janji tolong aku kemas depan tu.”

    “Orait!” Jawab mereka serentak.

“Nasib baik hari ni tak bawak gadis-gadis tu!” Kata Zul pula.

    Mereka semua bangun menuju ke dalam, melalui ruang tamu untuk ke bahagian depan banglo tersebut. Mereka semua mahu membantu untuk berkemas.

Berikut adalah blog-blog dan link manfaat FY yang lain;

Untuk mendapatkan input pelaburan saham layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 1 secara percuma layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 2 secara percuma layari - 

Kisah anak Pak Gad bernama FY layari -

Ingin dapatkan pengisian motivasi bersama FY? Layari -

Ingin baiki diri ke arah Minda Akhirat? Layari -

Ikuti FY di Youtube 

Ikuti FY di Facebook