Followers

Monday, June 13, 2011

Bicara Novel Man Rempit Karya Faizal Yusup




Masalah gejala sosial di kalangan generasi muda di Malaysia semakin lama semakin meruncing. Kes gengsterism, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, masalah seks bebas, bunuh diri, perhubungan sejenis dan sebagainya sering dikaitkan dengan masalah penerapan nilai didikan ugama yang bermula dari rumah.
Salah satu gejala sosial yang telah menular sekian lama dan begitu unik di negara ini ialah gejala mat rempit atau samseng jalanan yang secara tak langsung dikaitkan dengan kes ragut, dadah, seks bebas, lumba haram dan sebagainya.

Namun disebalik semua keburukan ini tersembunyi sebuah kisah seorang mat rempit yang handal tetapi pada masa yang sama merupakan seorang insan yang berhati mulia. Sedia berkhidmat pada bila-bila masa, terhadap sesiapa juga tatkala diperlukan. Ia bakal mengubah perspektif umum dan dengan harapan ia bakal membawa perubahan kepada sesiapa juga yang membaca novel trillogi ini.

Tatkala novel-novel masa kini yang menekankan kepada genre ringan mahupun genre hantu sejak sekian lama Kisah Trilogi Inspirasi Man Rempit ini memaparkan genre inspirasi dengan penerapan memberi semangat kepada pembaca untuk bergerak maju ke hadapan menghadapi persaingan dunia yang kian mencabar. Genre-genre sebegini telah lama dipaparkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun dan kini telah tiba masanya negara ini memulakan langkah yang serupa keluar dari kepompong kebiasaan kisah seram, hantu dan percintaan.


Secara dasarnya Novel Man Rempit ini menerapkan kepada satu matlamat atau impian di peringkat yang tertinggi. Dalam ertikata lain baik mat rempit mahupun sesiapa juga dalam apa juga bidang perlu mengorak langkah untuk memajukan dirinya ke peringkat yang tertinggi dan dengan itu menyumbang kepada bangsa, ugama dan negara. Bukan hanya berpegang kepada angan-angan, omong-omong kosong tanpa matlamat yang jitu.

Seperti kebanyakan novel lain, ia juga menyelitkan kisah percintaan. Namun ia merupakan kisah percintaan luar biasa dua darjat antara Azman seorang mat rempit yang miskin dengan Sara Yasmin seorang doktor cantik yang berada. Ia menekankan yang semua ini tak akan dapat menghalang percintaan antara dua insan untuk bersatu walaupun pelbagai rintangan yang mendatang. Namun demikian ia disampaikan dengan cara dan begitu halus disamping menjaga tatatusila kesopanan ketimuran adat budaya mahupun ugama.

Novel ini juga memberi penekanan kepada isu semangat setiakawan yang mana ia jelas memaparkan bahawasanya kesatuan membawa kepada kejayaan sedangkan perpecahan hanya membawa kepada keburukan dan keruntuhan mana-mana institusi sekalipun baik kawan, keluarga, agama dan negara.

Sebagai kesimpulannya dengan harapan ia akan dapat memberi petunjuk dan teladan bagi membentuk akhlak serta budi pekerti yang baik serta dapat memberi inspirasi di kalangan pembacanya.


Oleh itu secara tak langsung ia berperanan menyebarkan maklumat untuk didedahkan kepada masyarakat supaya kisah yang baik boleh diteladani dan diikuti disamping semoga yang buruk menjadi sempadan dalam kehidupan.

Dapatkan novel inspirasi Trilogi Man Rempit ini di kedai-kedai buku berhampiran. Sokonglah FY! 

Terima Kasih!

No comments:

Post a Comment