Followers

Thursday, October 24, 2013

Bab 1 - Novel Paling Best Pernah Dibaca - Novel Trilogi Man Rempit 1



Bab 1

“Man, ni barang-barang yang nak kena hantar ke bengkel Ammar. Urgent! Lepas tu jangan lupa pergi bank ada cek nak kena masukkan, kemudian beberapa surat ni kena pos kat Pejabat Pos. Pepehal hantar spare parts ni dulu kat Pantai Dalam. Diorang nak pakai. Urgent!” Kata Suraya, penyambut tetamu yang berada di mejanya di hadapan pejabat syarikat Advance Forward yang letaknya di Subang Jaya itu.

“Baik bos!” Kata Azman mengusik gadis penyambut tetamu juga bertindak sebagai kerani di tempat kerjanya.

Azman atau lebih dikenali dengan panggillan Manjoe di kalangan rakan-rakannya memecut motor Yamaha 125Z kuningnya dengan laju dari Subang Jaya menuju ke Pantai Dalam. Dia langsung tak pedulikan kenderaan yang bertali arus di jalanraya memecut dan terus memecut mengelak kereta dan lori sekejap ke  kiri sekejap ke kanan. Melalui lebuhraya Federal dalam perjalanannya menuju ke sana menempuhi Kampung Kerinchi. Mendekati Masjid Universiti Malaya dia memperlahankan motornya. Berhenti di lampu isyarat. Ramai yang melintas di bawah jejantas Kerinchi Link itu.

Matanya tertumpu kepada kereta Volkswagon merah yang berhenti di sebelah kiri jalan. Kereta itu dihalang oleh sebuah kereta Mitsubishi Evo X berwarna putih. Tak semena-mena keluar seorang lelaki yang memegang besi pembuka tayar kereta bergegas menuju ke arah kereta Volkswagon itu. Lelaki itu kelihatan marah-marah dan menempik ke arah pemandu kereta merah itu walaupun cerminnya tertutup rapat.

Lampu isyarat masih merah. Dari tempatnya, Manjoe tak nampak siapa pemandu kereta itu.

Bang!!! Cermin bahagian pemandu kereta merah itu pecah dihentak dengan besi yang dipegang lelaki itu. Ia berlaku sekelip mata. Tanpa menghiraukan lampu yang masih merah mahupun orang yang melintas Azman terus sahaja memulas throttle motornya. Lelaki yang sedang menarik rambut panjang di tingkap kereta itu dilanggarnya. Dia jatuh tersembam. Besi di tangannya terlepas. Azman tergolek juga, motornya jatuh menyeret bumi. Barang yang dibawa di dalam bakul terhumban keluar. Sikunya berdarah. Lutut seluar jeansnya koyak. Dia tak mempedulikannya. Dia bingkas bangkit. Namun demikian lelaki yang dilanggarnya itu telahpun berhincut-hincut lari masuk ke dalam kereta lantas meninggalkan tempat itu.

Pintu kereta Volkswagon merah itu di buka perlahan. Kaca cermin tingkap yang pecah tadi bertaburan jatuh di jalan raya. Seorang gadis berbaju kurung moden merah hati, tinggi lampai, berkulit kuning langsat, berwajah kacukan seakan Diana Danielle dengan rambut ikal panjang mengurai menuju ke arah Manjoe. Manjoe terpegun. Tunduk. 

Are you okay?” soalnya perlahan. Matanya kelihatan berkaca bak kristal lutsinar yang cantik.

“Err... Okay rasanya. Erm.. Awak tak apa-apa?” Manjoe pula membalas pertanyaannya. Tunduk. Lidahnya kelu.

        “Siku you luka tu.. Biar I hantar you ke hospital.”

        “Errr... Tak apalah.. sikit jer.” Jawab Manjoe macho.

        “Teruk luka tu...”

        “Tak apa.. Tak apa..” Tegas Manjoe lagi.

        Gadis itu berlari anak kembali ke keretanya. Gaya gadis Jepun berkimono lagaknya. Dia mengambil sehelai sapu tangan dari beg tangannya. Lantas kembali mendapatkan Manjoe yang sedang cuba mengangkat motornya.

        “Nah. Lap darah tu..” Tangannya menghulur saputangan putih berbunga pink itu.

        “ Tak apalah.. Sikit je ni.. ” Jawabnya.

        “ Ambillah. ” Dia berkeras.

Manjoe menyambutnya lalu mengesat darah yang masih mengalir dari sikunya. Kenderaan yang lain terus lalu lalang perlahan. Pemandunya memerhatikan kejadian di bawah jejambat itu.

        “ Errrr... Macamana saputangan ni? ”

        “ Tak apalah. You Simpan. ” Suara gadis itu begitu mersik dan lembut.

        “Oh ya! Kalau awak nak tukar cermin tu datanglah ke bengkel. Bengkel Ammar di Pantai Dalam. Saya dah nak kena gerak...” Dia terus menaiki motosikalnya. Start. Terus meninggalkan gadis itu terpinga-pinga.

        Dalam perjalanan ke Pantai Dalam barulah siku dan lututnya terasa sakit yang amat sangat... Agaknya wajah gadis ayu itu menghilangkan kesakitan menceriakan sanubarinya tadi. Hatinya berbisik.

XXXXXX

Azman lewat sampai ke bengkel Ammar disebabkan kejadian tadi. Bengkel yang letaknya di Kampung Pantai Dalam sering dikunjunginya. Alternator kereta serta beberapa alat ganti kereta yang berada di dalam bakul motornya itu dicapai.

        “ Man apsal lu lambat! Boss gua dah mengamuk tu. Laa.. Kenapa pulak tangan lu ni bro? ” Lord mekanik bengkel itu menyapa bila nampak kelibat Manjoe yang terhincut-hincut turun dari kapcainya.

        “ Aduh! panjang ceritanya. Ni alternator yang korang minta tu... Wa harap okay. Terbarai kat tepi jalan tadi. Nasib baik tak kena libas dengan lori. Kalau tak... Selamatlah jawabnya. ”

        “ Pinjam tandas boleh?” Manjoe meminta kebenaran.

        “ Pergilah... macam tak biasa pulak!”  

Selesai membersihkan lukanya, Manjoe kembali. Tangannya sudah berikat dengan saputangan pemberian gadis tadi. Langkahnya masih tak stabil.

“So apa cerita dia bro’? What happen?

“Tadi masa wa dalam perjalanan ke sini, kat Masjid UM... ” Manjoe pun menceritakan pengalamannya berdepan dengan satu situasi yang kurang menyenangkan buat dirinya sekejap tadi.

“Siapa mamat tu? Apsal dia marah sangat?” Soal Lord.

“Entahlah...”

“Motor kau okay?”

“Alamak aku tak cek pulak!” Manjoe terus menuju ke arah motornya memerhatikan keadaan.

“Pedal brek je bengkok sikit...” Ulasnya.

“Laa... selalu motor yang kau cek dulu..”

“Awek tu cun giler beb.. Semua benda aku jadi lupa...” Akui Manjoe.

“Iyalah tu. Pada kau semua awek cun..” Sanggah Lord pula.

“Kau tak minta nombor telefon awek tu ker?” Tanya Shidee tiba-tiba.

“Aku tak ingatlah semua tu.”

“Laa.. apalah bengap sangat lu ni beb?...” Sambung Lord pula.

“Wa bab nak gaduh, nak bikin motor, nak main snooker, no problem tapi bab gadis ni susah sikitlah bro. Aku Mat Rempit, muka pun muka pecah rumah dan dia awek cun giler bro’. Manalah sesuai bro. Macam langit dan bumi. Macam kapcai dengan superbike. ” Hujahnya.

“Manalah tahu, entah-entah la ni dia tengah cari lu. ”

“Yelah, wa ingat nanti sesilap dia call sama lu.. ”

“Ceh! Nak call pakai apa? Mana wa ada tinggalkan nombor. ”

“Woi! Sudahlah berangan tu. Ni ha kerja banyak lagi nak buat nih! ” Jerit En. Ramzi menunjukkan pada kereta-kereta yang perlu dibaiki di Bengkel Ammar, di Kampung Pantai Dalam itu.

“Cis! Gua bukan macam korang kaki bohsia. La ni dah 23 tahun, satu awek pun tak sangkut. Bukan pasal wa tak hensem, bukan wa tak nak kat awek. Awek jer yang tak nak kat gua.”

“Tulah yang dinamakan memang padan dengan muka kau!” Terjah si Eddy yang dari tadi hanya mendengar perbualan mereka.

Kata-kata Eddy itu disambut dengan gelak ketawa rakan-rakannya.

XXXXXX

Kampung Kerinchi, kampung di bandar yang letaknya di sempadan antara negeri Selangor dengan Wilayah Persekutuan merupakan tempat tinggal Manjoe semenjak dia dilahirkan. Seperti biasa hari itu dia pulang ke rumah dari tempat kerja cuma bezanya sekali lagi dia membawa kecederaan akibat terlibat dalam kemalangan.

“MasyaAllah! Man, kau jatuh motor lagi? Setahun berapa kali kau jatuh motor mak pun tak tahulah. Kau dah pergi klinik belum?” Jerkah ibunya yang sedang menonton TV di ruang tamu.

“Tak apalah mak sikit aje ni... Jauh dari nyawa.”

“Biasalah mak, bukan tak tahu dia bawak motor macamana. Laju macam lipas kudung. Cilok sana, cilok sini. Dia tak ingat agaknya apa jadi pada Abang Joe. Insafnya kejap je.” Bebel Aina adiknya yang sedang duduk di meja makan menyiapkan kerja sekoah yang belum selesai.

“Aduh, membebel pulak kau ni Aina. Abang dah sakit ni kau tambah pulak sakit kat hati abang. Tolonglah ambilkan minyak gamat kat dapur tu kan lagi baik.”

“Padan dengan muka abang tu. Degil!” Telah Aina menjegilkan matanya.

“Ish! Abang piat telinga kau kang baru kau tahu kan...” Getap Azman geram dengan sikap adiknya.

“Dah! Dah! Berhenti gaduh. Pergi mandi bersihkan diri kau tu. Karang letak ubat.” Ibunya menyarankan.

Manjoe masuk ke dalam biliknya terus terbaring di atas katil bujangnya. Biliknya agak bersepah. Baju-baju tersangkut di sana sini. Dia termenung, tangannya di dahi. Entah mengapa fikirannya melayang dan gambaran gadis tinggi lampai yang keluar dari kereta, mengatur langkah menuju kepadanya seakan filem ulang tayang yang berulang-ulang. Dia tak dapat melelapkan mata. Cantik sungguh gadis itu. Mungkin juga dia kepunyaan orang. Kenapa lelaki itu begitu marah padanya? Mungkinkah dia putus cinta? Mungkin juga gadis itu kaki clubbing? Nampak aje baik. Pelbagai persoalan bermain di benaknya namun tiada jawapan.

Aduh! Man ingatlah kau tu orang susah duduk kat flat Kampung Kerinchi, ada hati berangan nak usha awek elit macam tu. Berhentikanlah. Bisiknya sendiri.

“Ah! Baik pergi main bola!” Dia laju bangkit.

“Aduh!” Nyaris dia jatuh. Kakinya sakit. Dia duduk kembali.

“Lupa pulak. Adoi awek ni betullah, tak betul aku jadinya.”


Dia bangkit mengambil tuala menuju ke bilik air. Sapu tangan pengikat lengannya itu diungkai. Darah telahpun berhenti mengalir. Sapu tangan putih yang berlumuran darah itu dibasuhnya. Begitu sukar untuk menghilangkan tanda yang ada padanya. Disidainya di dalam bilik air itu walaupun masih terdapat tanda darah yang belum hilang. Dia berniat untuk memulangkannya semula kekalau bertemu dengan gadis Volkswagon merah itu.

3 comments:

  1. teman baru baca bab 1, teman suka dengan cara dan ayat2 yang disampaikan.. senang n friendly ayat2nya.. heee.. nanti ada masa nak abeskan semua bab..

    Haiiiii..Cakkk!!
    done follow sini no. 2
    sudilah kiranya follow me back yea..
    he2.. salam kenal.. keep in touch yea..=)

    http://tengkubutang.blogspot.com/

    dan my 2nd blog
    http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Terbaik,.dah baca sampai habis.,memang betul2 tersentuh.,
    Apapun novel nie saya bagi 5 star baca sampai habis baru tahu..

    ReplyDelete
  3. ekau membuekkan den menitihkan air mato janta...cilako boto la..

    minggu dopan lopeh dapek gaji...den boli novel ekau..buek koleksi...ni den taip pun basah LCD screen hp ni..sobab eehh..air mato menitik..huhuhuhu

    ReplyDelete