Bab 11
Sabtu Malam Ahad,
Jam 2 Pagi.
Perlumbaan yang bemula dari Kampung Kerinchi itu disertai oleh kira 30
buah motorsikal. Pertaruhannya seorang gadis yang boleh dibawa pulang. Manjoe
telah bersedia berada dalam kelompok tersebut. Lord, Shidee dan Zul juga
menyertainya. Ramai mat rempit yang berkumpul di garisan permulaan itu malah di
sepanjang laluan perlumbaan dini hari itu. Ia bermula! Asap berkepul.
Masing-masing memecut memasuki Federal Highway menuruni Kg Kerinchi. Mereka
akan menuju ke Guiness Anchor sebelum pusing kembali. Manjoe ingat pesanan Zul
untuk mengambil lane ketiga bagi
mengelakkan pasir di kiri jalan. Beberapa pelumba kelihat terhuyung hayang bila
melalui jalan tersebut. Apapun pemenang malam itu akan mendapat gadis tersebut
untuk diperlakukan apa sahaja. Masing-masing memecut dengan strategi yang
tersendiri.
Lord,
Zul dan Shidee yang jauh lebih laju di garisan permulaan menjalankan tugas
mereka mengacau dan melambatkan pelumba-pelumba di hadapan. Mereka berharap
Manjoe akan dapat mencapai kelajuan maksima nanti.
Manjoe masih ketinggalan kerana setting
motosikalnya memang untuk kelajuan top
speed. Lagipun ini perlumbaan lebuhraya. Motornya tak punya kuasa permulaan
sepertimana motorsikal Lord, Zul dan Shidee. Mendekati Asiajaya Manjoe mencuri
angin dengan betul-betul memecut di belakang motor Zul. Masing-masing dengan
gaya Superman di atas motor Yamaha 125Z yang telah diubah suai. Ada kira-kira
10 pelumba lagi yang di hadapan mereka. Shidee dan Zul masih berada di hadapan
mereka. Manjoe tahu selok belok laluan ini. Setiap lekuk, lubang dan bonggol
telah dihafalnya dalam kepala. Inilah sirkit kebiasaannya semenjak mula-mula
menunggang motor lagi.
Motorsikal yang berlumba itu bersimpang siur mengelak kereta yang ada di
lebuh raya itu. Setibanya di jejantas Motorola salah seorang mat rempit di
hadapan mereka menendang pelumba di sebelahnya lalu jatuh ke sebelah kiri
jalan. Zul dan Manjoe melepasi mereka. Manjoe mula mendapat kelajuan dan mula
memotong satu persatu motor-motor yang berada di hadapannya. Dia mencuri angin
di belakang Shidee, kemudian memotong dan berada rapat di belakang Lord pula. Kemudian
motor salah seorang pelumba itu terbakar enginnya dengan bunyi meletup-letup
lantas dia ke tepi. Tinggal dua lagi pelumba di hadapan mereka. Farouk Sentul
dan Din Kg Medan. Dua pelumba saingan
Manjoe. Manjoe tenang. Entah kenapa dia berdoa agar motornya berfungsi dengan
baik dan memenangi perlumbaan malam ini. Ia begitu penting buatnya kerana dia
membawa amanah seseorang. Dia kemudiannya memecut meninggalkan Lord. Motornya
semakin menuju kelajuan maksima.
Namun demikian dia masih mencuri angin di belakang Din Kg Medan. Asap
motor Din sedikit mengganggu pemandangan Manjoe. Angin menderu laju, lampu
lebuhraya itu kelihatan bersambung berdekatan Taman Jaya. Manjoe keluar ke
kanan dan memulakan pecutan terakhirnya. Melintasi pintu gerbang Kota Darul
Ehsan dia dapat memotong Din dan sasaran akhirnya ialah si Farouk. Di
hadapannya tiga biji kereta berderet, Farouk cuba mencelah diantara kereta
tersebut tetapi ia terlalu sempit hinggakan dia terpaksa menurunkan gear.
Kesempatan itu diambil Manjoe dengan mencelah di sebelah kanan antara kereta
dan pembahagi jalan. Badannya dialihkan sedikit ke sebelah kiri bagi
mengelakkan divider yang begitu dekat. Memasuki jejantas Kampung Kerinchi motor
Manjoe hanya setengah tayar di depan Faruok.
Geng Manjoe dan bebudak Kerinchi bersorak kegembiraan, bangga dengan
kemenangan Manjoe. Pertaruhan mereka berbaloi dan membuahkan hasil. Manjoe,
Lord, Zul dan Shidee menarik lafas lega tanpa mereka mengetahui masalah yang
bakal menimpa.
Manjoe kemudiannya mengambil gadis itu diikuti rakan-rakannya. Gadis itu
naik dan membonceng motor Manjoe. Mereka terus bergerak menuju ke Bangsar Park.
Pelumba serta mat rempit yang lain bersurai dengan kelompok dan geng
masing-masing. Ada juga yang berlumba keluar dari Kampung Kerinchi itu. Ada
yang membuat wheelie dengan menunjukkan skil masing-masing.
Tanpa disedari Manjoe dan kumpulannya diekori sebuah kereta Honda Civic berwarna
gelap. Setibanya di Bangsar Park, setelah meletakkan motorsikal, mereka duduk
di meja kedai mamak kebiasaan. Dua orang lelaki bersama dua orang perempuan
mendekati mereka.
Manjoe menoleh,
“Sara!:
“Man! Ini rupanya kerja you! You betrayed my trust! I
don’t want to see you again! Ever! Sara tak nak jumpa Man lagi. Man boleh pergi jauh dari sini. Dan jangan
datang lagi. I hate you!. Dasar Mat
Rempit!” Mukanya merah menyala.
Kelembutan yang ada pada Sara telah hilang. Azman tak pernah nampak gadis yang
lemah lembut itu begitu marah sekali. Buat pertama kalinya dia melihat Azman
dalam keadaannya yang sebenar. Memakai T-Shirt hitam berseluar jeans lusuh. Key
berwarna merah terikat di kepalanya. Kawan-kawannya juga tak jauh bezanya.
“Tapi..” Shidee cuba menyampuk.
“Korang semua jangan nak masuk campur. Hal ini tak ada kena mengena dengan
korang. Ini hal Sara dengan Manjoe okay!” Sergah Azlan.
Sara, Irfan, Azlan dan kawannya terus meninggalkan tempat itu. Azlan
sempat menoleh memandang seakan mengejek Azman.
Kali ini keadaan begitu meruncing dan betul-betul Azman rasa perhubungan
ini tak dapat diselamatkan lagi. Dia terdiam. Hatinya terluka. Kelu tak dapat
berkata-kata. Ia berlaku begitu pantas. Dia sedih kerana dia tidak diberi
peluang untuk menjelaskan keadaan. Lord serta kawan-kawannya juga tak puas
hati.
“Aku minta maaf Man,” kata Shidee yang merasakan seakan dia yang bersalah
dalam hal ini.
“Dia ingat kita Mat Rempit tak ada maruah. Kita juga manusia. Ada hati dan
perasaan.” Sambut Lord.
“Orang kaya memang begitu! Buta hati!” Jerkah si Zul geram.
Azman hanya berdiam diri. Dia sendiri tak tahu apakah yang perlu
dilakukannya. Dia tahu Azlan yang memberitahu Sara tentang perlumbaan tadi.
Sementara itu Azlan dan Nadia memasuki kereta diikuti Sara dan Irfan.
Kereta itu mula bergerak menuju ke Shah Alam.
“Siapa tak kenal Manjoe mat rempit Kg Kerinchi tu Sara. Dia salah seorang
mat rempit yang paling power dalam KL ni. Nekad tak takut mati mamat tu. Adik
dia dulu Johari dah matipun tapi dia tak serik-serik lagi..”
“Kan I dah cakap dulu. Jangan kawan dengan mat rempit ni. Kan dah jadi
masalah. You tengoklah sendiri. Entah bohsia manalah yang diorang nak korban
tu!” Ujar Nadia penuh bangga yang andaiannya selama ini menjadi kenyataan.
Sara hanya berdiam diri. Sepanjang perjalanan pulang, di dalam kereta,
airmatanya berlinangan. Dia tak sangka Azman sanggup berbuat demikian. Mungkin
selama ini dia terkeliru kerana begitu tertumpu dengan kebaikan Azman
membantunya dulu hingga dia tak nampak perkara yang sebenarnya. Apa yang dia
nampak malam ini di depan matanya sewaktu Azman mengambil gadis itu
menghiris-hiris hatinya. Pedih tidak terkata. Betul kata Azlan mengenai Azman
selama ini. Tatkala ini dia hanya mahu melupakan Azman. Celoteh Azlan mengenai
keburukan Azman tidak dihiraukannya. Sara seakan berada dalam dimensi yang jauh
berbeza. Dalam horizon yang gelap gelita. Sepanjang perjalanan dari Bangsar ke
Shah Alam itu dia hanya termenung memendam rasa, entah kenapa dirasakan separuh
dari hatinya telah pergi meninggalkannya. Dia merasa dikhianati dan didustai
Azman. Airmatanya terus mengalir deras.
XXXXXX
Sudah dua minggu Sara mendiamkan diri. Azman telah mengambil keputusan
untuk menjernihkan keadaan. Baginya tempoh dua minggu itu memadai untuk Sara
kembali tenang. Kalaupun dia mungkin tak dapat lagi memperbaiki hubungannya
dengan Sara namun paling tidakpun dia mahu menjelaskan keadaan yang sebenarnya.
Meskipun itu bermakna dia melanggar saranan kawan-kawannya untuk melupakan
Sara. Mereka semua masih berkecil hati atas tindakan Sara tempohari.
Dalam fikiran Azman mahu bertemu Sara buat kali yang terakhir. Kalau
dahulu dia datang dengan aman dia juga mahu mengakhirkannya dengan aman. Dia
tak mahu hubungan itu terputus begitu sahaja. Dalam keadaan yang runcing. SMS
telahpun dihantar, panggilan demi panggilan dibuat oleh Azman namun tidak
satupun dijawab Sara. Azman hampa.
Pencariannya di kolej Sara dalam Universiti Malaya juga menemui kegagalan.
Di Universiti Malaya dia berjaya bertemu dengan Nadia namun Nadia menghinanya
dan menyuruh dia menjauhkan diri dari Sara.
Setelah difikirkan sedalam-dalamnya sebagai langkah terakhirnya, dia mengambil
keputusan untuk ke rumah Sara. Berjaya atau tidak itu perkara kedua fikirnya.
Dari pintu pagar yang tertutup rapat itu kelihatan Irfan dan bapanya Datuk
Halidi keluar di muka pintu rumah banglo yang tersergam itu.
“Apa kau nak?”
“Boleh saya jumpa dengan Sara sekejap?”
“Sudahlah tu Man, tak cukupkah kesengsaraan yang kau bagi pada kakak aku
tu. Baik kau berambus dari sini sebelum aku panggil pengawal keselamatan.
Sebelum aku pukul kau. Aku pun dah tahu cerita kau dan aku pun dah lama tak
puas hati dengan kau ni!”
Bapanya hanya melihat senario itu sambil tersenyum kelat. Dia turun menuju
ke arah mereka dengan sesuatu di tangannya.
“Beginilah. Kalau dihalau dan dihina pun kamu tak nak pergi. Saya ada satu
cadangan lain. Ini ada cek RM20,000.00 supaya kamu keluar terus dari hidup
Sara. Ambil cek ni dan pergi jauh dari sini.”
Azman diam. Dia tidak mengambilnya lalu kembali naik ke atas motornya.
“Duit tak bermakna buat saya Datuk. Ia tak dapat membeli sebuah kasih
sayang. Apapun sebelum saya pergi, sampaikan pesan pada Sara saya akan tunggu
dia kat Tasik Shah Alam malam ni.”
“Baiklah, aku akan cakap pada dia. Tapi ingat ini merupakan kali yang terakhir!
Lepas ni aku tak nak nampak muka kau lagi!” Jerkah Irfan memberi amaran.
Azman menggangguk setuju. Dia menghidupkan engin motornya dan berlalu.
Baginya hanya setakat itu yang dapat dilakukannya. Tanpa diketahuinya Sara yang
berada di tingkat atas memerhatikan semua ini. Airmatanya bergenang.
Sejurus
itu Irfan mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Dia mendail nombor
seseorang.
“Bro’
mamat tu datang tadi.”
“Kau kat mana ni?”
“Petaling Jaya?”
“Cantik.”
“Kau datang sini sekarang juga.”
“Okay. Aku tunggu.”
XXXXXX
Azman duduk longlai di bangku yang menghadap Tasik Shah Alam itu. Deretan
lampu-lampu yang dipasang mengindahkan suasana malam yang kelam itu. Pasangan kekasih
sesekali lintas di hadapannya berjalan menuju ke Kompleks PKNS yang letaknya
tak berapa jauh dari situ.
Selepas marghrib Azman telah terpungguk di situ. Menunggu dengan penuh
harapan agar pesannya sampai kepada Sara. Doanya semoga Sara muncul malam itu
agar dia dapat menjelaskan segalanya dan kalaupun perhubungan mereka berakhir
dia mahu ia berakhir dengan damai dan tenang.
Lamunannya terhenti bila mendengar deruman sebuah kereta Evo X putih
memasuki perkarangan tempat letak kereta tasik itu. Dia tahu itu kereta Farid.
Mungkinkah Sara datang bersamanya? Bisik hatinya.
Farid keluar dari kereta bersama dua orang lelaki yang tak dikenalinya.
Badan mereka besar dan sasa. Namun demikian Azman langsung tak mempedulikannya.
Dia terus sahaja duduk di situ menanti segala kemungkinan yang mendatang.
Mendekati Azman mereka terus sahaja menyerang. Mereka menerkam menumbuk
dan menendang bertalu-talu. Azman cuba mempertahankan diri dan membalas tetapi
mereka bertiga terlalu kuat buatnya. Dia terjatuh ke tanah namun mereka terus
sahaja memukulnya dengan membabi buta tanpa rasa belas. Kepala Azman dijadikan
seakan sebiji bolasepak yang disepak terajang. Darah memancut dari hidung dan
luka di keningnya.
Dalam masa sepuluh minit Azman sudah tak bermaya. Kedua orang yang
mengiringi Farid tadi mengangkatnya dan memapahnya untuk berdiri menghadap
Farid.
“Aku dah lama dendam dengan kau ni. Aku ingat aku dah kenakan kau dulu
tapi aku salah orang. Kau ingat lagi kat Kerinchi hari tu kau yang langgar aku,
tak cukup dengan tu kau rampas pulak awek aku Sara. Hari tu hari kau, kau dapat
lepas dari aku tapi hari ni hari aku pulak!”
“Nah! kau ambik ni!” Tempik Farid.
Penumbuk padu hinggap tepat ke muka Azman. Darah terpercik dari mulutnya.
“Itu salam dari Datuk Halidi!” Katanya sambil ketawa. Kedua-dua kawannya
turut ketawa sama. Mereka memaut tangan Azman kuat hingga dia tak berdaya untuk
melepaskan diri.
Tiba-tiba Farid menikam perut Azman dengan pisau yang entah dari mana
datangnya. Darah terhambur keluar.
“Yang ini salam dari aku.” Katanya sambil menarik pisau itu keluar dari
perut Azman. Azman terus terkulai dan tersungkur ke bumi selepas pegangan dua
orang mamat yang besar itu dilepaskan. Mereka kemudiannya menariknya ke bawah
pokok yang besar dan gelap.
“Jom! Belah! Biarkan dia mati kat sini.”
Azman menekap perutnya yang luka. Sakitnya tidak terhingga. Seluruh
badannya terasa bisa-bisa. Dia tak berdaya bangun dan masih tertiarap di situ.
Dalam keadaan yang separuh sedar itu dia nampak mereka bertiga memasuki kereta
sport buatan Jepun itu. Sebelum itu mereka sempat menendang motor Azman yang
diletakkan berdekatan. Tersungkur motor kuning berjenama Yamaha itu. Kereta itu
menderum keluar dari perkarangan tempat letak kereta di situ. Memasuki jalan
besar ia berdecit membuat satu gerakan yang pernah Azman nampak.
Gerakan drift berbentuk S kereta itu membawa Azman kembali ke malam
kematian adiknya Johari. Gerakan itu sama dengan gerakan kereta Honda Intergra
Hijau yang melanggar adiknya itu walaupun ia dilakukan oleh kereta yang
berbeza.
“Kau rupanya. Kau yang bunuh adik aku selama ini.” Lafaz Azman
tersekat-sekat.
“Aku tak boleh mati malam ini. Bukan malam ini. Aku mesti cari kau.
Perhitungan kita belum selesai.” Azman cuba bangkit tetapi dia kembali jatuh
terkulai.
Telefon bimbitnya dicapai. Nombor telefon Lord didailnya. Dia tahu Lord
ada di rumahnya di daerah ini. Mujurlah Lord ada di rumah. Kepada Lord
dikesahkan keadaannya tatkala itu. Entah kenapa perihal misinya untuk bertemu
Sara langsung tak terlintas di kotak fikirannya langsung. Ia digantikan dengan
wajah Johari adik kesayangannya itu.
Lord sampai tak berapa lama kemudian di tempat yang dikatakan Azman. Dia nampak
motor 125Z kuning yang begitu dikenalinya tersungkur dalam longkang di tempat
letak kereta Taman tasik Shah Alam itu.
Di dalam kegelapan matanya tertumpu kepada kasut Nike putih kepunyaan
Manjoe. Dia meletakkan motornya dan terus ke arah kasut tersebut. Matanya liar
memandang keliling.
“Man!” Jeritnya bila melihat tubuh Azman terkujur di perdu sepohon pokok
besar yang rendang dengan darah yang mengalir dari perutnya. Lord terus membuka
jaketnya dan melilit mengikatnya pada perut Manjoe dengan ketat bagi
mengelakkan pendarahan yang berterusan. Tangannya kuat mendakap tempat luka
itu.
“Lord.. Farid! Farid yang bunuh Joe Lord..”
“Mana kau tahu?”
“Aku nampak dia buat pergerakan bentuk S tu tadi. Aku yakin dialah
orangnya. Call bebudak semua. Cari dia.”
“Aku kena bawak kau ke hospital dulu Man... Aku kena call ambulans... Kita
selesaikan hal itu kemudian..”
“Nanti.. kau call bebudak kita, call semua dulu.. cari Farid tu.” Lafaznya
tersekat-sekat.
Lord mencapai telefon bimbitnya dari dalam poket seluarnya. Dia mula
mendail. Dia menelefon kawan-kawan rapat mereka Eddy, Shidee, Zul, Zainal, Zamri
dan lelain lagi menceritakan kejadian yang berlaku. Dia akur tak mahu menghampakan
harapan Azman.
Setelah itu dia mendail nombor telefon kecemasan bagi mendapatkan
perkhidmatan ambulans bagi membawa Azman ke hospital. Pada masa itu Azman
telahpun tidak sedarkan diri.
Tak lama kemudian ambulans pun sampai. Azman diperiksa pegawai perubatan
dan kemudiannya dibawa masuk ke dalam ambulans. Lord juga masuk ke dalam perut
ambulans itu. Sirennya nyaring berbunyi memecah keheningan malam menuju ke Hospital
Universiti.
Berita mengenai Manjoe ditikam Farid tersebar sepantas kilat. Eddy menulis
sms lantas dihantarnya pada kawan-kawan di Kepong dan Gombak. Shidee pula
menghubungi kawan-kawan rempitnya di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam
hingga ke Kelang. Zul pula kepada bebudak Keramat, Sentul, Setapak Dan Wangsa
Maju, begitu jugalah seterusnya hingga malam itu boleh dikatakan semua mat
rempit keluar bersatu mencari di setiap ceruk di Bandaraya Kuala Lumpur malah
seluruh Lembah Kelang untuk mencari kereta Mitsubishi Evo X berwarna putih.
Mereka menahan mana-mana sahaja kereta Evo X putih yang mereka temui. Malam itu
keadaan di Kuala Lumpur seakan tidak terkawal. Dipenuhi oleh mat-mat rempit
yang berkeliaran di sana sini dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mencari
Farid.
Di dalam ambulans Lord menghubungi keluarga Azman juga adiknya Danial dan
memberitahunya apa yang telah berlaku. Ibubapa Azman bergegas ke hospital, Danial
pula terus sahaja menghubungi semua kawan-kawan keretanya.
Pihak polis dan orang ramai semuanya hairan melihatkan gerombolan mat-mat
rempit dan mat-mat kereta yang begitu ramai keluar malam itu. Polis yang
menahan beberapa orang mat rempit turut melepaskan mereka pergi dan menyertai
pencarian tersebut. Tak lama selepas itu berita mengenainya mula sampai ke
telinga para wartawan. Kisah Azman keluar di radio dan kaca televisyen.
Beberapa mat rempit yang diwawancara menceritakan kisah Azman ditikam oleh
Farid dan mereka sekarang dalam sedang mencari seluruh Kuala Lumpur dan di mana
sahaja untuk mencari kereta putih Mitsubishi Evo X itu.
Azman pula terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi setibanya di Hospital
tersebut. Setelah diperiksa tikaman itu telah terkena pada hatinya. Keadaannya
tenat. Pemindahan hati perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Keluarga Azman tiba ke unit ICU ini tak berapa lama kemudian. Aina dan
ibunya kelihatan menangis.
“Mak dah cakap dengan dia jangan kawan dengan anak orang kaya tu. Tapi dia
degil, tak dengar kata. Tengoklah apa dah jadi.”
“Ahh! Ke situ pulak. Abang rasa itu semua tak ada kena mengena dalam hal
ini. Benda dah nak jadi..” Ujar bapa Azman cuba menenangkan suasana.
“InsyaAllah nanti dia akan kembali sihat tu makcik. Makcik janglah
risau...” Lord bersuara sebaik mereka mendekatinya.
“Dia kat mana abang Lord?” Tanya Aina dengan suara yang sebak.
“Ada kat dalam bilik tu ha. Tapi boleh masuk 2 orang je sekali. Jalan
terus sampai hujung katil sebelah kanan.” Jawabnya. Jari telunjuknya menuding
ke arah sebuah bilik bercermin yang berada di hadapannya.
Mendengar
kata-kata itu ibubapa Azman terus sahaja bergegas melangkah masuk. Aina pula
diarahkan menunggu di luar.
“Sebelum
dia pengsan dia ada kata dia dah jumpa orang yang langgar Johari dulu. Orang tu
jugaklah yang tikam dia tadi...” Cerita Lord pada Aina yang duduk di
sebelahnya.
“Abang
Man dah jumpa pembunuh Abang Joe?”
“Begitulah
katanya. Kawan-kawan abang tengah cari dia. Heharap jumpalah dan heharap dapat
bukti yang diperlukan...”
XXXXXX
Sudah dua hari Azman di hospital. Keadaannya masih dalam perhatian ketat.
Sekejap sedar, sekejap tidak. Ramai Mat
Rempit dan Mat Kereta bergerombolan keluar sebelah malam masih lagi meneruskan
pencarian mereka. Kisah tersebut masuk dalam berita di televisyen dan
suratkhabar. Namun masih belum berhasil.
Dua hari juga Lord berada di hospital itu menunggu dan berdoa agar kawan
baiknya itu pulih. Setakat ini belum ada berita tentang organ hati yang padan
dari penderma. Mereka semua masih menanti dengan penuh kegelisahan. Dalam
keadaan yang kelam kabut itu dia langsung terlupa untuk bertanya pada Azman
siapa Farid tu. Nama Farid sahaja tak cukup untuk memberikan petunjuk yang
jelas dalam pencariannya. Hendak sahaja dia mendail nombor Sara untuk bertanya
tetapi geramnya pada Sara dalam kejadian beberapa minggu lalu masih menghantui
dirinya.
Sedang dia duduk mengelamun di sofa di luar Unit Rawatan Rapi itu dia mendapat
panggilan daripada Danial adiknya. Danial mengatakan kawannya yang bekerja di
tol Plus Port Dickson nampak sebuah kereta Evo X putih yang lalu menuju ke arah
Seremban. Lord teringatkan sesuatu.
Dia
terus sahaja menghubungi semua kawan-kawannya supaya mereka berkumpul dan
menjemputnya di hospital. Sejurus kawan-kawannya tiba mereka terus sahaja
bergerak menuju ke Bangi. Ramai juga yang datang. Ada juga mat rempit yang
turut serta itu tidak dikenalinya. Mereka semua mengatakan hasrat untuk
membantu.
Di Bukit Mahkota mereka berpecah mencari di seluruh pelusuk kawasan
perumahan banglo itu. Sebuah rumah banglo berwarna coklat kekuningan di hujung
taman itu menarik perhatian mereka. Walaupun terdapat 5 tempat letak kereta di
dalam garaj di hadapan rumah tersebut hanya terdapat 2 buah kereta yang kelihatan.
Sebuah kereta mewah dan sebuah laginya diselubungi kanvas. Mungkin penghuninya
tiada di rumah tersebut tatkala itu.
Selepas meninjau keadaan sekeliling, Lord mengambil keputusan untuk
memanjat pagar rumah itu dan menyiasat. Dia mengajak Shidee bersama. Mereka
beramai-ramai membantu Lord dan Shidee naik ke atas pagar batu rumah itu.
Melepasi halangan mereka berdua terus sahaja menyelinap menuju ke arah garaj.
Kanvas perak yang menyelubungi kereta itu diselak.
Alangkah terkejutnya mereka berdua bila mendapati sebuah kereta Honda
Integra Hijau berada di dalamnya. Kesan calar berwarna kuning di bahagian
bumper depannya juga masih jelas kelihatan.
“Betullah Shidee! Betul kata Manjoe.”
“Yelah. Tak apa. Kita tunggu dia balik.”
Mereka kembali menuju ke arah pagar dan terus memanjatnya keluar. Kemudian
mereka berpecah dan setiap seorang menunggu di setiap simpang masuk ke rumah
tersebut. Selebihnya berkampung di sebuah taman permainan tak jauh dari rumah
tersebut. Mereka semuanya menanti kepulangan Farid.
Malam semakin larut. Kira-kira jam 1.35 pagi mereka mendapat berita kereta
Farid memasuki kawasan perumahan tersebut. Lord dan kawan-kawannya bersedia.
Sorotan lampu kebiruan kereta putih itu mendekati rumah banglo sasaran mereka.
Ia berhenti betul-betul di pintu pagar rumah tersebut. Farid keluar untuk
membuka pintu pagar rumahnya.
Farid, kami dah tahu kau yang bunuh kawan kami Johari tiga tahun dulu.
Kata Lord yang datang mendekatinya. Kawan-kawannya yang lain juga turut serta.
Oh! Ramainya datang cari aku. Mana kau tahu ni? Apa buktinya?
“Tu ha! Kereta Intergra Hijau yang kau sorok tu. Kesan kuning motor
Joharipun masih ada kat situ.” Tangan Lord menunjukkan pada kereta yang
berbungkus dalam garaj depan rumahnya itu.
Farid tak dapat nak berdalih lagi.
“Aku sebenarnya dah lama dendam dengan korang semua. Koranglah yang
menyebabkan kematian adik perempuan aku.
Apa maksud kau?
Lima tahun dulu mat rempit telah meragut handbagnya di Kuala Lumpur hingga
menyebabkan dia terjatuh dan dilanggar kereta. Kejadian itu menyebabkan aku
mendendami kamu semua dan dendam ini masih membara. Kalau boleh aku nak bunuh
setiap seorang dari korang. Mat Rempit yang tak guna dan tak perlu hidup di
mukabumi ni.
Lord, cakap tak guna! Kita ganyang je mamat ni! Teriak Eddy.
Sabar Eddy..
Aku rasa kau ni dah gila! Takkanlah kerana nila setitik habis susu
sebelanga! Jerkah Lord.
Ah! Aku peduli apa! Macamana keadaan kawan kau yang koma tu? Aku harap dia
mati cepat. Baru-baru nipun aku dapat bunuh seorang lagi. Aku himpit motor dia
hingga terbabas dan melanggar bontot lori. Puas hati aku!
Din Sentul! MasyaAllah, Nordin juga kau yang bunuh? Kau memang dah gila!
Pada masa itulah Farid diserbu dan diserang bertalu-talu oleh Lord serta
kawan-kawannya. Mereka sudah tak dapat mengawal perasaan lagi. Setiap hentakan
dan tumbukan membawa bersama dendam yang telah lama terbuku. Hampir sepuluh
minit masa berlalu, mereka terus sahaja membelasah Fendi bertalu-talu tanpa
belas kasihan. Fandi yang tersungkur di tanah tak dapat berbuat apa-apa hanya
cuba menepis dan melindungi kepalanya. Tak semena-mena Eddy menggunakan
helmetnya menghentak kepala Farid lantas menyebabkan dia pengsan.
Shidee pula memanjat kereta Evo putih itu lalu memecahkan cermin depan
kereta tersebut namun dihalang Lord dari meneruskan agendanya. Hakikatnya masih
tak berpuas hati. Dendam masih membara di hatinya. Sudah lebih 3 tahun mereka
menyimpan dendam tersebut.
“Sudahlah tu Dee. Kereta tu tak bersalah!” Teriak Lord.
“Aku dah call polis. Kita tunggu polis sampai dan serahkan pada mahkamah
untuk menentukan semuanya.” Sambungnya lagi.
“Tapi aku rasa anak orang kaya ni boleh terlepas.” Balas Shidee pula.
“Tak apa kita semua boleh jadi saksi kes Farid ni. Kita semua ada masa dia
langgar Joe malam tu. Jangan risau aku yakin kali ini dia akan kena.” Lord
memberikan jaminannya. Dia tak mahu kawan-kawannya itu bertindak di luar
kawalan hingga boleh menyebabkan mereka pula ditahan nanti.
Bersambung...
Bersambung...
Pergi ke bab Akhir - Tekan link ini. Bab Akhir Novel Inspirasi Trilogi Man Rempit.
Kembali ke bab 10 - Tekan link ini. Bab 10 Novel Inspirasi Trilogi Man Rempit.
Jangan lupa share, like dan komen sebagai tanda sokongan kepada penulis untuk terus berkarya...
Apakah yang akan terjadi kepada percintaan antara Manjoe dan Sara selepas ini? Adakah mereka akan melangkah ke alam perkahwinan dan hidup bahagia selama-lamanya?
Novel Man Rempit ini sebenarnya adalah Novel Trilogi yang terdiri daripada Judul-judul berikut ;
1. Man Rempit I – Kisah Cinta Luar Biasa Seorang Mat Rempit
2. Man Rempit II – Dugaan Cinta Seorang Mat Rempit
3. Man Rempit III - Kegemilangan Cinta seorang Mat Rempit
Dapatkan ketiga-tiga novel hebat ini segera di pasaran agar anda tidak ketinggalan! Hubungi FY di talian 016-6667430 atau emel greng70@yahoo.com untuk keterangan lanjut.
SINOPSIS NOVEL MAN REMPIT
KISAH CINTA LUAR BIASA SEORANG MAT REMPIT
Azman atau Manjoe seorang mat rempit secara tak sengaja menyelamatkan Sara Yasmin seorang gadis yang cantik dan dari situ bibit percintaan luar biasa mereka bermula. Bagaimanakah seorang Mat Rempit dapat menyesuaikan dirinya dengan seorang gadis anak orang kaya?
Dalam pada itu Sara akan telah dijodohkan dengan Farid seorang anak Tan Sri yang kaya. Farid selagi daya cuba menghalang perhubungan antara Manjoe dengan Sara disamping konflik demi konflik yang melanda menggoyahkan hubungan Manjoe dengan Sara.
Berjayakah rancangan Farid untuk mengagalkan hubungan mereka? Dapatkah Sara menerima cinta seorang mat rempit kaki lumba haram itu?
Semuanya bakal terjawab dalam novel hebat ini.
BIODATA PENGARANG
AHMAD FAIZAL KP MOHAMED YUSUP
Dilahirkan di Batu Pahat Johor pada 2 Mei 1970.
Mendapat Pendidikan Awal di ;
SRK Brickfields 2, Kuala Lumpur
SM Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya
SM Teknik Kuala Lumpur
Seterusnya ;
Universiti Teknologi Mara
Shah Alam, Selangor dalam jurusan
Diploma In Investment Analysis
dan
University of Nebraska-Lincoln
Nebraska, USA dalam jurusan
BSc ( Finance )
Mengarang buku ;
Keluar dari Tempurung Pembentukan Diri Ke Arah Kecemerlangan
( 2002 ) Utusan Publications.
Keluar Dari Tempurung 2 Pendekatan Praktikal Menangani Masalah
( 2005 ) Utusan Publications.
Anda Yang Baru – Minda Kental Hati Cekal
( 2009 ) Alaf 21
Novel – Bukan Maksum
( 2010 ) Pekan Ilmu Publications
Berubah Sebelum Rebah
( 2011 ) Alaf 21
Menyelenggara buku ;
Bicara Tentang Mahathir
( 2003 ) Pekan Ilmu Publications.
Aktiviti lain ;
- Menjalankan seminar pelaburan saham.
- Menjalankan kursus motivasi.
- Puisi-puisi pernah diterbitkan di majalah-majalah.
- Blogger – www.faizalyusup.net, www.motivasiku.blogspot.com
- Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera
- Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad,
Hubungi Penulis ;
Facebook : Faizalyusup
Blog : www.faizalyusup.net
No. HP : 016 - 666 7430
Berikut adalah blog-blog dan link manfaat FY yang lain;
Untuk mendapatkan input pelaburan saham layari -
Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 1 secara percuma layari -
Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 2 secara percuma layari -
Kisah anak Pak Gad bernama FY layari -
Ingin dapatkan pengisian motivasi bersama FY? Layari -
Ingin baiki diri ke arah Minda Akhirat? Layari -
Ikuti FY di Youtube
Ikuti FY di Facebook
No comments:
Post a Comment