Followers

Thursday, October 24, 2013

BAB Akhir - Novel Paling Best Pernah Dibaca - Novel Trilogi Man Rempit 1

Bab Akhir

“Tan Sri Samad ada beritahu Daddy yang anaknya Farid ditangkap polis. Kamu ada dengar berita mengenainya?” Tanya Datuk Halidi pada Sara.

“Farid ditangkap polis? Eloklah tu daddy, biar padan dengan muka dia!”

“What do you mean by that?”

“Dia bukanlah baik seperti yang daddy sangka. He is a womaniser! Dia tu kaki perempuan, kaki minum dan entah kaki apa lagi.”

“Mana Sara tahu semua ni?”

“Sara jumpa dalam facebook, gambar dia bercumbu dengan ramai perempuan tak kira bangsa bersepah siap pegang air setan tu lagi..”

“Mungkin dia sosial sikit. Tapi itu bukan masalah besar bagi daddy.”

“Apa lagi yang Sara boleh katakan. Kalau Sara katakan yang dia pernah cuba nak merogol Sara, adakah daddy akan percaya?”

“Bila? Dimana? Kenapa Sara tak bagitahu Daddy?”

“Beberapa bulan lepas, di Hotel Hilton Petaling Jaya. Hari dimana Azman datang menyelamatkan Sara di bawah jejantas Kerinchi Link tu. Kenapa Sara tak bagitahu daddy? Daddy takkan percaya sebab daddy dah termakan lakonan si Farid penipu tu... Lagipun Sara tak sanggup nak menghampakan harapan daddy. Tapi itulah kebenarannya.”

“MasyaAllah! Takkanlah daddy tak percayakan anak daddy sendiri... Kalau Sara beritahu pasti daddy akan ambil tindakan terhadap Farid.”

“Tapi daddy, dia selalunya terlepas sebab bapanya seorang Tan Sri! Apapun Sara yakin kes dia ditangkap ni pun mesti ada kena mengena dengan kes perempuan...”

“Tan Sri Samad tak cakap pulak. Tapi katanya dia dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan Mat Rempit. Betul-betul di depan rumahnya.”

“Mat Rempit?...” Sara termangu seketika dengan penjelasan ayahnya itu. Kenapa pulak mat rempit mahu memukulnya? Soal hatinya.

“Ring... Ring...” Bunyi telefon rumahnya yang berbunyi menghentikan lamunan Sara.

Datuk Halidi yang berada berdekatan terus mengangkat gagang telefon tersebut.

“Wa’alaikumussalam. Ya Amri, ada apa?”

“Malam ni? Lepas Isyak?”

Mereka berbual seketika. Butir-butirnya tidak berapa kedengaran di telinga Sara.

“Baiklah kami akan ke sana.”

“Siapa tu Daddy?” Tanya Sara ingin tahu.

“Kawan Daddy Datuk Amri yang duduk kat Sek 8 tu. Dia jemput kenduri doa selamat lepas Isyak malam ni.”

“On short notice?”

“Dia kata anaknya akan menjalani pembedahan besok. Pembedahan pindahan hati. Nanti selepas Marghrib kita ke sana okay? ”

“Baiklah Daddy... and thanks for listening.”

“Tak kesahlah, yang penting dia tak akan mengganggu Sara lagi dan satu lagi, lain kali kalau ada apa-apa hal beritahu daddy okay?” Pesannya sambil mengusap rambut anak gadis kesayangannya itu.

Sara sekadar mengangguk. Hatinya lega kerana dapat memberitahu bapanya rahsia yang telah dipendamnya semenjak beberapa bulan yang lalu.

XXXXXX

Image result for bmw 7 series silver

Kereta BMW 7 Series kelabu yang dipandu Datuk Halidi serta keluarganya tiba di perkarangan rumah Datuk Amri. Beberapa orang pekerja syarikat katering nampaknya sedang sibuk menyediakan hidangan di bawah khemah sana. Para tetamu termasuk jemputan dari surau berdekatan sudah mula memenuhi ruang depan dalam rumah tersebut. Kehadiran mereka disambut Datuk Amri beserta isterinya. Sara dengan ibunya terus sahaja ke bahagian belakang rumah tempat dimana tetamu perempuan berkumpul.


Image result for canopy doa selamat

Sara duduk di bahagian yang menghala ke bahagian dapur. Dari situ dia nampak ruang tamu rumah itu dengan jelas. Pada masa itu di bahagian tangga turun dua orang jejaka siap berbaju melayu dan bersongkok. Mereka terus sahaja duduk di sebelah Datuk Amri. Seorang agak kacak dan seorang lagi... Itu Lord kalau tak salah. Detik hati Sara. Apa yang dia buat di sini? Kenapa dia turun dari atas pula? Adakah dia kawan kepada anak Datuk Amri? Atau adakah dia ada kena mengena dengan keluarga Datuk Amri. Semua persoalan ini bermain di relung hatinya namun tiada jawapan yang diperolehinya. Dia memasang tekad untuk mencari jawapannya malam tu juga.

Sejurus selepas semua tetamu duduk, upacara doa selamat itu pun dilangsungkan. Selepas itu mereka semua dijemput untuk menjamu selera dengan makanan yang telah sedia terhidang di atas meja di bawah khemah yang letaknya di halaman rumah banglo tersebut.

Keluarga Datuk Halidi duduk di satu penjuru berdekatan dengan kolam renang menghadap ruang tamu. Datuk Amri yang tadinya sibuk melayan tetamu akhirnya datang menyertai keluarga Datuk Halidi.

Kesempatan itu tak dilepaskan Sara untuk bertanya soalan-soalan yang berlegar dibenaknya.

“Datuk, boleh saya tahu siapa lelaki yang pakai baju melayu hijau dan bersongkok tu?” Soalnya sambil jarinya menunjuk ke arah Lord yang sedang duduk dengan Shidee, Eddy juga kawan-kawannya yang lain yang lewat tiba.

“Oh! Itu Azli anak pertama saya. Adiknya Danial tu ha yang pakai baju melayu biru tua tu.” Ujarnya sambil menunjuk pada Danial yang agak sibuk melayan tetamu.

“Azli tu anak Datuk?” Tanyanya lagi memohon secebis kepastian.

“Ya. Kenapa Sara tanya? Sara kenal ke?”

“Hem.. Kami pernah bertemu sekali dulu...”

“Okay, biar saya panggilkan dia.” Belum sempat Sara untuk berkata apa-apa. Datuk Amri terus sahaja bangkit dan memanggil Lord untuk menyertainya di meja Datuk Halidi.

Azli terus sahaja menuju ke arah meja Datuk Halidi. Buat pertama kalinya barulah Lord sedar akan kehadiran gadis ayu anak Datuk Halidi di majlis itu.

“Sara...” Perlahan keluar suaranya kerana terkenangkan peristiwa tempohari juga apa yang menimpa Azman yang mana semuanya ada kena mengena dengan Sara.

“Lord...” Lafaznya perlahan kerana tak menyangka sama sekali Lord mat rempit yang dikenalinya melalui Azman itu adalah anak kepada datuk Amri. Dia jadi serba salah. Geramnya pada Azman masih berbaki.

Lord terus duduk berdekatan dengan Sara.

“Saya ada satu perkara penting yang perlu saya sampaikan pada Sara...” Terus sahaja dia berterus terang. Mereka yang lain terpinga-pinga.

“Sebenarnya apa yang terjadi malam tu bukan seperti yang Sara sangkakan. Azman dah lama berhenti berlumba semenjak kematian adiknya Johari. Sudah berapa kali kami mengajak dan memujuknya namun dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak berlumba walaupuan hadiah yang ditawarkan begitu lumayan.”

“Boleh saya Lord terangkan pada Sara akan kisah sebenarnya?”

“Hem..” Sara hanya menggangguk memberi keizinannya. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia balik. Hakikatnya dia tak mahu ada kena mengena dengan Azman mahupun kawan-kawannya lagi.

“Cerita begini, sebenarnya beberapa hari sebelum itu Shidee datang bertemu dengan kami dan memberitahu yang adiknya telah melarikan diri dari rumah. Dia lari kerana pada masa itu dia tertekan kerana ibubapanya bercerai. Dia kemudiannya mengikut kawannya bebudak Gombak. Entah macamana hujung minggu malam itu Shida adik Shidee yang berumur 16 tahun itu dipertaruhkan untuk dijadikan habuan perlumbaan dengan bayaran tertentu oleh setiap pelumba.”

“Shidee jumpa Lord dan kami memohon bantuan Manjoe untuk menyelamatkan adiknya itu dengan berlumba. Pada mulanya dia enggan tetapi setelah kami memujuknya bertalu-talu barulah dia bersetuju. Saya dan Shideelah yang membayar wang pertaruhan untuk perlumbaan malam tersebut dan menyediakan motosikalnya. Dia sahajalah harapan kami pada masa itu kerana diantara kami dia yang peling cekap berlumba. Kami begitu yakin yang dia akan menang dan menyelamatkan maruah Shida.”

“Memang benar andaian kami. Kami bersyukur Manjoe menang dan sebagai pemenang Manjoelah yang pergi mengambil Shida. Kami membawa Shida ke Bangsar kerana kami mahu menasihatinya. Lord rasa inilah yang Sara nampak. Sara sebenarnya sudah silap sangka. Don’t believe what you see Sara...

“Kemudian tiba-tiba Sara datang dan menghina Azman juga kami semua. Kami sedih. Walaupun kami Mat Rempit tapi kami punya maruah. Kami sama seperti Sara, punya hati dan perasaan, kalau ikutkan hati dan maruah, saya tak mahu menceritakan semua ini tetapi disebabkan Azman dalam keadaan kritikal di hospital maka Lord rasa Sara harus tahu. Lord tak mahu Azman mati tanpa Sara mengetahui akan perihal yang sebenarnya.”

“Ketahuilah Sara, Azman seorang yang baik, dia sentiasa menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan dengan ikhlas tanpa meminta apa-apa balasan. Kami banyak terhutang budi dengannya selama ini.”

“MasyaAllah. Benarkah semua ini Lord? Sara tak percaya! Lord jangan nak cuba cover Azman! Lord jangan nak gunakan semua ini untuk mendapatkan simpati Sara!” Tempik Sara. Jauh dihatinya dia serba salah, dia keliru dan tak tahu apa yang harus dipercayainya. Semua ini takkan berlaku kalau dia tak mengenali insan bernama Manjoe.

“Benar! Semua yang diperkatakan Azli itu benar Sara!” Tiba-tiba Datuk Amri menyampuk mengukuhkan penjelasan Azli anaknya itu.

“Halidi! Is this the Azman that you told me before? The guy who is in relation to your daughter?”  Ujar Datuk Amri kepada Datuk Halidi yang duduk bersebelahan dengan Sara.

“Yes! Amri. Why? Did you know him?”

“I sure do! Now it started to make sense. Now I know why Sara fall for him. Patutlah Sara suka pada mat rempit yang ini... He is something else.” Ujarnya sambil tersenyum.

For your information, Azman memang seorang budak yang baik Sara, Halidi. Satu ketika dahulu my son, Azli atau yang bebudak panggil Lord ni tersasar jauh dalam kancah penagihan dadah serta pelbagai masalah lain tetapi Azmanlah yang membantu dan membawa dia kembali kepada keluarga ini dikala kami semua telah berputus asa. Pada masa itu kami telah usahakan segalanya tetapi tidak berjaya. Then Azman came to his rescue. Mereka ni dah berkawan baik semenjak di sekolah rendah dahulu.” Jelas Datuk Amri, matanya lebih tertumpu pada Sara.

“Sara, Uncle tak pernah menceritakan hal ini pada sesiapapun kerana hal ini hanya membuka pekung di dada dan mengaibkan keluarga ini tetapi Uncle tak dapat nak menafikan bantuan Azman dalam hal ini. He deserved the credit! Kami mengganggap Azman sebahagian dari keluarga ini dan kami akan lakukan apa sahaja demi kesejahteraannya.”

Datuk Halidi terdiam. Dia keliru. Keliru dengan kepercayaan serta prinsip yang dipegangnya selama ini. Tembok egonya mula retak. Sara terkedu. Mukanya berkerut. Tumpuannya masih tak berganjak pada Datuk Amri.

Anyway, sebab itulah uncle benarkan dia berkawan dengan Azman dan kawan-kawannya. Azman sebenarnya seorang kawan, sahabat dan mentor yang baik bagi rakan-rakannya tapi sekarang dia sakit. Dia telah ditikam oleh Farid beberapa hari lepas. Uncle tak tahulah akan masa depannya. Doktor kata harapan untuk dia pulih amat tipis. Kami sekeluarga sedaya upaya berdoa agar dia sembuh dan akan melakukan apa sahaja yang diperlukan keluarga Azman.”

“Hari ini pun majlis doa selamat ini kami buat khas untuk Azman juga Azli dengan harapan satu keajaiban akan berlaku. InsyaAllah. Walaupun berat untuk kami benarkan Azli mendermakan sebahagian dari hatinya lagipun Azli tidak mahu berganjak dari pendiriannya, jadi kami tak dapat nak menghalang. Kami sedang menanti keputusan ujian hati Azli. Kami harap ia sepadan dengan Azman.” Datin Aini hanya menggangguk. Airmatanya menitik menuruni pipinya mengenangkan nasib yang menimpa Azman juga anaknya Azli.

        Tiba-tiba di kaca televisyen dalam buletin terkini TV3 memaparkan kisah Azman.

        “Manjoe dalam TV!” Kata Lord menarik perhatian ramai kepada skrin TV Plasma 60 inci di ruang tamu rumahnya itu. Sara tak ketinggalan.


Image result for berita tv3

        “Kisah Azman Affandi telah menarik perhatian ramai semenjak seorang anak Tan Sri diberkas kerana disyaki membunuh adiknya beberapa tahun lalu. Minggu lepas kisah bagaimana semua mat rempit bersatu dan menguasai Kuala Lumpur untuk mencari suspek telah menyebabkan kisah Azman Affandi dipaparkan di semua media massa. Bagaimanapun Azman telah ditikam oleh suspek dan cedera teruk di bahagian hati pada malam kejadian. Dia telah kehilangan banyak darah dan apa yang pelik ialah semalam berduyun-duyun mat rempit dan mat motor yang lainnya datang beratur di hospital ini untuk menderma darah bagi membantunya. Ianya sebenarnya di luar jangkaan.

Sekarang beliau memerlukan pembedahan hati bagi meneruskan kehidupan dan setakat ini mereka yang tampil tidak mempunyai organ hati yang sepadan.

Berita terbaru yang kami terima seorang penderma iaitu Mohd Azli anak kepada Datuk Amri sedang diuji dengan harapan bahagian hati yang bakal didermakan itu sepadan dan tiada komplikasi semasa pembedahan nanti.”

        “Mari kita temuramah Saudara Azman sendiri mengenai perihal ini.”

Kamera terus dipalingkan kepada Azman yang terlantar di katil hospital itu.

        “ Bagaimana keadaan En. Azman sekarang?

        “Alhamdullillah.. Okay. Kesihatan saya tak penting tapi apa yang penting ialah Farid telah diberkas dan pencarian kepada pembunuh adik saya selama ini telah berakhir. Mungkin inilah matlamat hidup saya dan ianya telah tercapai...”

        “En. Azman janganlah cakap begitu. Kami yakin yang En. Azman akan pulih seperti sediakala.”

        “Ada apa-apa pesanan mungkin buat keluarga atau yang tersayang menjelang pembedahan nanti?”

        “Saya ingin memohon ampun dan maaf daripada keluarga ibu bapa, adik saya Aina, kawan-kawan dan semua yang mengenali diri saya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Huk! Huk!” Suaranya tersekat-sekat.

        “Kepada Lord, terima kasih yang tak terhingga sebab sanggup menderma sebahagian dari hatinya dan kepada semua kawan-kawan mat rempit di luar sana bersatu hatilah. Jangan gaduh-gaduh. Sesungguhnya kita umat Islam semuanya bersaudara.”

        “Satu lagi khas untuk seorang gadis yang bernama Sara Yasmin. Kalau Sara menonton rancangan ini, Man ingin memohon maaf atas segala yang berlaku dan segala kesalahan Sara telahpun Man maafkan. Mungkin tiada jodoh diantara kita. Apapun Man nak sampaikan satu perkara yang tak pernah Man katakan tidak pada Sara malah tidak pernah Man katakan pada sesiapapun juga.” Azman terhenti seketika. Airmata lelakinya mula mengalir. Dia menarik nafas.

        “Kalau kita tiada jodoh untuk bertemu lagi dan kalau mungkin hidup Man setakat ini Man nak Sara tahu yang Man sayang pada Sara... Man sangat sayang pada Sara. Hari ini, besok dan selamanya...” Bergetar suara Azman meluahkan kata-kata itu.

        Segmen berita mengenai Azman berakhir di situ. Sara yang tadinya berdiri terus terduduk menangis semahu-mahunya. Datuk Halidi terus mendapatkan anak gadisnya itu. Dia memeluk dan memangku Sara Yasmin yang masih teresak-esak.

        “Maafkan Daddy Sara! Maafkan Daddy! I am sorry... Daddy tak tahu semua ini. Daddy sama-sama bersalah dalam hal ini. Ego Daddy telah menyebabkan Daddy buta. Buta hati. Tak nampak yang mana kaca dan yang mana permata. Jom kita ke hospital. Mari Sara. Kita jumpa Azman. Daddy nak minta maaf darinya! I want to make thing better for all of us!

        Mereka yang berada di situ juga bergenangan airmata menyorot drama yang sedang terungkai. Kisah sedih antara sepasang kekasih, kisah kesilapan dan syak wasangka manusia yang terungkap oleh kekuasaan yang Maha Esa. Ia membawa cahaya kesedaran buat dua anak beranak itu.

Sara menangis sendu sepanjang perjalanan ke hospital. Bapanya Datuk Halidi hanya terdiam sedih melihatkan keadaan anaknya. Rasa bersalah memuncak di hatinya. Dia cuma berharap mereka tak terlambat untuk bertemu dengan Azman. Dia tak mahu kekesalan menghantui diri sepanjang baki kehidupannya itu. Dalam perjalanan lagu Iklim, Suci Dalam Debu yang dinyanyikan Saleem berkumandang di radio. Lagu itu seakan menceritakan keseluruhan kisah Azman Affandi.

Engkau bagai air yang jernih
Di dalam bekas yang berdebu,
Zahirnya kotoran itu terlihat
Kesucian terlindung jua

Cinta bukan hanya di mata
Cinta hadir di dalam jiwa
Biarlah salah di mata mereka
Biar perbezaan terlihat antara kita...

Ku harap engkau
Kan terima
Walau dipandang hina

Namun hakikat
Cinta kita
Kita yang rasa

Suatu hari nanti
Pastikan bercahaya
Pintu akan terbuka
Kita langkah bersama

Di situ kita lihat
Bersinarnya hakikat
Debu jadi permata
Hina jadi mulia

Bukan khayalan
Yang aku berikan
Tapi keyakinan yang nyata...


Image result for kecemasan hospital universiti ppum

Dengan tergesa-gesa mereka masuk ke Unit Rawatan Rapi tempat Azman dirawat setibanya di hospital. Kelihatan sekujur tubuh di atas katil tersebut. Kepala, perut dan beberapa bahagian badannya yang cedera kelihatan berbalut. Ibubapa serta adiknya Aina ada menanti di luar bilik tersebut. Bilik yang hanya boleh menerima hanya 2 orang pelawat pada satu-satu masa. Tatkala mereka sampai Azman sudah kembali tidak sedarkan diri. Wayar-wayar berselirat di seluruh tubuhnya. Dia memakai alat bantuan pernafasan. Sara merasakan dirinya sudah terlewat. Terlambat untuk bertemu Azman demi memohon sebuah kemaafan.

        Dia terus sahaja membungkamkan kepalanya di tepi katil itu. Tangannya terus sahaja memaut tangan Azman erat.

“Ampunkan Sara Man, ampunkan Sara. Sara banyak buat salah pada Man. Sara salah sangka. Ya Allah, ampunkanlah dosa Sara. Sara bersalah pada Azman. Jangan tinggalkan Sara Man. Man dah janji dulu takkan tinggalkan Sara. Man dah janji... Ya Allah, aku memohon kepada Mu, Kau selamatkan nyawa Azman... ” Kedua tangannya didepangkan ke langit memohon doa ke hadrat Ilahi.

“Walaupun Sara tak pernah mengatakannya tapi sedarilah yang Sara juga sayang pada Man. Kasih sayang Sara pada Man hanya Tuhan yang tahu. Walau badai yang begini besar datang menduga kita akan Sara pertahankan perhubungan ini. Biar apapun terjadi. Itu janji Sara.”

Datuk Halidi tak dapat berkata apa-apa. Airmata lelakinya mengalir turun mengikuti lurah pipinya. Dia rasa amat bersalah dan dia tidak menyangka Farid sanggup mengambil tindakan yang sebegitu rupa. Sebegitu kejam. Apalah ertinya semua ini. Hari ini jelas padanya yang kasih sayang dan cinta bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli. Tiada apa yang mustahil, kehendak Allah taala telah menemukan Sara dan Azman dari dua golongan yang begitu jauh berbeza untuk memadu cinta. Detik hatinya menyesali apa yang telah terjadi.

Tiba-tiba degupan jantung Azman menunjukkan kenaikan yang mendadak dan berdenyut tak menentu. Alat yang disambungkan ke tubuhnya berbunyi. Jururawat dan doktor datang dan menyuruh mereka semua keluar kerana Azman perlu dirawat.

Dengan hati yang berat Sara melangkah keluar dari wad itu

“Bagaimana keadaan Azman doktor?” Tanya Datuk Halidi sejurus doktor lelaki itu keluar dari wad tersebut.

“Nampaknya keadaannya berada di tahap serius. Dia kehilangan banyak darah dan fungsi hatinya berada di tahap minima. Kalau hatinya tak digantikan dalam masa yang terdekat peluangnya untuk terus hidup adalah tipis. Ini kerana ia boleh menyebabkan kegagalan vital organ yang lain untuk berfungsi. Kecederaan hati ialah perkara biasa dalam kes kemalangan dan pergaduhan begini. Di Malaysia pendermaan organ pula masih lagi berada di tahap yang rendah. Apapun pihak kami telahpun membuat analisa awal dan mendapati anak Datuk Amri mungkin punya hati yang padan dan dia telah pun bersetuju untuk menderma sebahagian darinya. Apapun pihak kami akan mengetahui keputusan analisa hati tersebut beberapa hari lagi.”

“Apapun syukurlah kerana ramai kawan-kawannya yang datang dan mendermakan darah padanya. Selebihnya kita hanya dapat berdoa dan bertawakkal semoga dia dilindungi Allah Taala.” Sambungnya lagi.

Sara tak dapat lagi membendung airmata yang bergenang. Airmata itu menuruni lurah pipinya laju. Ia menitik pada baju kurung yang dipakainya. Dai menangis semahu-mahunya. Rasa bersalah membelenggu dirinya. Dia merasakan yang dia telah banyak melakukan kesalahan pada Azman. Perasaan itu tetap bermukim di hatinya. Apa juga keadaannya Sara akan tetap berada di sisi Man bila Man keluar dari bilik pembedahan nanti. Lafaz hatinya.

XXXXXX

        Jam menunjukkan pukul 3:45 pagi, Azman membuka matanya. Pemandangan yang mulanya kabur semakin lama semakin jelas. Seorang jururawat berbangsa India berada di hadapannya sedang menulis sesuatu di dalam fail. Aina nampaknya sedang nyenyak tidur di sebelahnya. Boleh dikatakan setiap katil yang berada di dalam wad Intensive Care Unit itu ada pesakit yang tenat keadaannya. Sebuah meja dengan seorang jururawat berada di hadapan setiap katil itu. Bahagian perut Azman terasa kebas. Tekaknya pula terasa begitu dahaga. Dia sedar yang dirinya telah selamat dibedah.

“Misi, boleh bagi saya sedikit air.” Serak keluar suaranya. Suara yang tak digunakan semenjak beberapa hari yang lalu.

“Oh, Encik Azman dah bangun. Baguslah. Minta maaf tak boleh lagi. Doktor tak benarkan sehingga jam 7 pagi.” Jawab misi tersebut penuh sopan.

“Abang dah sedar.... Alhamdullillah...” Terdengar suara Aina yang mungkin baru sahaja terjaga.

“Abang dahagalah dik tapi misi tak bagi abang minum air.”

“Tak apa biar adik basahkan bibir abang tu.” Adiknya itu mengambil air lalu membasahkan bibir Azman yang kering. Dalam keadaan begini barulah keprihatinan Aina terserlah.

“Mak, Abah mana dik?”

“Diorang dah balik. Kami bergilir jaga abang semenjak semalam. Macamana abang rasa? Abang okay?”

“Alhamdullillah. Rasa biasa je.”

“Mungkin ubat penahan sakit tu masih ada lagi.”

“Agaknyalah.” Mata Azman semakin mengecil.

“Abang tidurlah dulu. Berehat. Abang perlukan tenaga untuk kembali pulih.” Saran Aina dengan nada yang sayu.

“Hem..” Dia kembali terlelap.

XXXXXX

Sudah beberapa hari dia berada di hospital tetapi masih belum dibenarkan pulang. Pelbagai therapi yang harus dilaluinya. Petang itu jururawat membawanya bersiar-siar di taman hospital untuk melihat kepada pemandangan yang kehijauan. Salah satu therapi minda yang perlu dijalankan. Keadaan dirinya beransur pulih tapi kelibat kawan-kawannya masih belum kelihatan. Keadaan itu begitu menghairankannya. Apapun dia bersyukur kerana hati yang didermakan Lord sesuai dengan dirinya. Baginya mulai saat itu mereka menjadi blood brothers kerana pendermaan hati tersebut. Mungkin Lord juga sepertinya yang masih terlantar menanti untuk sembuh. Hatinya berbisik membuat andaian.

Bapanya telah mula kembali bekerja, ibunya di rumah dan Aina adiknya pula bersekolah. Maka tinggallah Azman seorang diri di kamar hospital tersebut. Wad Songket kelas pertama di Pusat pakar HUKM itu cukup besar, berhawa dingin, punya sofa dan televisyen juga kemudahan tandas sendiri. Azman tahu semuanya itu dibiayai oleh bapa Lord, Datuk Amri. Mana mungkin keluarganya membayar kemudahan bilik yang begini mahal. Getus hatinya. Petang itu selepas makan tengahari dan mengambil ubat, matanya terasa begitu berat. Mungkin kesan dari ubat itu membuatnya mengantuk. Begitulah keadaannya seharian di hospital. Bangun dikejutkan untuk diperiksa, makan mahupun makan ubat. Kemudian dia tertidur lagi.

Petang hari itu sedang dia lena tidur tiba-tiba kamarnya diketuk.

“Yezza! Manjoe sudah kembali!” Teriak Shidee dan kawan-kawannya girang sejurus masuk bilik tersebut.

“Lepas ni bolehlah kita lumba kerusi roda pulak Man!” Sakat si Eddy.

“Weh! Mana korang pergi? Dah berapa hari aku kat sini, korang tak datang pun.” Azman jelas gembira dengan kehadiran mereka.

“Lu jangan tak tahu, kitorang semua masuk lokap bro’. Kena tahan reman membantu siasatan kes Farid hari tu. Baru semalam dibebaskan.”

“Yelah Man. First time wa masuk lokap lu tahu. Ish! Wa haramkan kaki wa pijak tempat tu lagi. Makanan dia tak best langsung! Si Ayu ni masak lagi sedap!” Sambung Zul.

Ayu cuma menjuihkan bibirnya pada Zul yang beria-ia bercerita.

“Apapun wa happy dapat hentak mamat tu. Pecah muka dia lu tahu. Kitorang henjut beramai-ramai. Dah puas baru bagi pada polis! Masuk lokap pun tak apa, asal puas hati!” Sahut Eddy.

“Yang penting kes kita dah settled! Lepas ni tak payah nak cari siapa yang bunuh Johari dulu. Tiga tahun kita cari dia bro! Tiga tahun! Lepas ni kita boleh rileks.. lepak.. tak ada gangguan lagi. Lu pun dah sihat!” Tambah Shidee yang dari tadi hanya mendengar perbualan yang rancak itu.

Kau tahu tak dia juga yang menyebabkan kematian Nordin budak Sentul tu? Ujar Zainal pula.

“Ye ke! Mana korang tahu ni?” Azman terpinga-pinga.

“Dia sendiri yang buat pengakuan malam tu. Tak apa banyak masa lagi boleh cerita.” Sambung Zainal lagi.

Sebelum sempat bertanyakan keadaan kesihatan Lord, kelihatan pintu bilik tersebut terkuak lagi. Kehadiran tetamu kali ini membuatkan Azman begitu terperanjat. Sara yang duduk di atas kerusi roda ditolak oleh Datuk Halidi memasuki ruang kamarnya. Sara kelihatan muram. Tangisannya tak dapat dibendung lagi bila sahaja dia menatap wajah Azman.

Azman tak tahu apa yang hendak difikirkan. Kenapa Sara datang dengan bapanya yang begitu membencinya. Sara juga sakitkah? Dia sakit apa? Pelbagai persoalan menerjah kotak fikirannya. Trauma pembedahan yang dialaminya menyebabkan dia tak dapat menganalisa keadaan. Dia keliru. Keliru dengan semua yang berlaku.
 
Sara terus mendekati katil Azman dan memaut tangannya.

“Man... Maafkan Sara Man.. Sara tak tahu. Sara yang bersalah... Ampunkan Sara Man. Maafkan Sara kerana tiada di sisi Man di saat Man perlukan Sara... Please forgive me.. ” Terpacul kemaafan dari mulut Sara. Dia terus sahaja membungkamkan kepalanya di dada Azman.

Azman terkesima. Dia belum lagi menerangkan apa yang telah berlaku malam itu tetapi Sara telah memohon kemaafan yang bertalu-talu darinya. Dia yakin sesuatu telah berlaku semasa dia dalam koma hingga menyebabkan semuanya terungkai.

“Tak mengapa Sara... Apa yang dah terjadi, terjadi atas susunan Allah Taala. Man dahpun maafkan Sara lama dahulu. Sara tak bersalah apa-apa dengan Man.” Jawab Azman cuba menenangkan diri walaupun hakikatnya darahnya gemuruh dengan tindakan Sara yang tak dijangkakannya itu.

“Saya pun sama Azman, saya juga ingin meminta maaf dari awak. Saya telah tersilap pandang. Kadangkala manusia walaupun dikurniakan dengan dua mata yang celik tetapi mata hatinya buta. Buta dari melihat kebenaran. Kebenaran yang ada padamu Azman. Selama ini saya memandang rendah pada Mat Rempit seperti kamu tetapi kamu telah membuktikan sebaliknya...”

“Tiada apa yang hendak dimaafkan Datuk. Kita manusia sama sahaja. Tak lari dari salah dan silap.”

“Sara... Hari tu Man tak sempat nak cakap terus pada Sara. Man nak cakap yang Man sayangkan Sara. Man harap Sara dapat terima cinta Mat Rempit ini seadanya...”

“Sara terima.. Sara terima dengan hati yang terbuka Man... Sara juga begitu. Sara juga sayang pada Man... Manlah pelengkap kehidupan Sara...” Jawabnya perlahan namun sekuntum senyuman kelihatan diwajahnya. Matanya mula kembali bersinar.

Sekali lagi sebelum sempat Azman bertanya kenapa Sara berada dalam keadaan demikian, Lord dan keluarganya datang menerpa masuk ke dalam bilik itu.

“So, macamana semuanya okay?” Tanya Lord sejurus sahaja masuk.

“Alhamdullillah...”  Azman terkedu. Lord berada di dalam biliknya dalam keadaan yang sihat dan cergas. Mungkinkah? Persoalan itu menerjah kotak fikirannya bertalu-talu.

“Lord! Kalau kau sihat begini... siapa yang...”

Lord tersenyum. Dia memalingkan mukanya dan matanya memandang tepat pada Sara kemudian menoleh kembali padanya.

Airmata Azman mengalir deras. Tangan Sara digenggam erat dan ubun-ubun kepalanya dikucup perlahan...


-   TAMAT  -

Image result for couple in hospital bed silhouette



Kembali ke bab 11 - Tekan link ini. Bab 11 Novel Inspirasi Trilogi Man Rempit.


Amacam? Terbaik kan? Tak sabar nak baca episod seterusnya? Sebelum itu jangan lupa share, like dan komen sebagai tanda sokongan kepada penulis untuk terus berkarya..

Tunggguuuuuu.... Man Rempit 2 akan di siarkan dalam blog ini tak lama lagi....



Apakah yang akan terjadi kepada percintaan antara Manjoe dan Sara selepas ini? Adakah mereka akan melangkah ke alam perkahwinan dan hidup bahagia selama-lamanya?

Novel Man Rempit ini sebenarnya adalah Novel Trilogi yang terdiri daripada Judul-judul berikut ;

1. Man Rempit I – Kisah Cinta Luar Biasa Seorang Mat Rempit
2. Man Rempit II – Dugaan Cinta Seorang Mat Rempit
3. Man Rempit III      - Kegemilangan Cinta seorang Mat Rempit

Dapatkan ketiga-tiga novel hebat ini segera di pasaran agar anda tidak ketinggalan! Hubungi FY di talian 016-6667430 atau emel greng70@yahoo.com untuk keterangan lanjut.




SINOPSIS NOVEL MAN REMPIT
KISAH CINTA LUAR BIASA SEORANG MAT REMPIT

Azman atau Manjoe seorang mat rempit secara tak sengaja menyelamatkan Sara Yasmin seorang gadis yang cantik dan dari situ bibit percintaan luar biasa mereka bermula. Bagaimanakah seorang Mat Rempit dapat menyesuaikan dirinya dengan seorang gadis anak orang kaya?

Dalam pada itu Sara akan telah dijodohkan dengan Farid seorang anak Tan Sri yang kaya. Farid selagi daya cuba menghalang perhubungan antara Manjoe dengan Sara disamping konflik demi konflik yang melanda menggoyahkan hubungan Manjoe dengan Sara.

Berjayakah rancangan Farid untuk mengagalkan hubungan mereka? Dapatkah Sara menerima cinta seorang mat rempit kaki lumba haram itu?

Semuanya bakal terjawab dalam novel hebat ini.


BIODATA PENGARANG


AHMAD FAIZAL KP MOHAMED YUSUP

Dilahirkan di Batu Pahat Johor pada 2 Mei 1970.

Mendapat Pendidikan Awal di ;

SRK Brickfields 2, Kuala Lumpur
SM Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya
SM Teknik Kuala Lumpur
Seterusnya ;

Universiti Teknologi Mara
Shah Alam, Selangor dalam jurusan
Diploma In Investment Analysis
dan
University of Nebraska-Lincoln
Nebraska, USA dalam jurusan
BSc ( Finance )

Mengarang buku ;

Keluar dari Tempurung Pembentukan Diri Ke Arah Kecemerlangan
 ( 2002 ) Utusan Publications.
Keluar Dari Tempurung 2 Pendekatan Praktikal Menangani Masalah
 ( 2005 ) Utusan Publications.
Anda Yang Baru – Minda Kental Hati Cekal
( 2009 ) Alaf 21
        Novel – Bukan Maksum
( 2010 ) Pekan Ilmu Publications
Berubah Sebelum Rebah
( 2011 ) Alaf 21


Menyelenggara buku ;

Bicara Tentang Mahathir
( 2003 ) Pekan Ilmu Publications.

Aktiviti lain ;

  • Menjalankan seminar pelaburan saham.
  • Menjalankan kursus motivasi.
  • Puisi-puisi pernah diterbitkan di majalah-majalah.
  • Blogger – www.faizalyusup.netwww.motivasiku.blogspot.com
  • Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera
  • Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad,

Hubungi  Penulis ;

Email         :       greng70@yahoo.com
Facebook   :       Faizalyusup
Blog          :       www.faizalyusup.net
No. HP       :       016 - 666 7430



Berikut adalah blog-blog dan link manfaat FY yang lain;

Untuk mendapatkan input pelaburan saham layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 1 secara percuma layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 2 secara percuma layari - 

Kisah anak Pak Gad bernama FY layari -

Ingin dapatkan pengisian motivasi bersama FY? Layari -

Ingin baiki diri ke arah Minda Akhirat? Layari -

Ikuti FY di Youtube 

Ikuti FY di Facebook



No comments:

Post a Comment